 |

Serpihan kaca dari pelbagai jenis barangan kaca yang ditemui
di Lembah Bujang.

Pelbagai jenis manik yang ditemui di Lembah Bujang.
|
Perkembangan sejarah awal
Negeri Kedah dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia
adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik
di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya
Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang
dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan
dan seterusnya ke kepulauan
Asia Tenggara dan Pasifik. Kemudian tatkala perdagangan maritim
berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan
yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua
pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara
Arab di sebelah barat dan Negeri China di sebelah timur. Di kala pelayaran
laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu
pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah
dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat
untuk membuat pertukaran dagangan mereka.
Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah
mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak
langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya.
Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan
masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah Kubang
Pasu, Kota Star dan Baling. Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya
sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai
telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui
Lautan Hindi di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga
boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai
timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley
1961 : xxvi ; Braddle 1980 ).
Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya
menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya
dan Semenanjung Malaysia amnya. 
|