Anda di sini:
 
Sebelum Selepas

sambungan
Sejarah Kemasukan Islam Di Kedah Dan Perkembangannya

 
 

Negeri "Kalah" atau "Kalaha" dibuka oleh Orang Kurdi Kaum Kalahar

Negeri Kedah yang dibuka dalam KM 11 asalnya bernama "Kalaha". "Kalaha" itu ialah satu nama suku kaum Kurdi, iaitu penduduk asli Negara Iran yang membuyung ke Nusantara dalam KM 10 dan KM 11. Nama suku kaum ini ialah "Kalahar". Ketika suku kaum "Kalahar" bertapak di Kedah, suku lain berhijrah ke tempat lain di Nusantara.

Ahli-ahli sejarah pernah membuktikan bahawa kerajaan Pasai, Rokan, Kuntu dan Siak di Sumatera dibuka oleh orang-orang Iran yang beragama Islam sebelum 969 Masihi lagi. Terdapat di sana nesan-nesan yang berpahat dengan tulisan Pahlawi. Legor atau Nakhorn Si Thammarat telah dibuka oleh orang-orang Iran Kuno dan menamakan kota itu Jamguerd. Orang Arab menyebutnya Jamkut. Begitu juga perkampungan di Leren dekat Gerisik di Jawa Timur, dipercayai dibuka oleh orang Iran suku Lor. Zainab binti Maimun yang dikebumikan di Leren pada 1101 Masihi bertitisan dari Sulaiman al-Farisi.

Suku Kalahar tiba di Kedah dan menamakan tempat itu mengikut nama sukunya: Kalahar. Muhammad Hassan dalam "Al-Tarikh Salasilah.." menyebutnya "Kalaha". Orang Arab menyebutnya "Kalah". Suku -suku Kurdi berhijrah ke Nusantara bukan sahaja kerana berniaga tetapi juga kerana mencari tempat penghidupan yang damai dan tenang di tanahair mereka yang berkecamuk dengan huru-hara dan persengketaan. Rakyat Iran berhijrah ke Afrika, India, Timur Tengah, Timur Jauh dan New Zealand. Kepulauan Melayu atau Nusantara turut menjadi tumpuan.

Saudagar Islam dari China Berhijrah ke Kedah

Saudagar-saudagar Islam dari Arab, Iran dan lain-lain berkumpul di sebuah pelabuhan bernama Kanton di Negara China, sekarang dipanggil Guangzhou. Saiyidina Uthman ibn Affan (644-656) pernah menghantar Saad Abi Waqqas dan lima belas orang lagi dalam satu rombongan dengan kapal laut sebagai utusan dari baginda meminta Raja China memeluk Islam. Rekod China tahun 651 mengakui mereka menerima utusan dari Han MiMo Moni" ("Amir ul-Mukminin") dan di dalam KM 7 itu Raja China Tai Ti Sung telah memeluk Islam.

Di sekitar 877 Masihi saudagar-saudagar Arab dan Iran di Kanton telah diamok dan diusir oleh segerombolan pemberontak yang menentang Kerajaan China. Saudagar-saudagar Islam yang tinggal sejak dua ratus tahun sebelumnya di Kanton dan amat berpengaruh di sana telah dibunuh beramai-ramai. Yang terkorban dianggarkan antara 120 ribu hingga 200 ribu orang. Sebahagian besar dari pelarian-pelarian Islam ke Kedah.

Satu pemberontakan berlaku sekali lagi disekitar 900 TM di Yong Chow. Lima ribu orang termasuk saudagar-saudagar Islam telah terkorban dan yang sempat melepaskan diri telah berhijrah ke Kedah dan Palembang.

Kesibukan bandar Kanton sebagai pusat perdagangan telah berpindah ke Kedah. Dalam KM 8 lagi, Islam telah bertapak di England. Dua keping duit emas tersimpan di Muzium British menjelaskan bahawa King Offa, pemerintah Kerajaan Mercia telah memeluk Islam. Duitnya bermuatkan dua kalimah syahadah. Kerajaan Mercia mencakupi wilayah yang terletak di antara Sungai Thames dan Sungai Humber termasuk Kent, Essex dan bandar London dalam tahun 825, Mercia diserang dan dicantum dengan wilayah-wilayah lain sehingga hilang khabar beritanya sebagai sebuah kerajaan Islam.

Kedah Yang Dilawati Oleh Abu Dulaf 940 TM

Dalam tahun 940, Abu Dulaf al-Muhalhil berasal dari Bukhara singgah sendiri di Kalaha (Kedah) dan meriwayatkan bahawa:

"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bungan dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'I" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di Negara China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda".

"Mereka makan gandum, buah kurma, sayur-sayuran yang ditimbang bila dijual dan roti yang dilonggok-longgok sahaja bila dijual. Mereka tidak mempuyai hamam tetapi mandi di sungai-sungai yang mengalir deras. Wang mereka ialah dirham perak…yang dipanggil 'fahri'. Mereka memakai kain 'al firand' (sutera) yang sangat mahal seperti orang-orang China dan menyebut Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun mengadap ke arah Maharaja itu…"
(Paul Wheatley, 1961:217)

Abu Dulaf menyebut orang-orang di Kedah telah pandai menggunakan tepung gandum, buah kurma, roti dan sayur seperti orang-orang Arab. Tergambar bahawa kebudayaan Arab telah sedikit sebanyak terserap dikalangan orang-orang Melayu di sini. Mengikut Paul Wheatley dalam nota kecilnya di muka surat yang sama, dirham perak yang dipanggil "Fahri" itu ialah matawang yang digunakan di Khurasan, Utara Iran. Di Kedah dipraktikkan sistem 'barter' atau sistem hebah barang dengan barang dan "fahri" itu digunakan ketika amat perlu sahaja. Pedang "qala'i" yang ditempah di Kedah menjadi barangan eksport yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai "al-sayf al-Hind"

Abu Dulaf menimbulkan kekeliruan apabila menyebut bahawa Raja Kalah "…menyebut nama Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun Mengadap ke arah Maharaja itu…"

Abu Dulaf keliru melihat penduduk di Kedah yang beragama Islam tidak menyebut nama Khalifah Al-Muttaqi (940 - 944) yang baru bersemayam di Damsyik pada masa itu di dalam Khutbah mereka. Berita begitu belum sampai ke sini lagi. Mungkin orang Kedah menyebut nama Maharaja Sribuza (Sri Wijaya) atau lain yang didengarnya sebagai nama Maharaja China.

Maksud qiblat mengarah ke negara China ialah qiblat Raja Kalah atau Kedah dan bukan orang bersembahyang. Abu Dulaf memungkinkan bahawa agama Islam belum lagi dianuti oleh Raja Kedah sungguhpun rakyatnya telah Islam.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah