|
Kedah Dan Samudera
- Pasai Berbiras
Di negeri Acheh terdapat sebuah "Hikayat Atjeh". Mengikut
hikayat itu, Islam sampai di sana pada hari Jumaat 1 Ramadhan 601
Hijrah. Tahunnya bersamaan dengan 1204 Masihi. Sultan Johan Syah
tiba di Acheh dari Negeri Atas Angin dan mengislamkan orang-orang
Acheh.
Tidaklah hairan apabila Merah Silu disuruh mengucap Dua Kalimah
Syahadah oleh Fakir Muhammad dari Mengiri Syaikh Ismail kerana mengislamkan
negeri Pasai (wilayah Acheh sekarang), baginda telah pun fasih membaca
Quran Tiga Puluh Juzu'.
Sejarawan dari Indonesia menarik perhatian bahawa ada seorang Sultan
di Semenanjung Melaka, maksudnya Semenanjung Malaysia, bernama Sultan
Muhammad Syah sezaman dengan Sultan Perlak yang bernama Sultan Makhdum
Alauddin Malik Muhammad Amin Syah Johan Berdaulat (1225 - 1263).
Sultan Muhammad Syah telah berkahwin dengan puteri Sultan Perlak
ini yang bernama Puteri Ratna Mala; dan adik puteri ini telah berkahwin
dengan Sultan Malik us-Salih Samudera-Pasai (1262 - 1289).
Sejarawan di Indonesia berpendapat Sultan Muhammad Syah telah memainkan
peranan besar membangunkan Islam di Semenanjung Melaka. Dalam pengetahuan
kita, negeri Islam yang wujud di Semenanjung Melaka atau di Malaysia
masa itu hanya Kedah. Sultan Kedah pada masa itu ialah Sultan yang
ketiga: Sultan Muhammad Syah (1201 - 1236) ibni Sultan Muazzam Syah
ibni Sultan Muzaffar Syah.
Kemungkinan Sultan Muzaffar Syah Kedah yang berkahwin dengan Puteri
Ratna Gemala amat besar. Negeri Kedah pada zaman ini lebih luas
kawasannya dari Kedah sekarang. Sempadan Kedah di selatannya ialah
"di hujung Melaka dan Beruas". Hubungan Kedah dengan Perlak
dan Samudera-Pasai amat rapat.
Dalam bulan September 1982, orang bertemu sebutir bejana tembikar
penuh duit syiling perak di Pulau Langkawi. Setiap kepingnya bertulis
"Muhammad Syah" dan di sebelah lagi bertulis "al-Sultan
al-Qadah". Duit itu ialah duit Kedah sebelum 1236, duit zaman
Sultan Mahmud Syah.
Batu Bersurat Minye
di Acheh Utara
Sultan Malik al-Zahir Thani (1326 - 1350) pemerintah negeri Islam
Samudera-Pasai telah menakluk Kedah dan buat beberapa waktu Kedah
dan Pasai berada di bawah naungan Samudera-Pasai itu. Ibn Battutah
pengembara Tunisia yang menjadi utusan dari Sultan Muhammad Tugluq
Delhi melawat istana Raja Samudera-Pasai mendapati sultannya seorang
yang alim dan bermazhab Syafie. Baginda gemar mengumpul alim ulama
di sekelilingnya.
Dalam zaman Sultan Zainal Abidin (1360 - 1394) Samudera - Pasai
diserang oleh Majapahit dari Jawa dan Samudera - Pasai ditekankan
dengan kebudayaan Jawa buat seketika waktu.
Sebuah makam ditemui di Minye Tujuh, Acheh Utara. nisannya bertarikh
1380. Sebuah dari nisannya mengandungi dua rangkap syair Bahasa
Melayu Kuno bercampur Sanskrit dan Arab ditulis dengan huruf Kawi
atau Jawa Kuno. Syair itu berbunyi:
"Hijrah Nabi mungstapa yang prasaddha Tujuh ratus asta puluh
savarasaa Haji catur dan dasa vara sukra Raja iman varda rahmat
Allah. Gutru bharu bhasa (ng) hak Kadah Pase. Ma tarukk tasih tanah
samuhallahi ya rabbi tuhan samuha Taruh dalam svarga tutuha".
