| |
Kolonialisme di Negeri
Kedah
Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu bermula dengan Negeri-negeri
Selat. Manakala di Negeri-negeri Melayu yang lain, wujud satu corak
penjajahan yang secara tidak langsung seperti penerimaan sistem
residen ataupun penasihat Inggeris. Bagi negeri Kedah, selepas pendudukan
Inggeris di Pulau Pinang pada tahun 1783, Kedah secara langsung
telah 'terpaksa' akur kepada Inggeris. Kenyataan yang mengatakan
Sultan Abdullah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris dengan harga
$10,000 adalah tidak benar sama sekali. Tetapi yang nyatanya, Sultan
Abdullah dan seluruh rakyat Kedah telah ditipu secara kekerasan
di dalam satu perjanjian dan menurut pendapat R. Booney, pengambilan
Pulau Pinang adalah tidak sah sama sekali sama ada dari segi undang-undang
negeri mahupun undang-undang antarabangsa. Perjanjian Persahabatan
yang telah ditandatangani antara Kedah dan Inggeris pada tahun 1791
telah dibuat secara paksaan ataupun dengan erti kata muda 'diugut'
setelah berkali-kali Sultan Abdullah dan rakyatnya cuba untuk mengambil
kembali Pulau Pinang gagal. Mungkin ini disebabkan juga faktor Siam
yang telah mengasak secara bertubi-tubi ke sempadan kedaulatan Negeri
Kedah.
Walaupun demikian, Kedah masih lagi meneruskan pemerintahan dan
pentadbiran sendiri dengan baik tetapi penguasaan yang dahulunya
adalah bersifat tradisi telah dibatasi hanya di dalam persoalan
agama Islam dan adat Melayu sahaja. Negeri Kedah yang kaya dengan
hasil bumi pada zaman itu telah dipergunakan oleh Inggeris untuk
mengaut keuntungan dengan rakusnya. Dengan itu, tidak hairanlah
bagaimana Kedah telah diperkatakan sebagai sebuah negeri yang;
"Negeri ini (Kedah) diperintah dengan adil dan apa yang
diperlukan untuk membolehkan pembangunannya ialah hanya sedikit
kejujuran dan kepintaran dalam pentadbiran kewangannya. Dan segi
pertanian, negeri ini amat kaya, dan jaminan untuk sebarang pinjaman
wang kepadanya adalah mencukupi. Oleh itu, apa yang diperlukan
ialah memulakan sistem yang sama seperti yang dibuat di India
dan bukannya di negeri naungan Selat (Straits Settlements Protectorate),
iaitu melantik seorang penasihat untuk Sultan Kedah dengan kuasa
bertindak dalam hal-hal berkewangan tetapi hanya dengan kuasa
memberikan nasihat dalam hal-hal pentadbiran."
Akibat dari itu, negeri Kedah, seperti negeri Melayu yang lain
juga terikat dengan kehendak Inggeris di dalam semua pentadbiran
sehinggalah di dalam masalah agama, kerana agama yang difahami oleh
Inggeris adalah sempit terikat dengan kaca mata agama Kristian.
Oleh itu, penasihat Inggeris yang dikatakan tidak akan masuk campur
di dalam urusan agama dan adat Melayu adalah penipuan sama sekali.
Ini terbukti apabila Inggeris telah mengubah dasar hukum kerajaan
negeri Kedah yang telah lama melaksanakan undang-undang Islam kepada
undang-undang sekular Inggeris. Lantas dengan ini wujudlah Kanun
Jenayah (Penal Code), Enakmen Keterangan (Evidence Enactment), Enakmen
Kontrak (Contract Enactment), Kanun Acara Sivil (Civil Procedure
Code), Kanun Acara Jenayah dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Dengan
ini bidang-bidang seperti jenayah, kontrak, acara sivil dan jenayah,
undang-undang tanah, dan undang-undang Islam yang lain bukan sahaja
diabaikan bahkan dihentikan oleh Inggeris. Bermula dari itu, undang-undang
Islam hanyalah dilaksanakan walaupun bukan sepenuhnya, di dalam
urusan nikah dan kahwin sahaja. Hakikatnya, inilah yang telah diteruskan
di Negeri Kedah walaupun beberapa positif telah berlaku.
Islam dalam Undang-Undang
Tubuh Negeri Kedah
Berbeza dengan Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Tubuh Negeri
Kedah adalah tertakluk dan terikat kepada Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, fasal-fasal yang menyentuh tentang agama Islam
mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya
di dalam Senarai Negeri Jadual 9. Namun begitu, sebahagian daripada
peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh
Negeri Kedah telah menunjukkan betapa agama Islam amat dititikberatkan.
Antaranya ialah:
- Fasal 10 (d) di dalam Bab Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja memperuntukkan
seorang daripada lima orang lelaki yang mengangkat Raja adalah
Yang Di Pertua majlis Agama Islam Negeri Kedah.
