| |
Sejarah Penyelidikan
Penjelajahan tapak tanah bersejarah di koridor Sungai Muda pada
awalnya lebih merupakan aktiviti purbawan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai
kolonial sejak 1830-an. Dalam tahun 1849 Leftenan Kolonel James
Low, Superintendent Province Wellesley, Prince of Wales Island
telah melaporkan penemuan struktur batu-bata di Srokam dan Sungai
Mas. Sungai Mas dikatakan mengalir ke Sungai Muda. Walaubagaimanapun,
sehingga tahun 1974 tidak terdapat sebarang maklumat susulan berkaitan
Sungai Mas. Penyelidikan yang dilaksanakan oleh G.W. Earl. P.V.
van Stein Callenfels, I. H. N. Evan, Wales H.G. Quaritch, Wales
D.C. Quaritch, Michael Sullivan, R. Braddel, B.A.V. Peacock, Persatuan
Arkeologi Universiti Malaya, Foong See Tonn, Wang Gungwu, K.S.Tregoning,
J. Stargardt dan Leong Sau Heng tidak pernah membicarakan Sungai
Mas. Lokasi tapak tanah bersejarah ini muncul semula di peta taburan
tapak kajipurba Lembah Bujang pada tahun 1974, oleh Al Rashid Ibrahim
dari Muzium Negara yang memainkan peranan utama di dalam projek
khas menerusi National Archaeological Survey And Research Unit
(NASRU). Akan tetapi, tiada sebarang laporan bertulis sebagai
sumber rujukan. Situasi berterusan sehingga 1980 ini kerana Adi
Taha dari Jabatan Muzium dan Nik Hassan Suhaimi Abdul Rahman dari
Universiti Kebangsaan Malaysia menumpukan aktiviti ekskavasi di
Candi Pengkalan Bujang (tapak 21 & 22), Candi Bukit Pendiat
(tapak 17), Candi Bendang Dalam (tapak 50) dan Gua Bukit Penjara,
Pantai Merdeka.
Kegemilangan Sungai Mas sebagai tapak bersejarah zaman proto-sejarah
bermula dalam tahun 1979 apabila Jane Allen, Jan Wisseman Christei
dari Amerika Syarikat dengan kerjasama dari Muzium Arkeologi Lembah
Bujang dan Jabatan Geografi, Universiti Malaya menjalankan penyelidikan
berkaitan "Trade transportation and tributaries: exchange,
agriculture and settlement distribution in early historic-period
Kedah, Malaysia". Beliau telah melaporkan sebanyak 12 buah
tapak bersama jumpaan artifak yang terdiri dari bahan binaan, seramik
asing, tembikar tanah, kaca, manik dan batu bersurat di kawasan
Kampong Sungai Mas.
Penemuan batu bersurat Buddhagupta dan terbongkarnya berpuluh
ribu artifak akibat projek pembinaan tali air telah menarik perhatian
pelbagai pihak. Justeru, mulai tahun 1980 satu usaha bersama dibentuk
di antara Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah yang diketuai
oleh Kamaruddin Zakaria dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman
dari Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
untuk menjalankan kajiselidik. Peringkat awalnya aktiviti ini agak
terbatas kerana pada waktu yang sama, projek ekskavasi di Candi
Bendang Dalam (tapak 50) dan Candi Matang Pasir (tapak 31) sedang
dilaksanakan. Walaubagaimanapun, dalam tahun 1981 Nik Hassan Suhaimi
Nik Abdul Rahman telah menjalankan ekskavasi percubaan yang pertama
di kawasan tanah lot 567 (tapak 33) dengan misi penyelidikan berkaitan
"Art, archaeology and the early kingdoms in the Malay Peninsular
and Sumatera: 400-1400 A.D.". Dalam tahun yang sama, Leong
Sau Heng dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah
menjalankan ekskavasi di kawasan yang sama, akan tetapi hanya untuk
latihan amali pelajar arkeologi. Dalam tahun 1984, pasukan arkeologi
dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, yang diketuai oleh Kamaruddin
Zakaria telah menjalankan ekskavasi selektif untuk mengenal pasti
potensi tapak tersebut. Dalam waktu yang sama penyelidikan dan ekskavasi
selektif Candi Bukit Choras (Tapak 1), Mukim Sala, Daerah Yan dijalankan
untuk mengkaji perbandingan di antara batu bersurat tapak tersebut
dengan Sungai Mas.
