|
Penyelidikan arkeologi di Negeri Kedah boleh dibahagikan kepada
dua bidang yang umum iaitu zaman prasejarah awal termasuk Lembah
Bujang. Kepentingan penyelidikan arkeologi di Lembah Bujang sudah
tidak asing lagi kepada kita, malah kemasyhurannya begitu meninggi
sehingga menutupi kepentingan zaman-zaman prasejarah yang dilalui
oleh penduduk-penduduk Negeri Kedah di zaman purba. Jadi, di dalam
kertas kerja ini saya kira ada baiknya kalau disentuh terlebih dahulu
zaman prasejarah di negeri ini dan kemudiannya membincang mengenai
perkembangan sejarah awalnya berdasarkan kepada penemuan bahan-bahan
arkeologi yang wujud setakat ini.
Penyelidikan arkeologi zaman prasejarah di Negeri Kedah agak terhad
kepada tapak-tapak gua sahaja walaupun penemuan-penemuan secara
tidak sengaja juga dijumpai di kawasan tanah lapang. H.D. Collings
merupakan orang yang pertama menyingkap tentang kewujudan tapak
prasejarah di Negeri Kedah dengan membuat kajian
di Gunung Baling. Dua buah gua telah digalicari iaitu Gua Debu
dan Gua Kelawar (Collings 1936). Bahan-bahan yang ditemui di gua
ini terdiri dari kapak batu zaman Hoabinhian,
kapak dan beliong batu zaman Neolitik, batu pengasah, batu penumbuk
dan tembikar tanah. Siput-siput sungai merupakan tinggalan bahan
makanan yang utama manakala tulang-tulang binatang dijumpai di dalam
kuantiti yang sedikit sahaja.
Apa yang menarik mengenai kajian yang terdapatnya jumpaan tembikar
(zaman Neolitik) di dalam lapisan tanah yang mengandungi artifek-artifek
zaman Hoabinhian, dan menurut Collings (1936-:10) tidak ada tanda-tanda
yang menunjukkan tanah tersebut pernah diganggu. Jadi berdasarkan
ini, dua kemungkinan dapat dibuat mengenai hubungan Hoabinhian dan
Neolitik, iaitu :
- Dua masyarakat yang mengawal dua kebudayaan yang berbeza tetapi
tinggal berdekatan dan saling berinteraksi di antara satu sama
lain, atau
- Satu masyarakat yang di dalam proses transisi dari zaman Hoabinhian
ke zaman Neolitik, dan dengan itu sudah pasti melibatkan penggunaan
alat yang lama dengan alat yang baru.
Collings telah memilih kemungkinan yang
pertama

Salah sebuah tembika yang ditemui di tapak 17, Bukit Fendiat,
Pengkalan Bujang, Lembah Bujang.
|
 |
Di dalam masa yang sama, satu artifek yang diperbuat dari batu
quartzite dan berbentuk seperti mata anak panah ataupun mata lembing
yang kecil telah dijumpai di Sintok, (Callenfels 1936, Collings
1937). Alat tersebut dijumpai hasil dari aktiviti perlombongan bijih
timah, dan dengan itu adalah sukar untuk dibuat sebarang kesimpulan
yang konkrit mengenai alat tersebut. Walaubagaimanapun, penemuan
ini adalah penting sekali di dalam pengkajian prasejarah di negara
kita kerana setakat ini ianya merupakan satu-satunya contoh yang
pernah dijumpai berhubung dengan penggunaan anak panah di zaman
Neolitik di negara kita. Kita sedia maklum bahawa masyarakat Orang
Asli dari suku kaum Negrito pernah menggunakan anak panah walaupun
sekarang ini mereka lebih cenderung untuk menggunakan buluh sumpitan
untuk memburu (Endicott 1979). Dengan adanya bukti dari Sintok ini
besar kemungkinan bahawa masyarakat purba juga pernah menggunakan
anak panah semasa memburu binatang. Untuk mendapatkan bukti-bukti
yang lebih konkrit, penyelidikan yang lebih mendalam perlu dilaksanakan.
Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, P.S.R. Williams-Hunt telah
menjelajah ke utara Semenanjung Malaysia untuk menyiasat tapak-tapak
prasejarah di kawasan tersebut. Salah satu tempat yang dilawatinya
ialah Bukit Keplu, Kodiang di dalam daerah Kubang Pasu di mana beliau
telah menemui tiga kapak batu zaman Neolitik dan berpuluh-puluh
serpihan tembikar yang kebanyakannya berbentuk seperti kon dan ada
di antaranya yang berlubang (Williams-Hunt 1952). Berdasarkan kepada
bentuk tembikar yang agak unik ini, beliau m.b. merumuskannya sebagai,
'The exact function of these objects
remains speculative
.. it can only be suggested that they
have some ritual significance, possibly, in association with Buddhism'
(Williams-Hunt 1952:182).
Pendapat demikan telah disangkal oleh Sieveking, dan berdasarkan
kepada cara pembuatan dan bentuk hias beliau berpendapat tembikar
tersebut telah dibuat oleh masyarakat zaman Neolitik (Sieveking
1956:194).
Kajian yang terperinci mengenai serpihan tembikar yang dijumpai
di Kodiang itu telah dibuat oleh B.A.V. Peacock (1964). Minat untuk
berbuat demikian timbul apabila penyelidikan yang dijalankan di
Ban Kao, Thailand telah menghasilkan tembikar yang berkaki tiga
(tripod) Sorensen 1972). Peacock telah berjaya mencantum semula
serpihan-serpihan tembikar tersebut, dan hasilnya ialah sebuah tembikar
berkaki tiga yang menyerupai jumpaan di Thailand. Sehingga kini,
tembikar yang seperti yang tersebut juga telah dijumpai di Semenanjung
Malaysia seperti di Dengkil, Selangor (Leong Sau Heng t.b.) dan
Jeram Kawi, Tembeling, Pahang (Linehan 1928).
Walaupun agak sukar untuk menentukan kegunaan tembikar tersebut,
apa yang lebih penting ialah ianya menunjukkan bukti terdapatnya
perhubungan di antara tempat-tempat tersebut di satu ketika dahulu.
Berdasarkan kepada penyelidikan arkeologi prasejarah yang dijalankan
di Negeri Kedah adalah sukar untuk kita membuat satu rumusan yang
konkrit mengenainya. Di antara sebab-sebabnya ialah kebanyakan dari
penyelidikan tersebut telah dijalankan dengan tidak menggunakan
cara-cara yang sistematik, dan dengan itu keterangan dan bukti-bukti
sampingan telah diabaikan. Justeru itu, ianya akan mencacatkan pengetahuan
tapak-tapak yang diselidiki. Adalah sukar sekarang ini untuk dilaksanakan
kajian di tapak-tapak tersebut kerana kebanyakan darinya telah pun
musnah terutama tapak-tapak gua yang telah diganggu dan dihancurkan
oleh pencari tahi kelawar untuk dijadikan baja bendang dan tanaman.
Di samping itu, adalah sukar untuk kita mengesan tapak-tapak arkeologi
di kawasan lapang kerana kebanyakan tanah di Negeri Kedah telah
digunakan untuk tanaman padi, dengan itu ianya sering ditakungi
air, atau setidak-tidaknya tanah tersebut telah diganggu semasa
aktiviti membajak.
Walaubagaimanapun, bukti-bukti yang ada jelas menunjukkan terdapat
satu turutan yang panjang bermula dari zaman Hoabinhian ke zaman
Neolitik. Tidak terdapat tarikh-tarikh yang tepat tentang bila zaman-zaman
tersebut bermula, dengan terjumpanya kapak-kapak batu Neolitik di
tapak-tapak Hindu/Buddha di Permatang Pasir (Sullivan 1958 pl 17)
dan Gua Kepah, Seberang Perai (Quaritch-Wales dan Quaritch -Wales
1947) jelas menunjukkan bahawa masyarakat di Kedah masih menggunakan
alat-alat batu di masa kedatangan pedagang India di pantai negeri
tersebut kira-kira kurun ke 4 atau 5 masihi ataupun lewat dari itu.
|