- Fasal 11(2) menyentuh pemilihan Raja hendaklah tertakluk kepada
Hukum Syarak iaitu syarat memilih bakal Raja mestilah seseorang
yang tidak mempunyai sifat keji yang bertentangan dengan hukum
Syarak.
- Fasal 17(1) memperuntukkan Raja mestilah rakyat Kedah yang berketurunan
Raja Kedah, berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bermazhab
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Fasal 18(3a) memperuntukkan tegahan diangkat pemangku Sultan
atau Ahli Jemaah Pemangku Sultan yang bukannya berbangsa Melayu
beragama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Fasal 27 juga memperturutkan waris takhta hendaklah seorang
lelaki Melayu berketurunan Raja dan beragama Islam Ahli Sunnah
Wal Jamaah.
- Fasal 33 A memperuntukkan agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah
sebagai Agama Rasmi Negeri. Manakala Fasal 33 B memperuntukkan
raja adalah Ketua Agama Negeri tetapi Majlis Agama Islam hendaklah
menolong dan menasihati raja di dalam hal yang bersangkutan dengan
agama.
- Fasal 35(2) di dalam Bahagian III memperuntukkan jawatan Menteri
Besar adalah hanya untuk orang Melayu beragama Islam.
- Fasal 36 (2) (a) juga memperuntukkan jawatan Setiausaha Kerajaan
Negeri mestilah seorang Melayu beragama Islam.
Apa yang menarik daripada peruntukan-peruntukan di atas ialah,
kesemua jawatan utama di dalam negeri adalah hak mutlak bangsa Melayu
beragama Islam. Bahkan merujuk kepada fasal 11(2), pemilihan bakal
Raja juga melihatkan peranan dan kepentingan Hukum Syarak di dalam
menentukan keesaan seseorang Raja negeri Kedah. Begitu juga peranan
Raja sebagai Ketua Agama, keputusan baginda yang berhubung dengan
agama Islam bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara bersendirian.
Peruntukan 33 B memberi ruang dan peranan ahli majlis Agama untuk
menolong dan menasihati Raja. Di dalam hal ini, ruang untuk memperluaskan
peranan agama Islam di dalam pentadbiran negeri adalah terbuka bergantung
kepada budi bicara dan kepandaian serta diplomasi Ahli Majlis Agama
Negeri menasihati Raja. Majlis Agama pula dibantu oleh Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Negeri yang bertindak sebagai agensi perlaksanaan
dasar. Ia bertanggungjawab menyediakan program, skim atau projek
untuk pertimbangan Majlis Agama dan juga mentadbirkan, merancang
dan menyelaras segala dasar yang berhubung dengan agama Islam.
Undang-undang Islam di Kedah
Kini
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, Undang-undang Islam
dan Adat Melayu diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri. Perenggan
1 dalam Senarai 2 (Senarai Negeri Jadual 9) Perlembagaan adalah
seperti berikut:
1. Hukum Syarak
Kecuali mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang
menganut agama Islam, termasuk:
- hukum syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat, pertunangan,
perkahwinan, perceraian, mas kahwin nafkah, pengambilan anak angkat,
taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah
bukan khairat;
- wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah dan
perbadanan mengenai pemberian amanah khairat dan yayasan khairat
yang dijalankan di dalam semua negeri;
- adat istiadat Melayu;
- zakat, fitrah dan baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya;
- masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;
- mengada dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh
orang-orang yang menganut agama Islam, terdapat rukun-rukun Islam,
kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan;
- keanggotaan, penyusunan dan cara bagi Mahkamah-mahkamah Syariah,
yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut
agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk
di dalam perenggan ini tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai
kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang
Persekutuan;
- mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang
yang menganut agama Islam;
- menentukan perkara-perkara hukum syarak dan iktikad dan adat
istiadat Melayu.
Berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan, negeri berkuasa
menentukan sendiri pentadbiran undang-undang Islam. Bagi mengendalikan
pentadbiran itu, terdapat sebuah Majlis Agama Islam dan Mahkamah
Syariah sendiri. Terdapat beberapa masalah dalam mentadbir undang-undang
Islam di peringkat negeri ini. Kuasa yang diberikan oleh Mahkamah
Syariah adalah terhad. Mahkamah hanya "mempunyai bidang kuasa
hanya ke atas orang-orang Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara
yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mengenai mana-mana
kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan".
Undang-undang yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah ialah
Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965. Mengikut akta
itu, Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan perkara-perkara
di mana hukuman yang boleh dikenakan tidak lebih daripada enam bulan
penjara atau denda tidak melebihi RM1,000. Pada tahun 1984 ia dipinda
menjadikan Mahkamah Syariah berkuasa membicarakan perkara-perkara
di mana hukuman yang boleh dikenakan tidak lebih daripada tiga tahun
atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebat tidak melebihi enam
sebatan atau kedua-duanya sekali.
|
|