|
Pendapat Abu Zaid 916
TM Dan Mas'udi TM
Abu Zaid, seorang penduduk Siraf menulis dalam tahun 916 bahawa
:
"Kalah menjadi wilayah Maharaja al-Zabaj (Sri Wijaya) terletak
di antara China dan Tanah Arab
Pelabuhan Kalah menjadi tumpuan
kapal-kapal dari Uman dan dari sini kapal-kapal bertolak ke Tanah
Arab
Kalah ialah pusat perdagangan kayu gaharu, kapur barus,
kayu cendana, gading gajah, bijih timah, kayu arang, kayu sepang,
pelbagai jenis rempah ratus dan lain-lain barangan yang amat banyak
hendak dihitungkan
"
(Paul Wheatley, 1961:218)
Mas'udi yang menulis dalam tahun 943 Masihi mengenai penghijrahan
saudagar-saudagar Arab dan Iran dari Kanton pada 877 Masihi ke negeri
Kedah adalah seorang pengembara Islam yang banyak menulis. Dalam
kitabnya bernama "Muruj al-Dhahab wa Ma'adin al-Jawhar"
tertulis pada 943, beliau berkata :
"
di sekitar Kalah (Kedah) dan
Sribuza (Sri wijaya) terdapat lombong-lombong emas dan perak,
ikut jalan laut, Kalah terletak lebih sedikit dari setengah perjalanan
antara Negara Arab dan Negara China. Hari ini Kalah menjadi tempat
tumpuan saudagar-saudagar Islam dari Siraf dan Uman. Dari sini
mereka menaiki kapal China untuk pergi ke Negeri China. Laut Kalah
cetek dan sukar dipelayari serta banyak pula pulau-pulau kecil
dan selat-selatnya."
(Paul Wheatley, 1961:218-219)
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kedah ialah sebuah pelabuhan
besar yang disinggahi oleh saudagar-saudagar Islam Arab dan Iran
dalam KM 9 dan awal KM 10 Masihi. Apabila memasuki pelabuhannya
kapal-kapal hendaklah menggunakan jurumudi tempatan yang arif dengan
laut Kedah.
Sejak 877 Masihi Kedah menjadi sebuah dari pelabuhan Sri Wijaya
yang amat sibuk. Saudagar-saudagar Islam dan bukan Islam berkumpul
di Kedah sebelum meneruskan pelayaran ke Negara China atau Palembang.
Bagaimanapun, Raja Kedah tetap mengekalkan hubungan baik - politik
dan ekonomi dengan Negara China.
Selepas penghijrahan 877 Masihi itu, orang-orang China bertindak
melayari sendiri kapal-kapal mereka membawa dagangan keluar negeri.
Dalam KM 8 dan KM 9 ini, ahli-ahli pelayaran China tidak belayar
lebih jauh dari Kedah. Dibawah Dinasti Song dan Ming yang muncul
kemudian barulah kapal-kapal China belayar ke tempat yang lebih
jauh dari Kedah.
Penduduk Kedah Sudah Islam
Sejak 877 Masihi
Orang-orang Arab dan Iran membuka tempat kediaman di tempat mereka
berurusan. Begitulah yang terjadi di Kanton, Champa, India, Afrika
dan lain-lain tempat. Mereka menjadi orang-orang yang dihormati
dan berpengaruh dengan semua lapisan masyarakat.
Tidak dapat diragukan bahawa Islam telah sampai di Kedah dalam
KM 9 dan mempunyai penganutnya dikalangan orang-orang Kedah. Dr.
Syed Naguib al-Attas membuat andaian bahawa:
"Setelah orang-orang Islam membentuk kawasan kediaman yang
agak besar di Kanton (sejak kurun Hijrah pertama atau KM 7 lagi)
dan mereka menikmati kebebasan yang luas mengendalikan hal ehwal
agama dan undang-undang awam sesama mereka, tentulah senang mereka
mengekalkan urusan-urusan penempatan atau perkampungan mereka
dan membentuk pula masyarakat Islam di Kedah dan juga di Palembang
tempat mereka juga telah berhijrah dari Kanton itu. Penghijrahan
ini wajar dikata sebagai satu petanda kedatangan Islam yang paling
awal di Nusantara".
(Syed Naguib al-Attas, 1969:11)
Pengembara China pernah menulis bahawa di Kedah didapati ramainya
orang yang mempunyai nama berpangkalkan "Pu". Ahli kaji
bahasa China bersetuju "Pu" itu ialah "Abu".
