Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Sejarah Kemasukan Islam Di Kedah Dan Perkembangannya

 
 

Perasmian Agama Islam Mengikut "Al-Tarikh Salasilah"

Kita tidak tahu bilakah Pra Ong Mahawangsa memeluk Islam tetapi dari "Al-Tarikh Salasilah" Muhammad Hassan meletakkan tarikh 531 Hijrah iaitu 1136 Masihi sebagai tahun Raja Kedah yang pertama memeluk Islam. Nama Raja dalam "Al-Tarikh Salasilah" ialah Maharaja Durbar dan nama Islamnya ialah Sultan al-Muzaffar Syah.

Masa ini al-Muqtafi baru saja menjadi Khalifah di Baghdad dan Khalifah Harun al-Rasyid telah mangkat 130 tahun sebelumnya.

Nama sultan yang disebut oleh Muhammad Hassan dianggap rasmi sebagai nama Sultan Kedah yang pertama, Sultan Muzaffar Syah. Versi Muhammad Hassan berbunyi :

"Sebermula tersebutlah seorang pendeta daripada bangsa Arab bernama Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Haji Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Jaafar Qaumiri keluar daripada Negeri Syahir perintah Yaman belayar dengan sebuah baghalah bersama-sama dengan sebelas orang kawannya. Maka dalam tahun Hijrah 531 sampailah baghalah tuan Syeikh Abdullah itu ke Negeri Kalaha. Maka Tuan Syeikh Abdullah pun masuk mengadap Seri Paduka Maha Raja Durbar Menzahirkan hukum-hukum agama Islam"

Tindakan Sultan Muzaffar Syah Mengembangkan Islam 1136 Masihi

Sultan Muzaffar Syah memerintah supaya candi di Puncak Gunung Jerai dimusnahkan dan sebuah masjid dengan menaranya didirikan di situ. Syeikh Abdullah Yamani menjadi mufti pertama di Negeri Kedah. Sultan Muzaffar Syah mangkat pada 1179 Masihi setelah memeluk Islam selama 44 tahun.
Di puncak Gunung Jerai terdapat "Padang Tok Syeikh" iaitu tapak masjid yang didirikan di zaman Syeikh Abdullah Yamani. Masih terdapat juga "Telaga Tok Syeikh" tempat beliau mengambil air sembahyang dan sekeping batu rata seperti permukaan meja yang dipanggil "Sejadah Tok Syeikh" tempat beliau bersembahyang. Kononnya ada gua dipanggil "Gua Tok Syeikh" di Gunung Jerai tempat orang sembahyang Jemaah. Di dalam gua itu masih boleh dilihat orang berdiri betul, ruku' dan sujud dan dalam pelbagai rupa orang bersembahyang tetapi semuanya batu, kaku dan berlumut.

Menarik jika kita dapat mengetahui kegiatan sebelas orang lagi kawannya yang sama-sama turun dari Makkah bertabligh di negeri "Bawah Angin"

Merasmikan Islam sebagai agama rasmi pada 1136 di Kedah tidaklah terlalu awal untuk disangsikan. Perhubungan erat yang berlangsung pergi balik antara Kedah dan negara-negara Islam di Timur Tengah bermula sejak mereka Jahiliah lagi. Setengah sarjana meletaknya sejak KM 2. Perhubungan bertambah rancak sejak Khalifah Umayyah (661 - 750) bertapak di Damsyik.

Cara Agama Islam Berkembang di Kedah

Berdasarkan alasan-alasan di atas, Merong Mahawangsa atau Maharaja Durbar adalah Islam. Satu teori yang amat kerap diketengahkan ialah apabila raja memeluk sesuatu agama maka rakyatnya turut memeluk agama itu, maka rakyat Kedah sekurang-kurangnya yang tinggal di sekeliling istana telah memeluk Islam.

Teori rakyat mengikut agama raja benar pada sesetengah kes tetapi bukan kepada semua kes. Agama Islam berkembang dengan dua cara: satunya dengan berperang sabil dan satu lagi dengan cara meyakinkan orang lain agama Islam itu sesuai dengan penghidupan mereka. Cara kedua itu berlaku di Kedah.

Ahli-ahli perniagaan Islam telah mengembangkan agama Islam di sepanjang jalan perdagangan dari Damsyik ke Peking dan begitu juga Islam telah wujud di pelabuhan-pelabuhan sepanjang jalan perdagangan laut dari Jeddah hingga ke Palembang dan dari situ berkembang ke seluruh pelabuhan di Nusantara. Kedah tidak begitu istimewa untuk berkecuali.

Sebagai agama yang berkembang di pusat-pusat perniagaan dan dikalangan orang madani dan orang-orang lama didedahkan dengan kebudayaan orang Arab dan orang-orang Islam lain Kedah pasti menerima Islam lebih awal dari rajanya, lebih awal dari 1136 iaitu di zaman "Dum Makhdum" - maksudnya di zaman makhdum-makhdum dari Iran bergiat menyebarkan Islam di sini dalam KM 9.

Sumbangan Kedah Kepada Perkembangan Agama Islam

Setelah Islam, Kedah bertindak memusnahkan kesan-kesan agama Hindu dan Buddha yang terdapat di negeri ini. Bersama dengan Patani, Kedah menjadi benteng menahan kemaraan agama Buddha masuk ke negeri-negeri Melayu. Akibatnya Kedah dan Patani menjadi sasaran Thailand.

Islam menyerap ke dalam masyarakat Melayu di pelabuhan-pelabuhan terlebih dahulu sebelum muncul di istana. Rakyat sesama rakyat menjadi pengembang agama dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai medianya. Pendeknya, kebangkitan Islam di Nusantara ialah kemunculan bahasa dan sastera Melayu kerana di dunia sebelah sini Bahasa Melayu ialah pembentung agama yang berkembang itu.

Kita mengakui peranan mubaligh-mubaligh dari Tanah Arab Iran dan India telah berjasa mengembangkan Islam di sini. Kita akui juga bahawa bukan sedikit orang-orang Melayu yang mengembara ke Timur Tengah dan pulang menjadi mubaligh bersama-sama mubaligh lain meninggikan peradaban bangsa kita dan menyatupadukan manusia Melayu dibawah Islam. Sebenarnya mubaligh dari bangsa Melayu sendiri lebih handal menggunakan Bahasa Melayu yang menjadi alat perantaraan itu.

Gelaran Darul Aman

Walaupun Islam diterima sebagai agama rasmi di negeri Kedah Darul Aman pada tahun 1136 Masihi dan mengikut "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" gelaran "Darul Aman " diisytiharkan lima tahun kemudian iaitu dalam tahun 1141. Tetapi bukti penggunaan gelaran itu tidak ditemui untuk menyokong pendapat tersebut.

Penggunaan perkataan "Darul Aman" yang paling awal diketahui setakat ini ialah duit perak Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Syah bertarikh 1741 Masihi. Dalam surat menyurat dicop mohor Sultan Muhammad Jiwa terdapat perkataan "Darul Aman" digunakan bolehlah dikatakan bahawa gelaran itu dipergunakan dengan rasminya dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710 - 1778).

Sehingga kini belum ditemui perkataan "Darul Aman" diguna lebih awal dari atas duit tahun 1741 (1154 Hijrah) itu. Selepas zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muzaffar Syah, gelaran "Darul Aman" sentiasa digunakan mengiringi nama negeri di dalam semua urusan rasmi.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah