| |
Kesimpulan
Berdasarkan perkembangan ini beberapa siri kajiselidik telah dijalankan
di beberapa lokasi di Sungai Mas dan persekitarannya. Usaha ini
menghasilkan beberapa penemuan tapak-tapak baru di samping artifak
atau benda purba seperti berpuluh-puluh pelapik tiang granit, bahan
binaan, batu giling, seramik, kaca dan manik. Penemuan terpenting
ialah batu sima, iaitu batu yang dipercayai untuk menandai sempadan
daerah atau sesuatu kawasan pada zaman itu. Di samping beberapa
kajian telah dan sedang dilaksanakan iaitu kajian geo-fizik, fizikal
dan kimia batu-bata, manik, tembikar, morpologi tanah lempong, vegetasi
dan flora purba, etnoarkeologi pelapik tiang, industri batu-bata,
landskap bersejarah Lembah Bujang, Kota Kuala Muda dan Istana Pulau
Tiga. Penyelidikan susulan ini, sesuai dengan status Sungai Mas
sebagai bandar pelabuhan purba, maka kaedah arkeologi petempatan,
perkotaan dan maritim digunakan untuk menghasilkan data-data yang
terbaik.
Merujuk kepada data atau fakta dari sumber China, Arab atau India
dan lain sumber, serta hasil penyelidikan ini, maka adalah jelas
bahawa Sungai Mas merupakan penempatan awal sejak zaman prasejarah
hingga sejarah yang berkembang dan berfungsi sebagai pelabuhan pesisiran
pantai di antara abad ke-5 hingga awal abad 19 masihi apabila kegemilangan
Kota Kuala Muda dan Istana Pulau Tiga sebagai pusat pentadbiran
dan perdagangan dimusnahkan oleh Siam. Kegemilangan Sungai Mas sebagai
pelabuhan adalah kerana kedudukannya yang strategik dengan selatnya
menjadi laluan utama antara saudagar di Lautan Hindi serta saudagar
dari Timur Jauh dan Laut Selatan. Dalam waktu yang sama, ia mengeksploitasi
kedudukannya dalam zon damai khatulistiwa, di mana ia menyediakan
pelabuhan singgah yang selesa bagi kapal-kapal yang sedang menunggu
monsun yang baik. 'Teluk Merbok' di muara Sungai Merbok merupakan
tempat berlabuh yang selamat. Sungai Muda merupakan jaringan sungai
ke pelabuhan sampingan atau terpencil.
Di samping itu, Sungai Muda juga merupakan jalan perhubungan transpeninsular
di antara Sungai Mas atau Kedah purba ke Langkasuka (Yarang, Thailand)
atau negara-negara di timur semenanjung atau sebaliknya. Sumber
alam untuk keperluan penduduk dan perdagangan, kedudukan Gunung
Jerai sebagai tanda mercu pelayaran dan kepercayaan masyarakat penganut
agama Hindu sebagai tempat suci dan tinggalnya para dewa adalah
faktor yang saling membantu. Perkembangan agama Buddha dan Hindu,
bukan sahaja di Sungai Mas, tapi hampir di seluruh Asia Tenggara
atau di selatan benua Asia memainkan peranan yang penting terhadap
perkembangan sesebuah kerajaan waktu itu. Ini dibuktikan dengan
pembinaan berpuluh-puluh buah candi di Lembah Bujang.
Kemerosotannya juga adalah berkait rapat dengan perubahan dan
perkembangan politik, ekonomi dan sosial kerajaan purba di Asia
Tenggara. Kemunculan pelabuhan baru sebagai saingan, pergolakan
pemerintah, peperangan, dasar luar negara-negara utama memainkan
peranan. Sungai Mas menghadapi situasi tersebut, di samping masalah
alam. Lokasi Sungai Mas yang dibangunkan di kawasan dataran pesisiran
pantai atau permatang pasir terdedah kepada perubahan paras air,
banjir kilat, terutama banjir yang disebabkan oleh limpahan Sungai
Muda. Keadaan stratigrafi yang bercampur baur merupakan bukti bahawa
kemusnahannya berpunca daripada pergerakan atau putaran air.
Sebagai kesimpulan, kepentingan Sungai Mas memang diperakui. Akan
tetapi, pengkajian yang berterusan untuk mencari kesahihan fakta
amat diperlukan. Pentafsiran dengan data yang terbatas adalah amat
merbahaya. Ini adalah jelas kerana ekskavasi arkeologi di Sungai
Mas baru mencapai 01 peratus dari keseluruhan tapak tanah bersejarahnya.
Banyak pertanyaan atau persoalan yang belum terjawab, di antaranya
ialah apakah nama-nama yang sinonim dengan Kedah purba seperti Kataha,
Kadaram, Kalagam, Qalha, Klah, Kaca, Chieh-ch'a itu terletak di
Sungai Mas? Serangan dan penaklukan Kulotunga Chola 1 ke atas Kataha
dalam tahun 1025 Masihi yang menyamakan Kataha dan Kadaram di Srivijaya
itu adalah Sungai Mas? Kejayaan serangan ini diabdikan dengan mengeluarkan
token yang berlambangkan harimau, ikan busar panah dan Sri Chula-narayana.
|
|