Pendedahan terhadap kepentingan arkeologi menerusi media di dalam
dan luar negara serta penemuan pelbagai data merupakan faktor pemilihan
Sungai Mas di dalam projek "2nd Intra-ASEAN Archaeological
Excavation And Conservation Bujang Valley, Kedah, Malaysia",
yang berlangsung dari 4 -27 Oktober, 1985. Projek ini telah disertai
oleh pakar-pakar dari Brunei Darussalam, Filipina, Malaysia, Singapura,
Thailand dan Indonesia. Projek ini telah mengukuhkan lagi bukti-bukti
penting yang memerlukan pelan tindakan yang komprehensif. Di antara
gagasan yang diutarakan ialah tapak tanah bersejarah Sungai Mas
merupakan bandar pelabuhan Kedah purba awal yang perlu diselidiki
secara intensif kerana ia bukan sahaja akan menyingkap dan membongkar
perkembangan tamadun zaman pra-Islam di Malaysia, tetapi juga di
seluruh Asia Tenggara.
Perkembangan penyelidikan selepas tahun 1985 kurang aktif kerana
masalah peruntukan kewangan, akan tetapi beberapa siri eksplorasi
masih diteruskan oleh ahli-ahli arkeologi, khususnya dari Muzium
Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah. Keutamaan difokuskan kepada
koridor Sungai Muda, Sungai Simpor, Sungai Terus dan Sungai Merbok.
Operasi ini meliputi juga beberapa buah pulau di Selat Melaka iaitu
Pulau Sayak, Bidan, Telor, Songsong, Bunting dan Tukun Terendak.
Usaha ini mengesahkan Kampong Sireh dan Simpor Tambang sebagai pelabuhan
sampingan selain daripada Sungai Mas sebagai pelabuhan pesisiran
pantai. Taburan runtuhan struktur binaan di Seberang Prai Utara,
Pulau Pinang seperti di Guar Kepah, Kota Aur dan Rantau Panjang
serta artifak pecahan seramik di pulau-pulau tersebut adalah merupakan
data-data yang bernilai tinggi. Dalam jangka waktu yang sama dari
tahun 1986 hingga 1991, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dengan kerjasama
pensyarah dan pelajar dari Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, Selangor telah menjalankan projek ekskavasi di
Kompleks Percandian Pengkalan Bujang, Mukim Bujang, khususnya di
tapak 23. Di kompleks ini terdapat enam buah candi di dalam kawasan
seluas 3.5 hektar. Ekskavasi dilaksanakan untuk mendapatkan data
berkaitan kepadatan dan kepelbagaian artifak untuk kajian perbandingan
dengan Sungai Mas.
Dalam tahun 1990 -1991 telah dilancarkan projek kajiselidik bersama
di antara Jabatan Muzium yang diketuai oleh Kamaruddin Zakaria dari
Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah, Dr. Nik Hassan Suhaimi
Nik Abdul Rahman dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan Dr. Michel
Jacq-Hergoualc'h dari Centre National de la Recherche Scientifque,
Paris dan Pusat Penyelidikan Timur Jauh Perancis di Malaysia. Pengumpulan
data ini telah mengukuhkan lagi terhadap kepentingan Sungai Mas
dalam konteks penyelidikan arkeologi proto-sejarah.
Perkembangan yang menarik ialah Sungai Mas terlepas pandang di
dalam aktiviti penyelidikan sama ada di zaman kolonial atau selepasnya.
Malahan ketika Quarith Wales dan isterinya Dorothy Wales memberi
perhatian terhadap ekplorasi dan ekskavasi secara selektif dan ad-hoc
di 30 buah lokasi, Sungai Mas terlepas dari sasaran tersebut. Penyelidikan
yang dilaksanakan di kawasan berhampirannya mengukuhkan lagi bukti
peranannya sebagai pelabuhan entrepot purba, kerana tapak tersebut
merupakan komponen Sungai Mas. Di antara tapak-tapak tersebut ialah
Candi Bukit Penjara, Candi Bukit Meriam tempat dijumpai Inskripsi
Buddhagupta, Candi Bukit Batu Lintang berhampirannya dijumpai patung
Dvarapala yang dibuat dari batu granit. Ketiga-tiga bukit ini juga
mungkin berfungsi sebagai pos pemerhati atau pengawal terhadap aktiviti
di "Teluk Merbok" dan juga di Selat Melaka. Manakala di
Sungai Terus dijumpai tali pinggang emas berukir dengan lambang
Kala atau Simha Mukha yang beratnya 13.574 kilogram. Dua inskripsi
atau batu bersurat Buddhagupta yang menggunakan tulisan Pallava
dan bahasa Sanskrit dijumpai di Guar Kepah dan Ceruk Tokun, Bukit
Mertajam, Pulau Pinang merupakan di antara sumber yang penting di
dalam penyelidikan ini. Beberapa buah tapak lain yang mempunyai
hubungan ialah Candi Matang Pasir, Candi Tikam Batu dan taburan
tapak di pesisiran Sungai Muda, termasuk sebuah pelabuhan terpencil
iaitu Srokam di Pinang Tunggal.
|
|