Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Lembah Bujang : Penyelidikan Arkeologi Sungai Mas, Kuala Muda, Kedah Darul Aman

 
 

Penyelidikan Arkeologi 1992-2001

Berdasarkan faktor di atas dan hasil penyelidikan yang disokong dengan kaedah sains dan teknologi seperti penggunaan geo-fizik, penderiaan jarak jauh (remote sensing) dan geomorpologi mengesan struktur atau gejala arkeologi, memberi maklumat berkaitan pola penempatan, perubahan jaringan sungai, perubahan muka bumi di pesisiran pantai dan perubahan paras air laut telah mendorong Unit Arkeologi, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur merancang projek penyelidikan ini dalam tahun 1992. Perancangan ini juga berhubung kait dengan penemuan artifak hasil penemuan tidak sengaja atau ekskavasi sebelumnya. Di antaranya ialah inskripsi Buddhagupta bertulisan Pallava berbahasa Sanskrit, patung Hariti, kepala Buddha, kalam semah (votive tablet) Buddha, pelapik patung (statue pedestal) dan kepala atau selusur tangga batu berukir lambang Kala atau Simha Mukha, bahan binaan seperti pelapik tiang, bendul dan bingkai pintu granit, atap genting dan sebagainya.

  Ahli Arkeologi sedang melaksanakan aktiviti ekskavasi.

Di samping itu, kewujudan beberapa buah kota pemerintahan Kesultanan Kedah purba sebelum Islam dan setelah Islam yang dipaparkan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa dan Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Kota tersebut ialah Kota Bukit Meriam, Kota Sungai Emas, Kota Aur, Kota Arong-arongan dan Kota Kuala Muda yang dibauri di antara fakta dan fantasi. Dari aspek mitosnya di daerah ini lahir dan besarnya Raja Pra' Ong Mahapudisat atau Raja Bersiong. Pertindihan dan kekaburan sumber ini memerlukan penjelasan dan bukti yang ilmiah.

Justeru, projek ini bertujuan untuk membongkar, menyingkap, merekonstruksi dan menyusun kronologi sejarahnya. Sasaran ekskavasi ialah di kawasan tanah lot 735 Kampung Sungai Mas, Mukim Kota, Daerah Kuala Muda yang luasnya 13 a. 3r. 38p. Walau bagaimanapun, tumpuan utama hanya di lot lidi 3, 4, 5, 6 dan 7 dengan keluasan 1 hektar. Kawasan ini merupakan di antara tapak yang paling ketara dengan runtuhan struktur bangunan dan mengandungi kepadatan artifak yang tinggi. Di samping itu, tapak ini masih asli dan belum pernah disentuh oleh mana-mana penyelidik.

Penyelidikan ini dilaksanakan dengan beberapa metodologi dengan pendekatan in-site conservation dan dipersembahkan secara interpretatif. Selaras dengan etika dan multi-discipline arkeologi, projek ini dilengkapi dengan pejabat tapak dan logistik penyelidikan iaitu satu sistem pengurusan penyelidikan arkeologi lapangan yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia.

Hasil Penyelidikan

Operasi yang dilaksanakan dari November 1992-Mei 2001 dengan kerjasama dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah, Muzium Perak, Taiping, muzium-muzium negeri, Yayasan Warisan Johor, pensyarah, pelajar dan siswazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor dan beberapa institusi pengajian tinggi, termasuk dari luar negeri seperti Universitas Udayana, Bali, Universitas Gadjah Mada, Yokyakarta, Indonesia, Kan Sai University, Okoyama, Japan, National University, Singapore dan York University, United Kingdom dan masyarakat tempatan telah berhasil menggarap pelbagai data.

Dalam tempoh ini sebanyak 162 petak telah diekskavasi dengan keluasan 324 meter persegi. Kedalamannya ialah di antara 20 sm-230 sm. Walaupun laporan geo-fizik memberi petunjuk terhadap kewujudan gejala arkeologi sehingga 6 meter, ekskavasi dikawal pada kedalaman tersebut kerana masalah tanah berpasir yang mudah runtuh. Secara amnya pada kedalaman 180sm - 320sm merupakan lapisan pasir bercampur dengan kulit kerang (Anadara granosa). Lapisan yang dikaitkan dengan tapak tanah bersejarah kebudayaan 'Hoabinhian' di Guar Kepah, Paya Keladi, Lahar Tuan Said, Seberang Perai Utara dan Tok Soh, Kedah.

Ahli Arkeologi mempersembahkan laporan ekskavasi, sebelum penutupan projek pada 'Malam Tautan Kenangan' di Pulau Sayak Resort, Kedah.  

