|
Sejarah Awal - Lembah Bujang
 |

Antara kesan-kesan candi yang dibina semula di Bukit Batu Pahat,
Lembah Bujang.

Kesan candi yang dibina semula di tapak 21, Pengkalan Bujang,
Lembah Bujang.
|
Kepentingan Lembah
Bujang di dalam perkembangan sejarah awal Negeri Kedah memang
tidak boleh dinafikan berdasarkan dua sumber, iaitu;
- Penulisan ahli-ahli pelayaran Cina dan Arab dan karya-karya
kesusasteraan India, dan
- Bukti-bukti arkeologi.
Kajian mengenai penulisan-penulisan ahli pelayaran Cina dan Arab
dan kesusasteraan India telah dibuat secara meluas oleh Braddle
(1949. 1950, 1980) dan Wheatley
(1957, 1961). Di sini saya tidak bercadang untuk mengulang
secara terperinci tentang huraian-huraian yang telah dibuat oleh
mereka, hanya memadai kalau diberi rumusan secara umum dengan ringkas
sahaja.
Catatan yang terawal mengenai Negeri Kedah terkandung di dalam
sebuah puisi Tamil berjudul Pattinappalai yang ditulis di antara
kurun kedua atau ketiga Masehi yang menyebut Kedah sebagai Kalagam
yang dikatakan mempunyai pengertian yang sama seperti Kandaram iaitu
Kedah. Batu bersurat kerajaan Chola bertarikh 1030 Masehi pula menunjukkan
dengan jelasnya bahawa Kandaram itu adalah adalah sama dengan Kataha
yang terkandung dalam cerita-cerita lama Sanskrit (Puranas) terutamanya
di dalam drama Kaumudimahotsava yang ditulis di antara kurun ketujuh
atau kelapan Masehi (lihat Wheatley 161 : 279-280 dan Braddle 1980
: 41 - 43 untuk keterangan yang lebih mendalam mengenai perkara
ini). Selain dari itu, Kedah juga disebut di dalam karya Prakrit
iaitu Samaraiccakaha yang dihasilkan dalam kurun kelapan Masehi,
dan juga di dalam karya - karya Katha seperti Khatasaritsagara.
Di dalam karya - karya tersebut di atas, Negeri Kedah dibayangkan
sebuah negara yang makmur dan gemilang sekali ataupun sebagai "the
seat of all felicities" (Wheatley 1958).
Negeri Kedah juga dikenali sebagai Chieh-ch'a atau Kie-tch'a oleh
ahli-ahli pelayaran China di abad ketujuh Masehi. Pada ketika itu
ramai ahli-ahli agama Buddha berulang alik dari Negeri China ke
Negeri India, dan salah seorang dari mereka ialah I-Tsing (I-Ching)
yang telah memulakan pelayaran di dalam tahun 671 Masehi dari Negeri
China dan tiba di Srivijaya (Palembang) dalam tahun 672 untuk mempelajari
bahasa Sanskrit. Pada tahun berikutnya beliau telah pergi ke Kedah
melalui Melayu untuk menumpang sebuah kapal diraja India. Setelah
belajar selama 12 tahun di Universiti Nalanda beliau sekali lagi
singgah ke Kedah di dalam tahun 685 semasa di dalam perjalanan pulang
ke Negeri China. Daripada tulisan beliau, kita dapati Negeri Kedah
merupakan sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang teragung di
rantau ini terutamanya untuk Kerajaan Srivijaya. Selain dari tulisan
I-Tsing, Wheatley berpendapat bahawa Kedah juga dikenali sebagai
Chia-cha yang menghantar utusan mengadap Maharaja China di dalam
tahun 638 Masehi (Wheatley 1961 : 278).
Bukti-bukti dari ahli pelayaran Arab adalah terhad dan agak lewat
dari segi kronologinya, iaitu tulisan yang dibuat oleh Sulaiman-al-Mahri
di dalam kurun kelima belas Masehi yang menyatakan bahawa Negeri
Kedah (dieja Keda) terletak pada garis lintang yang sama seperti
Negeri Kelantan.
Walaupun terdapat keterangan mengenai Negeri Kedah yang dibuat
oleh ahli-ahli pelayaran China dan Arab dan juga terdapat di dalam
karya - karya kesusasteraan India, namun penceritaan dan sebahagian
dari penulisan tersebut adalah kabur dan sukar untuk dinyatakan
dengan tepat, apatah lagi di dalam keadaan sekarang di mana terdapat
pertumbuhan bandar-bandar atau perkampungan di setiap muara-muara
sungai semenanjung ini. Kesulitan ini jelas terbukti bila mana Langkasuka
dan Kedah pada suatu ketika dahulu disamakan dengan Kedah (Winstedt.
1920) padahal ianya dimaksudkan kepada tempat lain (lihat Colles
1969). Kesilapan dalam membuat rujukan nama sesuatu tempat itu sudah
pasti akan mengakibatkan kesilapan di dalam membuat kesimpulan mengenai
perkara tersebut.
