| |
Sejarah Lembah Bujang Berdasarkan
Penemuan Arkeologi
 |

Salah satu lagi tapak candi di Bendang dalam Lembah Bujang.

Tapak Candi Site 11 di Lembah Bujang, Merbok.
|
Berdasarkan kepada penyelidikan arkeologi yang telah dibuat sejak
satu abad yang lalu, beberapa kesimpulan boleh dibuat mengenai sejarah
Lembah Bujang. Wales (1940) telah mengemukakan hipotesis mengenai
arus perkembangan tahap-tahap penjajahan dari India ke rantau ini.
Beliau telah membuat empat tahap perkembangan tersebut, iaitu :
- Arus pertama merangkumi jangkamasa di antara kurun pertama hingga
kurun ketiga berdasarkan kepada manik yang dipercayai dari Rom
dan juga berdasarkan kepada beberapa serpihan tembikar yang dijumpai
di Johor lama. Tidak banyak bukti dijumpai di Lembah Bujang.
- Arus kedua bermula kira-kira 300 Masehi hingga 550 Masehi berdasarkan
kepada batu-batu bertulis dan tapak-tapak 1 hingga 3, dan merupakan
tahap yang pertama untuk Lembah Bujang. Masyarakat adalah beragama
Hindu dan kerajaan di bawah pengaruh Funan. Terdapat tapak-tapak
lain di Lembah Kinta.
- Arus ketiga menunjukkan terdapat perubahan kebudayaan yang
berlaku di antara tahun 550 hingga 750 Masehi, dan Kedah adalah
di bawah penjajahan Hindu Pallava, dan pengaruh ini mula menjalar
ke pantai timur semenanjung. Ianya dilambang oleh tapak-tapak
4 hingga 9 di Lembah Bujang yang dianggap sebagai kuil Siva.
- Arus keempat di antara 750 hingga 900 Masehi menunjukkan kewujudan
kepercayaan Buddhisma dari Selatan India yang mempunyai unsur-unsur
Pala Mahayana.
Konsep yang dikemukakan oleh Quaritch-Wales di atas telah dikatakan
sebagai tidak berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi yang sebenar.
Kajian yang dijalankan oleh Lamb mengenai candi Bukit Batu Pahat
jelas menunjukkan persamaan dengan tapak-tapak Hindu di Indonesia
terutamanya Biarosi Topajan di Padang Lawas, Sumatra (Lamb 1961
: 1-9). Selain dari itu Lamb juga membuktikan bahawa cepu batu yang
ditemui tertanam di bawah Candi Bukit Batu Pahat juga menampakkan
ciri-ciri asia Tenggara iaitu ianya melibatkan aktiviti pemujaan
jenis tantrik dan bukannya amalan Hindu mazhab Siva seperti yang
disarankan oleh Quaritch-Wales.
Selain dari Wales, Wheatley juga tidak ketinggalan mengemukakan
periodisasinya berhubung dengan perkembangan sejarah yang dilalui
oleh Lembah Bujang (Wheatley 1961 : 275 - 278). Menurut beliau sejarah
Kedah bermula ketika Gunung Jerai, Bukit Penjara dan Bukit Batu
Lintang masih lagi merupakan pulau di mana pedagang dari India mempunyai
kontek dengan masyarakat tempatan. Kira-kira kurun kelima masehi
Buddhisma sudah menapak di Lembah Bujang. Kini hubungan dengan India
sudah terjalin erat, tetapi tiga kurun kemudian, Buddhisma telah
diresapi oleh unsur-unsur Saivisma di Kedah, dan penempatan tertumpu
di kawasan tengah Sungai Bujang.
Bentuk-bentuk candi yang menghala ke timur menunjukkan amaan linga
di kalangan masyarakat Hindu di Kedah. Di antara kurun kelapan dan
kesembilan, unsur-unsur Mahayana kembali menapak di Kedah. Pedagang
Arab dan China telah mengambil bahagian di dalam perdagangan di
rantau ini pada ketika ini. Di abad kesepuluh, masyarakat di Lembah
Bujang kembali Hindu, dan kawasan penempatan yang baharu dibuka
di Sungai Muda. Menurut Wheatley, Kedah lumpuh selepas serangan
yang dilancar oleh Raja Chola, Rajendra 1 dalam tahun 1025-1030
dengan menyatakan
"Precisely when this deline set in difficult to say but it
well date from the great raid of Rajendra 1, when Kedah, as one
of the twin foci of the empire, was selected as a major abjective.
Srivijaya apparently recovered from this reserved after a few years
but Kedah seems never to have recaptured its lost prestige"
(Wheatley 1961-281).
Dengan berasaskan kepada penemuan arkeologi, Lamb telah mengemukakan
alternatif yang lebih konkrit dan munasabah. Lamb telah membahagikan
pendudukan di Kedah kepada empat peringkat juga iaitu :dhisma
- Phasa Buddhisma yang awal dibuktikan oleh tiga inskripsi yang
dijumpai oleh Low dan Quaritch-Wales yang mempunyai kaedah ye
dharma yang dikatakan dibuat atas arahan Buddhagupta bagi
menjamin keselamatan pelayaran. Ketiga-tiga inskripsi ini mempunyai
teks yang sama dan diberi tarikh keempat atau kelima Masehi.
- Phasa Srivijaya yang dibuktikan oleh penemuan seperti archa
gangsa yang serupa dengan yang dijumpai di Sambas, Kalimantan,
Indonesia termasuk juga tapak 16 dan 16a. Penumpuan aktiviti perdagangan
di Takuapa, Thailand masih mengamalkan Buddhisma Mahayana, kadang-kadang
mempunyai unsur tantrik, termasuk juga penempatan di Perak yang
mempunyai kepercayaan yang serupa. Telah diberi tarikh di antara
kurun ketujuh dan kesembilan.
