|
Pendahuluan
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam
adalah Agama Persekutuan, akan tetapi lain-lain agama boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan
Sebelum kedatangan Inggeris undang-undang yang diikuti di negeri-negeri
Melayu ialah undang-undang Islam dan adat Melayu yang sesuai. Mahkamah
dalam kes Ramah lwn. Laton telah memutuskan bahawa undang-undang
Islam adalah undang-undang tempatan dan undang-undang negeri. Hal
ini diperkuatkan lagi dengan bukti wujudnya kumpulan undang-undang
Melayu lama seperti Undang-undang Melaka, Undang-undang Pahang,
Undang-undang Kedah dan lain-lain yang ditadbirkan dalam pemerintahan
Kesultanan Melayu.
Ketibaan Inggeris telah memberi tafsiran baru kepada kedudukan
agama Islam. Tafsiran agama disamakan dengan pengertian agama Kristian.
Dengan tafsiran itu pihak British telah dapat mempengaruhi undang-undang
di Malaysia. Undang-undang Inggeris telah dimasukkan dan diterima
oleh negeri-negeri Melayu.
Berikutan dengan itu undang-undang diperbuat mengikut contoh undang-undang
Inggeris seperti Penal Code (Kanun Jenayah), Criminal Procedure
Code (Kanun Acara Jenayah), Civil Procedure Code (Kanun Acara Sivil),
Evidence Enactment (Enakmen Keterangan), Contract Enactment (Enakmen
Kontrak) dan Land Enactment (Enakmen Tanah). Apabila hakim menghadapi
masalah yang tidak boleh diselesaikan melalui undang-undang bertulis
mereka kerap kali merujuk undang-undang Inggeris. Dengan cara demikian
undang-undang lnggeris telah dimasukkan dengan menyeluruh ke dalam
undang-undang di Malaysia. Setelah itu ia diperkukuhkan oleh Enakmen
Undang-undang Sivil, 1937 yang diganti kemudiannya dengan Akta Undang-undang
Sivil, 1957.
Setelah merdeka, kuasa mengenai perundangan Hukum Syarak ada diperuntukkan
dalam Jadual ke 9, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan. Dalam
pada itu, telah terdapat perkara di mana Mahkamah Sivil boleh menjalankan
bidang kuasanya sungguhpun perkara itu mengenai undang-undang diri
dan keluarga orang-orang Islam. Umpamanya dalam tuntutan kerana
kemungkinan kontrak pertunangan, tuntutan harta sepencarian, tuntutan
hak penjagaan anak dan kesahtarafan anak.
Pada tahun 1988, pindaan dibuat ke atas Perkara 121 dengan memasukkan
perkara 121(1A) merupakan langkah awal untuk menaikkan taraf dan
kedudukan Mahkamah Syariah dan membebaskan campur tangan Mahkamah
Sivil. Pada lahirnya perkara tersebut telah diatasi, namun terdapat
banyak lagi konflik yang timbul.
|