Ini membuktikan bahawa Kedah mempunyai ramai orang Islam.
Kesan-kesan Awal Islam
Wujud Di Kedah
Sebatang nisan di perkuburan Kampung Tanjung Inggeris di Mukim
Langgar berhampiran Alor Star terpahat nama "Syeikh Abdul
Qadir ibni Hussain Shah Alirah" bertarikh 903 Masihi telah
ditemui. Langgar ialah perkataan Iran Tua yang bererti sekolah atau
surau tempat belajar agama. Syeikh Abdul Qadir ialah orang Iran.
Perkataan "Alirah" itu tidak jelas jawinya mungkin "Shah
Alam", atau mungkin "Syah Al-Yara" dan mungkin "Syah
Kalahar". Jelas sudah ada perkampungan orang Islam dengan langgarnya
di Langgar ini pada masa itu. Dan jika seorang Syeikh meninggal
di sini tentulah ada pesantrennya.
Patut benar kita menemui kampung orang-orang Islam di Langgar ini
kerana letaknya berhampiran dengan Sungai Kedah yang menjadi jalan
rentas dari Kuala Kedah ke Patani dan terus ke China.
Di Lembah Bujang khususnya di Tapak 14, telah ditemui dirham perak
zaman Khalifah al-Mutawakkil. Dirham yang ditemui tidak lengkap
sekeping dirham, satunya tinggal separuh dan satu lagi cuma sesuku.
Di atas sekeping separuh itu tertera tarikhnya 234 Hijrah, yang
dikira sebagai 848 Masihi, zaman al-Mutawakkil di Baghdad.
Di Lembah Bujang juga, iaitu di Tapak 18 ditemui serpihan kaca
yang apabila dicantum-cantum menyerupai setolop, lampu orang Arab
KM 10. Banyak kaca yang ditemui dan mungkin banyak setolop dan corong-corong
yang dibawa oleh orang Arab ke situ.
Beribu-ribu butir manik dalam pelbagai rupa dan bentuk dipungut
oleh pengkaji purba di Lembah Bujang dan di Sungai Emas. Diantaranya
terdapat juga manik-manik dari Timur Tengah. Selain dari merupakan
perhiasan manik ialah juga alat penghebahan atau pertukaran barangan
masa itu.
Diantara barangan yang dibawa oleh saudagar Arab dan Iran selalunya
ialah kain tenunan atau sulaman, barang-barang kemas dari emas dan
permata, cermin muka dari logam yang berkilat, rempah perubatan
dan bau-bauan seperti narwastu dan ambar kasturi.
Seketul batu pejal berukuran 19 sm x 37 sm ditemui diantara longgokan
batu-batu candi yang tersimpan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang,
di Merbok Kedah. Di atas batu tertulis dengan huruf Jawi "ibnu
Sardan 213".
Adakah batu ini serpihan dari batu nisan atau petanda sempadan
tanah tidak dapat dipastikan. Tarikh 213 bersamaan 829 Masihi. Ibnu
Sardan ialah nama satu keluarga Arab yang dikenali sebagai ahli
ilmu, ahli pelayaran dan pendakwah Islam. Antara nisan-nisan lama
yang menarik di Kedah ialah nisan Tok Jambi di Bukit Tinggi, Tok
Lidah Hitam di Langgar, nisan Makam Purba di Langkawi, nisan Tok
Pasai di Kuala Kedah, nisan yang dikatakan kepunyaan Sultan Muzaffar
Syah, Sultan Kedah yang pertama di Pengkalan Bujang - tetapi di
Bukit Hijau, Baling; dan nisan-nisan lain di Siputeh, di Langgar,
di Tualang dan di Sik, di Anak Bukit dan di lain-lain lagi.
Yang paling menarik ialah makam lama di Kampung Seberang Toh Soh
berhampiran Pinang Tunggal, 9 kilometer dari Sungai Petani. Makam
itu juga tiada bertarikh dan tiada bernama tetapi bentuk nisannya
seperti kebudayaan pembesar Acheh. nisan kepalanya berpahat dengan
Kalimah Syahadah dan beberapa ayat Quran.
Orang Kampung Seberang Tok Soh memanggilnya Makam Raja Bersiung
kerana letaknya di sisi tapak sebuah kota tanah yang lama. Kepada
orang-orang Kedah, apa sahaja yang dikira lama dan misteri dilekatkan
nama 'Raja Bersiung' di situ. Bentuk nisan tanpa tarikh dan tanpa
nama begini tetap utuh sebagai nisan yang bersejarah. 
|