|
Kedah yang nama purbanya dikenali sebagai Kataha, Katahanagara,
Chieh-cha, Qalha, Kalah, Kalagam dan Kadaram merupakan di antara
negeri di Semenanjung Malaysia yang kaya dengan tapak tanah bersejarah
daripada zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman sejarah. Di antara
daerah yang paling terkenal ialah daerah Kuala Muda, sama ada di
peringkat nasional atau pun antarabangsa, dengan tapak tanah bersejarah
proto Lembah Bujang. Penyelidikan arkeologi yang dilaksanakan sejak
tahun 1845 telah merumuskan bahawa sisa-sisa runtuhan bangunan yang
terdiri daripada candi dan bandar pelabuhan merupakan bukti arkeologi
terhadap kewujudan kerajaan Melayu pra-Islam di antara abad ke 5
- 14 Masihi.
 |
 |
| Ahli Arkeologi sedang memeriksa, mengukur
dan merekodkan data runtuhan Tembok Istana Pulau Tiga di sebelah
utara. |
|
Di samping itu, daerah ini terutama di tanah daratan di antara
Sungai Merbok dan Sungai Muda merupakan kawasan yang tersohor dengan
monumen-monumen yang dikaitkan dengan pusat-pusat pemerintahan raja
Melayu Kedah purba. Beberapa buah mukim utama seperti Mukim Bukit
Meriam, Haji Kudong, Kuala, Kota, Simpor, Rantau Panjang, Pekala,
Sungai Pasir dan Sungai Petani telah menjadi pilihan utama dalam
konteks sistem pemerintahan, pentadbiran, perdagangan, perebutan
kuasa, peperangan sehingga tahun 1915 apabila pusat pentadbiran
dipindahkan dari Kota Kuala Muda ke Sungai Petani, Kedah. Pusat-pusat
pemerintahan ini telah dibicarakan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa,
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan beberapa tulisan lain atau
sejarah lisan termasuklah beberapa filem dokumentari yang memerlukan
penelitian intensif. Di antaranya ialah Penjara Raja Bersiong di
Bukit Penjara, Istana Bukit Meriam, Istana Kota Sungai Emas, Kota
Kuala Muda, Kota Arong-Arongan, Kota Aur, Istana Lubuk Pusing dan
Istana Pulau Tiga. Walaubagaimanapun, sisa-sisa runtuhan Istana
Pulau Tiga telah menarik perhatian beberapa pihak, terutama oleh
ahli arkeologi dan pengkaji sejarah Kesultanan Melayu Kedah.
Istana Pulau Tiga terletak di Kampong Baru, Pulau Tiga, Mukim
Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, Kedah. Kedudukannya 5 kilometer
di utara Bandar Sungai Petani dan 18 kilometer dari Selat Melaka
melalui Sungai Merbok. Istana ini dibina di atas sebidang tanah
dengan keluasan 0.61201 hektar dan terletak di tebing kiri Sungai
Merbok dan Sungai Tukang. Ia dikenali sebagai Istana Pulau Tiga
kerana di hadapannya terdapat tiga buah pulau yang dinamakan Pulau
Tok Kuning, Pulau Tengah dan sebuah lagi tidak bernama.
 |
 |
| |
Ahli Arkeologi Sungai Mas,
Kedah sedang bersiap untuk mengeksplorasi Pulau Tiga dan menghilirkan
Sungai Merbok, Sungai Terus, Sungai Muda dan Selat Melaka. |
Istana ini telah dibina oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah,
Sultan Kedah yang ke-21 (1804 - 1845). Baginda ialah Tunku Pengeran,
anak kepada Sultan Abdullah Mukarram Shah dan Wan Mas. Baginda telah
menaiki takhta dalam tahun 1804 dengan gelaran Siam, Chou Pia Ratismeram
Ramapuck Dae Sri Sultan Mohamed Ratna Rajah Budin Tersurin Terwerei
Wangsa Chou Pia Cherei Burei dan gelaran Marhum Melaka sesudah mangkatnya.
Baginda telah memindahkan pemerintahannya dari Kota Kuala Kedah
ke Kota Kuala Muda dalam tahun 1804 - 1820. Dalam awal tahun 1820,
baginda membina Istana Pulau Tiga untuk menghadapi ancaman Siam.
Dalam bulan April 1821, tujuh bulan sebelum tentera Siam menjajah
Kedah, seorang mubaligh Kristian iaitu Thomas Beighton dan rakannya
John yang bertugas di Pulau Pinang telah mengadap baginda dan mencatatkan:
"Pulau Tiga kemungkinan akan
muncul sebagai sebuah pusat bandar pentadbiran yang indah jika segala
hutan di situ dibersihkan. Sungai Merbok amat lebar dan di tengahnya
muncul tiga buah pulau yang berdekatan. Di atas pulau yang lebih
besar itulah Sultan mendirikan istana terapung yang dibina daripada
kayu dan atap.
" Lantainya dihiasi dengan permaidani indah. Baginda kelihatan
amat pemurah dan peramah. Pelbagai soalan yang diajukan termasuk
hal-hal kejadian alam. Baginda diapit oleh seorang tua berusia 80
tahun, lengkap dengan para pembesar dan pegawai-pegawai perang...
".
|