|
Abstrak
 |

Candi di Lembah Bujang, Merbok, Kedah. |
Tamadun di selatan Kedah atau di Lembah Bujang (Serpent Valley
) di awal abad Masihi hingga 20 Masihi mempunyai perhubungan yang
sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa
negara di Asia, China, Asia Barat dan India. Perkembangan pelabuhan
entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya.
Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik,
kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan,
runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar
atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung
atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan
masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya
negara pesisiran Kedah purba.
Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah
yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah
dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima
puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi
sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan
belum menemui titik pertemuan. Status dan potensinya yang diperakui
oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi
Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian
Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan
salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan
ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan
memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba -
Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang
terbilang.
Penyelidikan Arkeologi
Sungai Mas, Kedah
Mukadimah
 |
 |
| Sebahagian daripada susunan blok laterit
dan batu-bata benteng penahan ombak yang panjang dan lebarnya
belum diketahui. |
|
Kampung Sungai Mas terletak di Mukim Kota, Daerah Kuala Muda, Kedah
Darul Aman, merupakan komponen tapak tanah bersejarah zaman proto
yang terkini dan tersohor di dalam zon penyelidikan arkeologi Lembah
Bujang. Keluasan kawasannya yang menjangkau 102.59 hektar (253.5
ekar). Keluasan merangkumi tanah kampung 74.06 hektar, bendang 22.66
hektar, nipah 3.04 hektar, makam purba DiRaja 0.41 hektar, perkuburan
Cina 1.62 hektar dan perkuburan Islam 0.20 hektar. Kawasan ini berjiran
dengan beberapa buah kampung seperti Kampung Alor Nibung, Permatang
Janggus, Kubang Jambu, Pinang, Sungai Terus, Baru dan Pekan Kota
Kuala Muda. Mukim Kota juga dikelilingi oleh Mukim Haji Kudong,
Kuala, Bukit Meriam, Rantau Panjang dan di selatannya bersempadan
dengan Seberang Prai Utara, Pulau Pinang yang dipisahkan oleh Sungai
Muda. Mukim dan kampung ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan
tapak tanah bersejarah.
Lokasi tanah daratannya yang dilingkari oleh Sungai Muda, Sungai
Terus, Sungai Merbok dan Selat Melaka menjadikan ia sebagai sebuah
pulau. Jaraknya dari Pantai Merdeka ialah 10 kilometer, 20 kilometer
dari Bandar Sungai Petani. 30 kilometer dari Butterworth, Pulau
Pinang, 35 kilometer dari Gunung Jerai dan 3.0 kilometer dari Selat
Melaka meletakkan ia sebagai daerah yang strategik dalam pelbagai
aspek.
|