|
Perhubungan Arab Dengan
Kedah Selepas Islam
Jalan laut asalnya digunakan oleh saudagar dan pengembara dari
India dan Iran. Apabila Iran diislamkan oleh orang-orang Arab, saudagar
Arab pula turut belayar ke India, ke Kepulauan Melayu, ke seluruh
Tenggara Asia dan ke "al-Sin" (China) menggunakan "Jalan
Rempah" ini.
Hubungan yang berlangsung sejak KM 2 iaitu sejak wujudnya Funan
dan Langkasuka yang mempengaruhi sebahagian besar utara Semenanjung
Tanah Melayu menimbulkan istilah-istilah "Negeri di Bawah Angin"
dan "Negeri di Atas Angin". Pantai Barat Semenanjung letaknya
"Di Bawah Angin".
Kapal-kapal Arab dan Iran dari Jeddah, Adan, Al-Syihr, Suhar, Masqat
dan Siraf sampai di pelabuhan Kedah diantara bulan Jun hingga November
dan balik ke India diantara bulan Disember hingga Mei setiap tahun.
Rahsia angin yang rancak menghembus enam bulan ke sana dan enam
bulan ke sini disimpan sulit oleh ahli-ahli pelayaran Timur supaya
tidak cetus ke telinga ahli-ahli pelayaran Barat. Piama-piama musim
dan pertukaran angin, arus dan bintang mewujudkan satu kalender
istimewa yang amat dicemburui.
Mengikut Ahmad ibn Yahya al-Baladhuri dalam "Futuh al-Buldan"nya
Abu Jaafar Muhammad al Tabari dalam kitabnya "Tarikh al-Rasul
wal Muluk" - dua sejarawan awal Islam KM 9 - 10, bahawa sudah
wujud perkampungan Melayu di Teluk Parsi di zaman Saiyidina Umar
ibn Khattab dan orang-orang Melayu ini dikerah membantu tentera
Khalid ibn al-Walid menyerang dan mengislamkan Iran. Ini berlaku
dalam tahun 634 Masihi.
Orang Melayu yang sibuk bersama saudagar-saudagar Arab menarik
perhatian Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 - 720) di Damsyik dan
menimbulkan hasrat baginda mengutus surat ke Srivijaya supaya rajanya
memeluk Islam. Pada 718 Masihi, Raja Srindra Warman memeluk Islam
di Jambi. Pada tahun 126 Masihi pula, Raja Jay Sima iaitu putera
kepada Ratu Sima, Raja Kalingga Jawa Timur turut memeluk agama Islam.
Orang-orang Arab yang berkampung halaman di Pantai Barat Sumatera
sejak 674 turut memainkan peranan mereka.
Barangan Nusantara
Melalui Pelabuhan Kedah
Pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu atau Nusantara yang sibuk
dalam KM 7 ialah tempat-tempat seperti Palembang, Melayu (Jambi),
Lamuri (Acheh), Pasai, Perlak, Barus di Sumatera; Taruma , Kediri
, Mataram dan Singgora di Jawa; Pulau Nicobar dan Andaman, Trang,
Takuapa dan Patani, Langkasuka, Senggora, Legor (Jakut), Phatalung
dan Kalah (Kedah) di utara Semenanjung. Inilah diantara pelabuhan-pelabuhan
di Kepulauan Melayu dalam KM 7.
Nusantara bukan sahaja menghasilkan rempah-rempah seperti yang
diperlukan oleh saudagar-saudagar Arab dan Iran tetapi juga menghasilkan
cendana, gaharu, kapur barus, jebat, halia dan mutiara. Bahan-bahan
ini amat diperlukan oleh Barat dan saudagar-saudagar Islam menjualnya
di pelabuhan mereka. Bijih timah didapati dengan banyaknya di Semenanjung
dan Kedah ialah pelabuhan yang membekalkan timah paling banyak di
seluruh dunia pada masa itu dan kekal begitu buat beberapa kurun.
Kedah bertambah terkenal apabila hasil hutannya dibawa ke kuala
iaitu seperti rotan, damar, madu lebah, lilin sambang, gajah dan
gading, pinang, kayu sepang dan kayu hitam. Hasil-hasil dari Patani
dan Senggora juga dibawa ke Kedah. Diantara bahan-bahan dari sana
termasuklah emas dan geliga.
Jalan Darat Kedah ke
Langkasuka
Jalan yang paling dekat untuk orang-orang Arab, Iran dan India
pergi ke Pantai Timur ialah merentas jalan darat dari Kuala Kedah
ke Senggora mengikut jalan keretapi sekarang ataupun ke Patani dengan
perahu, rakit, gajah atau berjalan kaki. Dari Kuala Merbok saudagar
-saudagar boleh juga bergalah dan bergajah hingga ke Patani. Pada
zaman dahulu Kuala Sungai Muda sekarang ialah Kuala Merbok.
Dan dari Kedah juga terdapat jalan darat yang menghubungi ulu-ulu
Sungai Tipa, Sungai Petani, Sungai Belum,Sungai Sai dan Pergau untuk
meneruskan perjalanan ke lombong-lombong emas di Kelantan dan Pahang.
Malahan dari Senggora atau Patani saudagar-saudagar boleh teruskan
perjalanan ke Kemboja, Champa dan ke Negara China dalam masa yang
lebih singkat dari mengelilingi Semenanjung.
Negeri Kedah menyediakan alat pengangkuatan dan tenaga iaitu perahu,
rakit buluh, rakit buluh, gajah, pendayung, penanggung barangan
di tempat-tempat yang memaksa berjalan kaki atau mendaki. Kedah
juga menyediakan rumah rehat (pesanggrahan), kedai makanan dan pusat
kawalan serta pemungut cukai di tempat-tempat tertentu di sepanjang
perjalanan darat tersebut.
Kerja-kerja menyediakan gajah memerlukan pawang-pawang yang mahal.
Pendiat atau perangkap gajah terdapat di mana-mana sahaja di negeri
ini. Entah benar entah tidak, negeri ini dipanggil "Kadah"
oleh orang-orang India kerana banyak kadah di sini. 'Kadah' ertinya
lubang perangkap gajah liar dan di dalam lubang itu juga gajah-gajah
ini dilatih supaya menjadi kenderaan yang baik. 
|