Ekskavasi ini menjumpai dan mendedahkan runtuhan struktur sebuah kompleks bangunan yang tidak dikenal pasti dari segi bentuk dan fungsinya. Struktur bersambung dengan beberapa struktur lain, termasuk yang di tapak ekskavasi 198-an di kawasan tanah lot 565 dan 566. Beberapa bahagian yang dijumpai ialah lantai, koridor, tangga, bendul pintu, saliran air dan pelapik tiang. Bahan binaan yang digunakan ialah batu-bata, batu lumpur, granit, batu pasir, batu sungai, laterit, kayu dan atap genting. Penemuan yang paling menarik ialah tembok atau benteng yang mungkin berfungsi sebagai penahan ombak. Benteng ini dijumpai di sebelah timur dan memanjang dari utara ke selatan. Ketebalan susunan blok laterit dan batu yang terdedah ialah 2 meter, tidak termasuk bahagian yang masih di dalam tanah. Panjang dan lebarnya belum diketahui kerana aktiviti mengesan penjajarannya belum dilaksanakan. Walau bagaimanapun, rekabentuk dan bahan binaan yang digunakan mempunyai persamaan dengan benteng yang terdapat di Simpor Tambang dan Srokam.

Di samping struktur tersebut, sebanyak 191,506 artifak yang terdiri daripada pecahan seramik asing, tembikar tanah kaca, atap genting, batu-bata, logam, damar, tulang, tungku, duit dan beberapa artifak atau objek yang tidak dikenali. Jumlah ini tidak termasuk artifak yang dijumpai tidak sengaja. Pecahan tembikar tanah yang terdiri daripada badan, alas kaki, bibir, penutup, tangkai dan muncung kendi merupakan artifak yang paling dominan. Terdapat dua jenis, iaitu yang tidak berhias atau polos dan yang mempunyai ragam hias. Ragam hiasnya yang pelbagai menunjukkan daya cipta masyarakat yang membuat dan menggunakan pada zaman tersebut. Sehubungan dengannya terdapat beberapa pecahan tembikar tanah yang bertulis dengan huruf Pallava berbahasa Sanskrit. Tulisan seperti ini dijumpai juga di tapak ekskavasi Candi Bukit Pahat (8A), Merbok, yang lazimnya digunakan untuk upacara keagamaan.

Artifak pecahan seramik asing merupakan di antara bukti yang penting terhadap kewujudan Sungai Mas sebagai pelabuhan purba. Seramik China dari zaman Dinasti Tang (618-906 A. D.) dan Dinasti Sung (960-1279 A. D.) di antara seramik asing yang paling banyak dijumpai, seperti stoneware, seladon dan porselin. Di samping itu, terdapat seramik dari Asia Barat abad ke-800A. D.-1000 A.D. berwarna biru atau hijau dan pecahan kaca (Islamic glass) pelbagai warna.

Di Sungai Mas, manik merupakan di antara artifak yang mewarnai penyelidikan arkeologi. Pada masa ini terdapat sebanyak 21,673 butir yang dijumpai menerusi ekskavasi dan 61,680 butir jumpaan tidak sengaja. Jumlah dan sistem pengurusan manik purba ini telah dimasukkan di dalam The Malaysia of Book Record. Bahannya yang terdiri daripada kaca, batu permata, oniks, kornelian, kerubung, firuz, emas, tanah liat, terracotta, akik dan tulang ikan dengan pelbagai warna, ragam hias dan bentuk adalah simbol kegemilangan Sungai Mas. Manik bukan sahaja sebagai bahan dagangan yang diimport, akan tetapi Sungai juga merupakan pusat kraftangan dan industri kecil manik di gugusan Indo-Pasifik, seiringan dengan Kuala Selinsing, Perak. Pecahan kaca dari Asia Barat diproses semula untuk dijadikan manik. Penemuan manik-manik yang pecah, cacat, tidak sempurna, separuh siap, belum ditebuk, bahan-bahan mentah untuk membuat manik dan beberapa jenis manik yang dipercayai tidak terdapat di tempat lain merupakan data untuk menguatkan senario ini. Dalam erti kata lain, Sungai Mas setanding dengan beberapa pusat pembuatan manik zaman itu seperti Mantai, Sri Lanka, Khlong Thom atau Kwan Lukpat (Bead Hill), Thailand dan Oc-eo, Vietnam. Sejarah perkembangan dan peranan manik Indo-Pasifik dikatakan bermula dari awal abad hingga abad ke 12 Masihi.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah