|
Mengikut sejarah Kedah, raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam
ialah Maharaja Derbar Raja II. Beliau dikatakan telah diislamkan
oleh seorang ulama dari Yaman bernama Syeikh Abdullah bin Syeikh
Ahmad bin Syeikh Qaumiri dalam tahun 1136 Masihi (513 Hijrah). Sebagai
sultan Islam, ia telah mengambil nama Sultan Muzaffar Syah. Setelah
raja memeluk agama Islam, semua menterinya juga berbuat demikian.
Selepas itu, mereka telah diikuti oleh rakyat jelata.
Sungguhpun wujud bukti, tarikh 1136 Masihi yang diberikan itu
masih lagi disangsikan kerana tidak ada bukti lain yang dapat memperkuatkan
dakwaan itu. Tidak ada catatan-catatan baik daripada orang Cina,
India atau Arab yang menyebut mengenai sebuah kerajaan Kedah Islam
hingga abad ke-15 Masihi. Apa yang pernah disebut ialah wujud orang
Islam di Kedah dalam abad-abad ke-9 dan ke-11 Masihi. Ibn Battutta
yang melewati kawasan ini dalam abad ke-14 Masihi juga tidak ada
menyebut tentang sebuah kerajaan Islam di bahagian Semenanjung ini.
Ketiadaan bukti bukan bermakna agama Islam belum lagi diperkenalkan
kepada penduduk Kedah pada masa itu. Kemungkinan besar agama Islam
disebarkan pada masa itu memang ada. Orang-orang Islam telahpun
membuat perkampungan mereka di Kedah. Di samping itu, kubur Syeikh
Abdul Kadir di Tanjung Inggeris membuktikan bahawa Islam telahpun
disebarkan di Kedah ketika itu, kerana pada abad ke-10 Masihi, ibu
kota Kedah terletak di Kuala Sungai Merbuk, sedangkan kubur di Kuala
Kedah. Seandainya pedagang-pedagang itu menumpukan perhatian kepada
perdagangan sahaja, masakan Syaikh Abdul Kadir meninggal dunia dan
dikebumikan di satu tempat yang agak jauh ke utara. Jadi, kemungkinan
penyebaran itu tetap ada walaupun terhad.
Lebih lewat daripada itu terdapat bukti bahawa Kedah pernah ditakluki
oleh kerajaan Islam Pasai dalam abad ke-13 Masihi. Sebagai buktinya,
di Minje Tujuh Matangkuli, Acheh Utara terdapat sebuah makam yang
mencatatkan bahawa Pasai dan Kedah merupakan sebuah kesatuan di
sekitar separuh kedua abad ke-14 Masihi. Pada batu nisan makam ini
tertulis sebuah syair dalam bahasa Melayu Kuno bercampur Sanskerta
dan Arab.Tulisannya bercorak tulisan Jawa Kuno. Sebahagian daripada
syair itu berbunyi:
Hijrat nabi mungstapa yang parasida,
tujuh ratus asta puluh sa warsa,
haji catur dan dasa wara sukra,
raja iman warda rahmatullah.
Gutra baru basa mpu hak kadah pase ma,
taruk tasik tanah samuha,
ilahi ya robbi tuhan samuha,
taruk dalam swarga tuhan tetuha.
Yang mangkat pada Jumaat 14 Zulhijjah tahun hijrah nabi besar
781, raja yang beriman Warda Rahmatullah keturunan Barubasa (Barygaza)
yang menguasai Kedah dan Pasai meluas ke segala laut dan darat.
Berdasarkan syair di atas, Stutterheim berpendapat bahawa Kedah
dan Pasai pada masa itu di bawah satu pemerintahan. Oleh kerana
itu, seandainya kenyataan Stutterheim dapat diterima maka dapatlah
diandaikan Islam telahpun diperkembangkan atau sekurang-kurangnya
diperkenalkan di Kedah pada masa itu kerana Pasai sendiri telah
Islam dan pembesar yang dikuburkan itu seorang Islam. Tahun 781
Hijrah itu bersamaan dengan tahun 1380 Masihi.
Namun demikian, bukti yang dikemukakan ini masih boleh dipersoalkan
lagi. Walaupun nisan itu jelas menyatakan yang Warda Rahmatullah
berkuasa ke atas Kedah dan Pasai, tetapi siapakah Warda ini? Dalam
salasilah Raja-raja Pasai tidak ada seorang pun raja Pasai yang
bernama atau bergelar Warda Rahmatullah. Tarikh kematiannya 1380
Masihi itu bersamaan dengan zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin
bin Sultan al-Malik al-Zahir II (1350-1394). Oleh kerana itu, wujud
persoalan apakah catatan yang terdapat pada nisan itu benar?
Tarikh-tarikh awal mengenai kemasukan Islam ke Kedah yang diberikan
di atas tadi tidak dapat diterima oleh sarjana-sarjana Barat. Wales
mengatakan bahawa Kedah hanya diislamkan kira-kira dalam tahun 1474
Masihi. Ia menolak sama sekali tarikh yang diberikan oleh Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah dan Sejarah Kedah itu. Wales telah membuat
andaian mengenai tarikh pemerintahan raja-raja Kedah yang diperolehinya
daripada Hikayat Merong Mahawangsa. Ia mengandaikan Phra Ong Mahawangsa,
iaitu raja Kedah yang mula-mula memeluk Islam itu memerintah di
antara 1452-1476 Masihi dan telah menerima Islam dalam tahun 1474
Masihi, dua tahun sebelum beliau mangkat. Ia telah mengambil gelaran
Mudzaffal Syah. Pandangan Wales ini disokong oleh Braddell.
Wan Yahya pula menyatakan Kedah mula-mula menerima Islam kira-kira
1400 Masihi apabila seorang ulama dari Yaman bernama Sheikh Abdullah
datang ke Kedah untuk mengajar agama Islam. Sheikh Abdullah juga
dikatakan telah menukar nama asal negeri itu iaitu Langkasuka kepada
Kedah Darul Aman. Raja Kedah yang pertama memeluk Islam telah mengambil
nama Sultan Mahmud Syah.
Sungguhpun beberapa tarikh telah diberikan tentang kemasukan Islam
ke Kedah, tetapi tidak satupun dapat dipegang sepenuhnya kerana
kekurangan bukti. Walaupun demikian, Kedah telahpun memeluk agama
Islam dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah Melaka (1488-1511/28
Masihi). Sejarah Melayu ada menceritakan bahawa Raja Kedah telah
datang ke Melaka untuk memohon nobat. Nobat hanya dianugerahkan
kepada raja-raja yang beragama Islam seperti yang dianugerahkan
oleh Sultan Mahmud kepada Cau Seri Bangsa, pemerintah Patani yang
telah memeluk Islam. Ia kemudian digelar Sultan Ahmad Syah. Di samping
itu, seandainya Raja Kedah tidak memeluk Islam sudah pasti beliau
diminta berbuat demikian oleh pemerintah Melaka seperti yang dilakukan
oleh Sultan Mansor Syah terhadap Syah Indera Berma, anak raja dari
Cempa (Campa). Selain daripada itu, seandainya Raja Kedah itu bukan
Islam adalah lebih baik ia tunduk kepada kerajaan Siam daripada
kerajaan Melaka. Sejarah Melayu tidak menyatakan mengenai Melaka
menakluki Kedah untuk memaksa Raja Kedah tunduk kepadanya. Kedatangan
Raja Kedah itu seolah-olah secara sukarela atau kerana memberi penghormatan,
iaitu daripada sebuah kerajaan yang kecil kepada sebuah kerajaan
yang besar yang sama sebangsa dan seagama.
Sebagai kesimpulannya, dapat kita katakan Islam telahpun dikenalkan
di Kedah sejak abad ke-9 Masihi lagi, tetapi ia hanya menjadi agama
negeri pada abad ke-15 Masihi.
|