| |
Pada 12 November 1821, sesudah menawan Kota Kuala Kedah dan Alor
Star, tentera Siam seramai 5000 orang telah menyerang Pulau Tiga
dan membakar hangus istana tersebut. Manakala baginda sultan melarikan
diri ke Pulau Pinang dan kemudian ke Melaka, sebelum kembali semula
menduduki takhta dalam tahun 1842. Walaubagaimanapun, sisa kemusnahan
istana ini masih menjadi saksi terhadap kewujudannya.
 |
 |
| Sebahagian dari tembok yang telah mengalami
kerosakan fizikal, pelapukan dan berbagai penyakit yang memerlukan
konservasi. |
|
Dalam tahun 1980, penyelidik Amerika Syarikat dengan kerjasama
dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah, pelajar dari
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Universiti Malaya, Kuala
Lumpur telah menemui dan melaporkan tapak ini. Eksplorasi ini adalah
bertujuan menjalankan kajian berkaitan "trade, transportation
and tributaries:exchange, agriculture and settlement distribution
in early historic-period Kedah". Dalam tahun 1991, penyelidik
dari Perancis atau Pusat Penyelidikan Timur Jauh Perancis bersama
Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Kedah dan Ikatan Ahli Arkeologi
Malaysia yang membuat eksplorasi La civilisation de ports-entreports
du sud Kedah telah juga melaporkan berkaitan tapak ini. Dalam tahun
1999, sekumpulan pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai, Johor bersama Pasukan Arkeologi Sungai Mas, Kedah dalam
usaha melaksanakan kajian analisis perancangan landskap bersejarah
dan pelancongan Lembah Bujang telah melaporkan semula berkaitan
tapak ini.
Berdasarkan laporan-laporan ini, Pasukan Arkeologi Sungai Mas,
Kota Kuala Muda, Kedah dengan bantuan penyelidik-penyelidik sukarela
terdiri daripada siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,
Selangor, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Universitas
Gajah Mada, Yokyakarta, Indonesia, Universiti York, United Kingdom
dan siswazah Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah merencana dan
melaksanakan beberapa siri kajiselidik permukaan dan mengumpulkan
maklumat bertulis atau sejarah lisan. Di samping itu, kerja-kerja
mengukur kawasan penyelidikan ini sedang dilaksanakan dan dijangka
dapat disempurnakan pada bulan September, 2001.
 |
 |
| |
Ahli Arkeologi sedang membersihkan sebuah
perigi di kawasan Istana Pulau Tiga, Kedah. |
Penyelidikan awal ini telah mengesahkan terhadap penemuan tembok
yang berbentuk segi lapan berukuran panjang 26 meter x lebar 0.6
meter x tinggi 1.8 meter. Tembok ini dibina dengan menggunakan bata
merah bersaiz piawai 22sm x 12sm x 5sm dan menggunakan bahan perekat
yang belum dipastikan kandungannya. Walaubagaimanapun, ditinjau
dari sudut seni bina dan kejuruteraan, tembok ini mempunyai persamaan
dengan binaan tembok Kota Kuala Muda, Kedah. Akan tetapi yang pasti
berdasarkan laporan tahun 1980, tembok ini panjangnya 50 meter dan
bahagian utaranya telah runtuh. Manakala laporan tahunan 2000 /
2001, panjang tembok ini hanya 26 meter. Dalam hal ini,tembok di
sebelah barat laut dan tenggara telah tertimbus atau dimusnahkan
dan memerlukan kajian lanjutan. Di samping itu, turut ditemui ialah
dua buah perigi, sama ada di kawasan berhampiran tembok atau di
atas sebuah pulau, pelapik tiang, pecahan seramik Eropah dan beberapa
gejala arkeologi yang lain telah mengundang beberapa pertanyaan
yang belum dapat dijawab. Persoalan juga timbul berkaitan fungsi
tembok ini, sama ada tembok istana, kubu pertahanan atau palisades.
Lokasi pembinaan istana juga menjadi persoalan, sama ada dibina
di tebing sungai atau di atas pulau. Walaubagaimanapun, berdasarkan
kajiselidik yang telah dilaksanakan, bahawa ketiga-tiga buah pulau
berkenaan tidak sesuai untuk penempatan. Semua persoalan ini akan
terjawab dengan jawapan yang bermartabat apabila Bahagian Arkeologi,
Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur berusaha menyediakan
hasil penyelidikan kelayakan dan modus operandi Projek Ekskavasi, Konservasi
dan Landskap Bersejarah Istana Pulau Tiga. Projek ini akan melibatkan
beberapa agensi lain dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar
negeri yang memiliki kepakaran dalam usaha penyelidikan ini.
|
|