- Phasa Pengkalan Bujang yang tidak mungkin wujud lebih awal
dari kurun kesebelas Masehi, dan melambangkan kejatuhan pusat
perdagangan di Takuapa. Phasa ini memperlihatkan perkembangan
Lembah Bujang dan juga pertumbuhan kawasan penempatan di sekitar
Sungai Bujang dan Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu. Kemerosotan
perdagangan di Lembah Bujang tidak lewat dari kurun keempat belas
kerana tidak terdapat penemuan seramik jenis biru dan putih. Penemuan-penemuan
yang digolongkan di Phasa ini menolak pendapat Wheatley mengenai
tarikh kejatuhan Lembah Bujang kerana menurut Lamb, Lembah Bujang
mula meningkat setelah serangan yang dilancarkan oleh Raja Chola.
Phasa ini juga menampakkan peranannya sebagai pusat yang menghubungkan
kawasan pedalaman dengan dunia luar.
- Phasa Kuala Muda berkembang setelah Lembah Bujang mencapai
kemuncaknya dan dicirikan oleh seramik jenis Ming biru dan putih.
Pada ketika ini adalah dipercayai bahawa Sungai Muda sudah mengubah
haluan, dan perkara ini pernah juga dicatat di dalam Hikayat Merong
Mahawangsa.
Di antara ketiga-tiga pendapat yang tersebut di atas, kita dapati
pendapat yang disarankan oleh Lamb adalah lebih munasabah kerana
ianya berdasarkan kepada bukti arkeologi yang nyata, walaupun kadang-kala
bercanggah dengan fakta sejarah seperti yang terdapat di dalam penulisan
kronikel China dan karya-karya India yang dinyatakan di atas tadi.
Persoalan yang sering dikemukakan mengenai Lembah Bujang ialah
mengenai tarikh kawasan tersebut sudah tidak begitu masyhur lagi.
Menurut Lamb kemerosotan Lembah Bujang adalah disebabkan oleh perubahan-perubahan
yang berlaku kepada sistem sungai di Lembah Bujang dan juga disebabkan
oleh kerana Sungai Bujang dan Sungai Merbok sudah kurang dalam dan
jauh di pedalaman. Lagi pula pedagang-pedagang mula menjelajah dan
mengeksploitasi kawasan-kawasan yang terletak di selatan Semenanjung
seperti Melaka dan Singapura. Bukti yang jelas tentang berakhirnya
Lembah Bujang ialah makam Sultan Muzaffar Shah yang telah memeluk
Agama Islam pada kira-kira tahun 1474 (Winstedt 1920:30).
Penemuan Arkeologi di Luar
Lembah Bujang
Tidak terdapat satu penyelidikan yang dirancang telah dibuat di
Negeri Kedah. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa aspek
sejarah awal selain dari Lembah Bujang adalah tidak penting. Kita
mungkin sedar tentang pemerintahan di Kampung Siputeh di mana tersebut
alkisah Puteri Lindungan Bulan yang amat menarik parasnya yang menjadi
rebutan dan perbalahan. Bukti yang dapat dilihat hingga kini hanyalah
batu nisannya yang mempunyai unsur-unsur batu nisan Acheh. Walaubagaimanapun
di dalam tahun 1957 ditemui satu khazanah yang mengandungi dua puluh
tiga buah seramik, alat kaca, wang syiling dan tembikar tanah. Memandang
kepada kuantiti bahan yang diperolehi maka besar kemungkinan bahan
yang serupa itu akan ditemui kelak. Berdasarkan kepada seramik yang
ditemui, khazanah yang dijumpai di Kampung Siputeh itu tarikh yang
diberi ialah akhir kurun keenam belas atau awal kurun ketujuh belas
Masehi.
Penutup
Selain dari kajian-kajian yang telah dijalankan di Lembah Bujang
dan tapak-tapak arkeologi prasejarah, tidak terdapat sebarang penyelidikan
yang dibuat untuk tapak-tapak lain. Antara sebab yang utama ialah
kekurangan tenaga yang berkelayakan di negara kita yang membolehkan
penyelidikan tapak-tapak sejarah diselidiki secara eskavasi bagi
mendapatkan maklumat yang mungkin tidak terdapat di dalam penulisan
sejarah tempatan. Masalah kedua ialah menentukan tapak sebenar sesuatu
penempatan. Masalah ini akan lebih ketara apabila kita menyelidik
tapak-tapak di kawasan lapang. Oleh kerana Negeri Kedah merupakan
jelapang padi negara, banyak kawasan dijadikan bendang dan kawasan
tersebut biasanya ditenggelami air. Ini sudah tentu menyusahkan
kerja-kerja penyelidikan awal hendak dilaksanakan.
Sebagai kesimpulan, kita dapati sejarah awal Negeri Kedah bermula
pada kira-kira kurun keempat atau kelima Masehi di Lembah Bujang.
Kawasan ini berkembang dengan pesatnya, mencapai kemuncaknya pada
kurun keempat belas, dan selepas itu pusat perdagangan berpindah
ke kawasan Sungai Muda. Pada masa itu, masyarakat Melayu masih lagi
menganuti agama Hindu atau Buddha, sehinggalah tahun 1474 bilamana
Raja dan seterusnya rakyat negeri memulakan penghidupan baru sebagai
umat Islam.
|
|