Syair itu menerangkan bahawa pada hari Jumaat 14 Zulhijjah 781
Hijrah puteri yang beriman kembali ke rahmatullah. Beliau adalah
keturunan dari penganut "Gutra Bharu Bhasa" atau "Kaum
Bahasa Baharu" bermaksud penganut-penganut budaya baru iaitu
agama Islam serta mempunyai hak dan kuasa ke atas Kedah dan Pasai,
dan atas segala laut dan darat. Ilahi ya Rabbi, Tuhan semesta alam,
letakkanlah beliau di dalam syurga.
Pada pertengahan akhir KM 14 Kedah dan Pasai adalah negeri-negeri
Islam di bawah pemerintahan Samudera atau Acheh sekarang. Samudera
dan Pasai bercantum menjadi satu negara dengan Acheh selepas 1428.
Makam ini kepunyaan Ratu Al-Alah, Puteri Sultan Malik al-Zahir
Thani. Puteri ini mangkat pada 1380 TM. Ini diketahui setelah dikaji
satu lagi nisannya yang bertulis dengan bahasa Arab pada makam yang
sama.
Makam Puteri Al-Alah ini menangkis dakwaan-dakwaan sejarawan-sejarawan
yang menegaskan Kedah menerima Islam hanya pada 1474.
Penulisan-penulisan
Awal Di Kedah
Islam menggalakkan pertumbuhan cendekia dikalangan umatnya. Selain
dari tulisan-tulisan di batu nisan, tidak lagi ditemui sebarang
karya yang boleh diketengahkan sebagai hasil sastera rakyat Kedah
sebelum KM 17. Pada hal, sejak orang Kedah mempelajari ilmu membaca
Quran serentak dengan mengucap Dua Kalimah Syahadah mereka telah
menguasai tulisan jawi.
Dalam tahun 1622 seorang bernama Ahmad bin Aminuddin Kadi telah
menulis sebuah kitab ilmiah Tauhid membicarakan hal yang berkait
dengan "Sifat Dua Puluh" di Kota Siputeh. Kota Siputeh
ialah ibu negeri Kedah ketika Acheh menyerang dalam tahun 1619.
Undang-undang Pelabuhan Kedah ditulis dalam tahun 1625 ketika Sultan
Rijaluddin Muhammad Syah (1625 - 1651) menjadi Sultan dan bersemayam
di Kota Naga, Kubang Pasu. Undang-undangnya berlunaskan Undang-undang
Melaka tetapi disesuaikan dengan keadaan negeri Kedah pada masa
itu.
Satu lagi buku undang-undang dipanggil "Tembera Dato' Seri
Paduka Tuan" ditulis dalam tahun 1667 oleh sebuah jawatankuasa
yang diketuai oleh Tuan Syaikh Alauddin. Sebuah lagi buku undang-undang
lama Negeri Kedah ialah "Undang-undang 1199 Hijrah". Buku
ini ditulis dalam tahun 1784.
Buku-buku yang ditulis semuanya bertulis tangan dengan huruf Jawi.
Kandungan buku semuanya berasaskan hukum syara' seperti juga yang
terkandung di dalam Undang-undang Negeri Melaka. Perkara-perkara
khas mengenai negeri ini yang ditokok tambah ialah seperti peraturan-peraturan
bersawah, pemeliharaan kerbau dan tugas-tugas tok kewing dan sebagainya.
Dipercayai bahawa "Hikayat Merong Mahawangsa" telah ditulis
dalam KM 17 juga kerana zamannya merupakan zaman kebangkitan penulis-penulis
dan penyalin-penyalin mewujudkan semula karya-karya agama, undang-undang
dan sastera yang hilang dan binasa didalam Peperangan Acheh 1619.
Mungkin atas kehilangan-kehilangan yang tidak dapat diganti itu,
Sultan memerintahkan penulisan dan penyalinan karya-karya dipergiatkan
semula.
|