Sejarah Penyelidikan Arkeologi
di Lembah Bujang
Kesan-kesan peninggalan arkeologi di Lembah Bujang telah pertama
kali disiasat oleh Kolonel James Low di dalam tahun 1864, tetapi
sejauh mana penyelidikan dijalankan adalah sukar ditentukan kerana
tidak terdapat sebarang laporan yang lengkap. Walau bagaimana pun
catatan yang dibuat sekurang-kurangnya menunjukkan beberapa
tapak telah ditemui. Di awal kurun kedua puluh, dua orang ahli
ukur yang bertugas di puncak Gunung Jerai telah menjumpai tinggalan
tapak Hindu di situ. Seterusnya kajian di Lembah Bujang telah dibuat
oleh Evans di antara tahun-tahun 1920an dan 1930an dengan begitu
ghairah sekali. Di dalam tahun 1921 beliau melawat Sungai Batu dan
menjumpai patung Durga Devi bersama dengan Mahishahura. Di dalam
tahun 1923, sekali lagi beliau melawat Sungai Batu dan menjumpai
Patung Ganesha dan banyak lagi bahan-bahan arkeologi telah ditemui
di tahun-tahun selepasnya (Evans 1927).
Kedua-dua di atas telah membuka lembaran baru di dalam pengkajian
sejarah awal Negeri Kedah. Low dan Evans bahawa artifek dan monumen-monumen
yang dijumpai di Kedah itu mempunyai unsur-unsur India, dan orang-orang
Hindu dan Buddha datang ke rantau ini dalam bentuk penjajah. Low
dan Evans juga berpendapat bahawa Langkasuka terletak di Selatan
Kedah dan Low lebih tepat mengatakan Langkasuka terletak di Bukit
Meriam manakala Evans meletakkannya di Sungai Batu, malah menekankan
bahawa kerajaan Srivijaya yang berpusat di Pelembang mempunyai pengaruh
yang kuat di Kedah. Jadi, selain daripada membuka tirai untuk penyelidikan
arkeologi selanjutnya di Lembah Bujang, mereka juga telah memberi
pendapat berkaitan dengan kawasan tersebut.
Di antara tahun-tahun 1937-1938, H.G. Quaritch-Wales bersama isterinya
telah membuat satu penyelidikan yang menyeluruh dan meluas di Lembah
Bujang, dan hasil dari penyiasatan tersebut sebanyak 30 tapak-tapak
berupa candi telah ditemui, dua puluh sembilan darinya terletak
di sekitar Lembah Bujang dan yang selebihnya di Seberang Perai (Quaritch-Wales
1940). Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, mereka telah menyambung
penyelidikan dan kali ini menumpukan perhatian kepada tapak-tapak
di Seberang Perai (Quaritch-Wales and Quaritch-Wales 1947). Perlu
diingat bahawa kedatangan Quaritch-Wales ke Lembah Bujang adalah
atas urusan 'Greater India Research Committee' yang berpusat
di Calcutta, yang bertujuan untuk melihat dan meninjau proses penjajahan
yang dibawa oleh orang-orang India di rantau ini. Lembah Bujang
atau Kedah dipilih berdasarkan kedudukan ilmu alamnya yang terletak
di tengah-tengah antara India dan China. Di dalam konteks ini, kita
dapati bahawa penyelidikan yang dijalankan oleh Quaricth-Wales,
walaupun dibuat secara sistematik, adalah berat sebelah, kerana
sudah wujud satu pemahaman yang kukuh yang cuba dibuktikannya. Atas
dasar ini beliau sering dikritik berhubung dengan kesimpulan-kesimpulan
yang dibuat mengenai arkeologi Lembah Bujang.
Kajian di Lembah Bujang telah terhenti untuk seketika sehingga
tahun 1956 apabila Persatuan Arkeologi Universiti Utara Malaysia
di bawah arahan K.G Tregonning dan M. Sullivan membuat eskavasi
dan tinjauan di sekitar Seberang Perai dan Lembah Bujang (Sullivan
1958). Walaubagaimanapun penyelidikan yang lebih berkesan dan lebih
sistematik telah dimulakan oleh Lamb, beliau dengan kerjasama beberapa
orang pakar dari luar telah berjaya menggali cari dan membina semula
tapak Candi Bukit Batu Pahat di antara tahun-tahun 1959-1960 ( Lamb
1960). Lamb selanjutnya telah membuka jalan baru dengan membuat
eskavasi di Pengkalan Lembah Bujang yang telah menghasilkan timbunan
serpihan seramik di dasar sungai tersebut (Lamb 1961).
Di awal tahun 1970an, kajian di Lembah Bujang telah dijalankan
oleh Kakitangan Jabatan Muzium di bawah arahan Al-Rashid dan kemudiannya
oleh penulis sendiri. Akhir-akhir ini penyelidikan diselenggarakan
oleh Encik Kamarudin Zakaria. Perlu juga disebut di sini bahawa
penyelidikan yang dibuat oleh Leong Sau Heng khusus mengenai Pengkalan
Bujang di dalam menentukan kepesatan Lembah Bujang di dalam perdagangan
antarabangsa.
|