|
Peperangan Seri Rama
Dan Andanum
Ketika Islam menyerang India lebih kurang dalam tahun 1000 sebuah
kerajaan Hindu di pantai Koromandel bernama Chola mempunyai angkatan
laut yang kuat. Perhubungan antara Srivijaya dan Chola dikira boleh
tahan tetapi Chola tidak senang dengan undang-undang dan peraturan
yang dikenakan oleh Srivijaya ke atas kapal-kapal asing dan dengan
monopoli-monopoli ekonomi yang dipegang oleh Srivijaya di Nusantara.
Serangan-serangan orang Islam di Utara India dan rancaknya saudagar-saudagar
Islam: Arab dan Iran serta Melayu di Lautan India merimaskan Rajendra
Chola.
Dengan itu pada 1025, Raja Rajendra Chola menyerang Srivijaya dan
menyebut bahawa Kedah yang menjadi sebuah dari pusat-pusat penting
empayar itu dimusnahkan dengan teruknya.
Dalam bahasa Tamil yang digunakan oleh Rajendra Chola, Kedah disebut
sebagai "Kadaram". Sebuah inskripsi di dalam sebuah kuil
di Tanjor berbunyi:
"Beta Rajendra menghantar beratus-ratus kapal ke lautan bergelora
telah berjaya menawan Sang Rama Bijaya Tungga Warman iaitu Raja
Negeri Kadaram sekali dengan gajah-gajah angkatan perangnya yang
sangat hebat. Beta telah merampas harta-harta yang amat banyak kepunyaaan
raja itu yang dikumpulnya dengan jujur sejak beberapa lama."
(Paul Wheatley, 1961 : 199-200)
Seterusnya inskripsi Tanjor mendaftarkan nama negeri-negeri dalam
Empayar Srivijaya yang dimusnahkan oleh Rajendra Chola
Diantara
negeri-negeri yang dapat dikenali ialah Pannai (Pane di Sumatera),
Malayur (Jambi), Legor, Phanrang di Champa; Trang, Chaiyya di Thailand,
Lamuri (Acheh), Pulau Nikobar dan Kadaram (Kedah).
Kedah telah disebut-sebut oleh Rajendra sebagai negeri yang paling
hebat membuat tindak balas dan kita sedari ini terjadi kerana Kedah
mempunyai paling ramai penduduk Islam. Dari serangan Chola, Kedah
menjadi padang jarak, padang tekukur.
"Sebermula maka tersebutlah perkataan Pulau Langkapuri itu
selama peninggal Perang Seri Rama dan Andanum jadi sunyilah pulau
itu, tiada siapa-siapa duduk".
Beginilah gambaran peperangan antara Raja Chola dan Kedah yang
terdaya dicatatkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa.
Raja Kedah yang pertama
sebelum Islam menjadi agama rasmi
Lebih kurang dalam tahun 1000 Masihi Syi'ah di Iran memulakan gerakan
memburu orang-orang Ahli's Sunnah Wal Jamaah dari bumi Iran. Kedudukan
orang-orang Ahli's Sunnah amat pincang dan terdesak sekali. Mereka
terpaksa berhijrah besar-besaran ke tempat-tempat yang tidak diganggu
gugat oleh Syi'ah.
Sebahagian dari orang-orang Ahli's Sunnah Iran sampai di Nusantara
dan pada masa inilah Merong Mahawangsa atau Maha Raja Durbar Raja
sampai di Kedah. Bumi Kedah dibakar oleh Chola masih berasap.
Hikayat Merong Mahawangsa menyebut bahawa Raja Kedah yang pertama
ialah Merong Mahawangsa. Baginda menjadi duta Maharaja Rom untuk
membawa Putera Raja Rom berkahwin dengan Puteri Maharaja China.
Dalam pelayaran, angkatan Merong Mahawangsa telah diserang oleh
burung garuda di laut berhampiran Pulau Langkapuri. Angkatan Merong
Mahawangsa yang "penuh laut" telah binasa melainkan kapal
Merong Mahawangsa sendiri. Baginda terpaksa mendarat di pantai berhampiran
kaki Gunung Jerai. Di situ baginda dirajakan oleh penduduk tempatan.
Negeri Rom yang dimaksudkan ialah wilayah Empayar Parsi atau Iran,
satu masanya sebahagian dari wilayah Empayar Rom Timur. Kawasan
ini sudah pun menerima Islam sejak zaman Khulafa-ur Rasyidin. Kepada
orang-orang Arab bekas wilayah Empayar Rom di Utara Iran ini ialah
"Rom". Di kawasan inilah orang-orang Iran dan orang-orang
Turki silih berganti menegakkan beberapa buah kerajaan Islam yang
kuat.
Burung Garuda ialah kenderaan Dewa Wisnu dan menjadi satu dari
lambang-lambang agama Hindu. Angkatan Merong Mahawangsa tidak dapat
dielakkan dari diserang oleh angkatan perang Hindu. Dalam KM 11
dan 12, serangan-serangan angkatan Hindu ke atas angkatan Islam
di Laut India adalah fenomena biasa.
Merong Mahawangsa dikatakan telah berkahwin dengan seorang gadis
Orang Laut dari suku Gergasi dan menggalakkan rakyatnya bercampur
darah diantara kaum. Amalan ini bukanlah amalan orang beragama Hindu.
Butiran dari "Al-Tarikh
Salasilah"
Mengikut "Al-Tarikh Salasilah", Raja Kedah yang pertama
ialah Maharaja Durbar raja yang berasal dari "Negeri Gumarun
di dalam Tanah Parsi". Baginda ditewaskan oleh angkatan suku
Iran lain yang lebih kuat. Gumarun ini ialah sebuah pelabuhan Gambroon
di Laut Kaspian sekarang. Dan kawasan ini telah memeluk Islam sejak
zaman Khulafa-ur Rasyidin lagi.
Raja Kedah yang pertama telah memperkenalkan "Nobat"
di istananya. Orkestra ini berasal dari istana Khalifah Harun al-Rashid
di Baghdad. Alat-alat muziknya yang dikumpul bercorak Hindu dan
Peribumi. Bagaimanapun, nobat adalah pakaian khalifah-khalifah Islam
di Baghdad. Jadi Raja Kedah yang pertama, mengikut dua-dua buku
ini ialah orang yang sudah kenal dengan kebesaran agama Islam dan
ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. walaupun tidak tercatat mereka
memeluk Islam.
Maharaja Durbar membina istananya "Kota Langkasuka" di
Sok, enam puluh batu ke timur Gunung Jerai berhampiran persimpangan
jalan perdagangan Kedah dan Langkasuka.
Merong Mahawangsa pula mendirikan istananya di timur Gunung Jerai
di tempat yang tidak dapat dipastikan tetapi amat berhampiran dengan
Kuala Merbok iaitu tapak permulaan jalan menuju ke Langkasuka di
Pantai Timur.
Dari persamaan ini dan persamaan-persamaan lain lagi boleh dikatakan
bahawa Merong Mahawangsa dan Maharaja Durbar Raja itu raja yang
sama.
Merong Mahawangsa lebih popular disebut orang sebagai raja yang
pertama kerana hikayatnya lebih awal dan lebih meluas dibaca anak
negeri. "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" ditulis oleh
Muhammad Hassan hanya dalam tahun 1928.
Perasmian Agama Islam
mengikut "Merong Mahawangsa"
Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan bagaimana Islam diperkenalkan
di Kedah. Kononnya seorang Wali Allah bernama Syeikh Abdullah di
Baghdad mempunyai seorang murid yang bernama Syeikh Abdullah al
-Yamani. Melalui pertolongan gurunya, Syeikh Abdullah al-Yamani
dapat bersahabat dengan iblis.
Syeikh Abdullah diberi sebatang tongkat yang dapat menghilangkan
dirinya dari penglihatan manusia apabila memegang tongkat itu. Iblis
membawa Syeikh Abdullah terbang ke Kedah mengunjungi Raja Phra Ong
Mahawangsa di istananya di Bukit Meriam. Di istana itu iblis mengharingkan
minuman keras yang akan diminum oleh raja. Tuan Syeikh memarahi
iblis kerana berkelakuan demikian dan timbullah satu pertengkaran
kecil. Iblis bertindak merebut kembali tongkat saktinya dari Syeikh
Abdullah dan Raja Kedah pun terlihatlah tubuh badan Syeikh Abdullah
al-Yamani berdiri di hadapannya.
Syeikh Abdullah menerang satu persatu apa yang terjadi dan sejak
itu Raja Phra Ong terus memeluk Islam, bertaubat tidak mahu minum
arak lagi, dan mengubah nama baginda menjadi Sultan Muzaffal Syah.

|