Kedah sebagai salah sebuah negeri Melayu yang tertua di Semenanjung
mempunyai perhubungan dagangan dengan negeri-negeri Arab sejak perdagangan
laut di antara Tanah Arab dan China dimulakan dalam abad ke-5 Masihi.
Negeri Kedah telah wujud tidak lewat daripada abad ke-4 Masihi,
R. Braddell menyatakan:
" Dari kalangan Negeri-negeri
Melayu, hanya Kedah sahaja yang dapat mengemukakan pelbagai bukti
membuktikan penempatan yang berterusan sejak dari abad ke-IV Masihi
hingga ke masa orang Melayu Kedah memeluk agama Islam pada abad
ke-XV "
Dalam catatan orang-orang India, Kedah dikenali sebagai Kataha
dalam bahasa Sanskrit atau Kadaram dalam bahasa Tamil. Dalam catatan
orang-orang China, Kedah dikenali sebagai Chieh-ch'a atau Kie-teh'a.
Dalam catatan ahli-ahli geografi Arab dalam abad ke-8/9 Masihi pula,
Kedah dikenali sebagai Kalah. Sungguhpun Fatimi tidak bersetuju
mengatakan Kalah itu Kedah, tetapi sebahagian besar sejarawan memperakuinya.
Menurut Braddell, orang-orang Yunani juga telah mengetahui mengenai
Kedah dalam abad ke-2 Masihi. Braddell percaya pelabuhan Takola,
yang disebut oleh Ptolemy dalam buku Geografinya itu adalah Kedah.
Kegiatan perdagangan di antara orang-orang Arab dengan negeri Kedah
kian meningkat selepas ini. Sebagai bukti kegiatan perdagangan mereka
dengan Kedah di masa itu, dua keping matawang dirham (wang perak)
zaman Khalifah al-Mutawakil yang bertarikh 234 Hijrah (848 Masihi
) telah dijumpai di Lembah Bujang. Namun demikian, tarikh sebenarnya
Islam bertapak di Kedah tidaklah dapat dipastikan, tetapi secara
umum dapat diandaikan bahawa Islam telahpun diperkenalkan di Kedah
selewat-lewatnya dalam abad ke-9 Masihi. Syed Naquib menjelaskan:
"Kita dapat mengandaikan,
oleh kerana orang-orang Islam telahpun mempunyai pertempatan yang
agak besar di Canton (yang bertarikh seawal abad 1/7), menikmati
autonomi dalam bidang agama dan awam yang agak tinggi, mereka
tentulah telah mengekalkan pola pertempatan dan organisasi sosial
mereka di Kedah dan juga di Palembang, di mana mereka juga telah
berhijrah. Peristiwa ini nampaknya telah menandakan permulaan
kedatangan Islam ke Kepulauan ini."
Kenyataan di atas boleh dipertanggungjawabkan kerana Kedah pada
masa itu merupakan tumpuan lalu lintas perdagangan laut dari Teluk
Parsi ke China dan jalan laut dari India ke selatan melalui Selat
Melaka. Mengikut Abu Dulaf, Kedah merupakan sebuah entreport pusat
perdagangan kayu manis, kapur barus, cendana, gading, timah, rempah
ratus, emas, rotan dan hasil-hasil hutan yang lain. Kedah sangat
terkenal dengan kayu manis, kapur barus dan timahnya yang tulen.
Selain daripada itu, Kedah juga terkenal dengan eksport utamanya
iaitu pedang yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai al-sayf
al-Hind itu.
Di antara pertengahan abad ke-9 Masihi dan awal abad ke-11 Masihi,
kawasan pesisir Kedah merupakan kawasan mewah yang ramai penduduknya
dan mempunyai perdagangan yang luas serta tamadun yang tinggi. Braddell
telah memetik salah sebuah catatan orang Arab mengenai Kedah pada
masa itu. Catatan itu menyatakan bahawa negeri Kedah (Kalah) itu
sebuah negeri yang besar, mempunyai tembok yang tinggi, tanaman-tanaman
dan sungai yang banyak. Ia juga mempunyai sebuah kubu di mana "pedang
India tulen" ditempa. Catatan ini juga mengatakan terdapat
ramai orang India, Islam dan Parsi dikalangan penduduk kota itu.
Mengikut Mas'udi, Kalah (Kedah) merupakan pelabuhan tumpuan kapal-kapal
Islam dari Siraf dan Oman dalam abad itu.
Catatan ini menunjukkan bahawa orang Islam telah berada di Kedah
sejak abad ke-9 Masihi lagi. Mereka mungkin telah mewujudkan pertempatan
mereka sendiri di sana kerana mereka perlu menetap di pelabuhan
itu buat beberapa lama bagi menunggu angin, sama ada untuk balik
ke Timur Tengah atau meneruskan perjalanan ke timur. Sebagai bukti
wujudnya pertempatan ini, pada 1965 telah dijumpai di Tanjung Inggeris
Kedah, sebuah kubur yang bertarikh 291 Hijrah (903 Masihi) kepunyaan
seorang hamba Allah yang bernama Syaikh Abdul Kadir bin Husin Syah
Alam.
|