Anda di sini:
 
Sebelum

sambungan
Perkembangan Undang-Undang Islam di Kedah

 
 

Undang-Undang Islam di Kedah Masa Hadapan: Keperluannya

  1. Pentadbiran Undang-Undang Islam di Kedah

    Pentadbiran undang-undang Islam di Negeri Kedah adalah diketuai oleh Baginda Tuanku Sultan Kedah atas pertolongan dan nasihat Ahli Majlis Agama Negeri. Melihat kepada realiti pentadbiran undang-undang Islam di Kedah hari ini, dirasakan banyak perkara yang perlu dipertingkatkan lagi. Terutamanya peningkatan dan pembangunan dari sudut infrastruktur yang baik dan tenaga kerja (man power) yang dinamik dan terlatih supaya perlaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan dengan baik dan teratur. Ini sejajar dengan apa yang diluahkan oleh Profesor Ahmad Ibrahim yang merasakan peningkatan dan penerimaan masyarakat kepada undang-undang sivil adalah kerana kemantapan infrastruktur dan tenaga kerjanya. Pendapatnya:

    "Undang-undang Inggeris bukanlah diterima di Malaysia kerana keyakinan atau kerelaan orang-orang di Malaysia akan tetapi ia telah diterima oleh kerana ia telah dilaksanakan selengkap-lengkapnya. Untuk melaksanakannya telah diadakan antara lain mahkamah, hakim majistret, pendakwa, peguam, pegawai polis dan pegawai penjara. Sebaliknya, kita telah mengabaikan untuk mengadakan pegawai dan infrastruktur untuk perlaksanaan undang-undang Islam dan oleh kerana itulah timbul beberapa masalah dan teguran mengenai perlaksanaan undang-undang itu. Sungguhpun sesuatu undang-undang itu terbaik dan lengkap akan tetapi pelaksanaannya boleh menimbulkan masalah dan keraguan."

    Dari sudut itu, dicadangkan agar pihak kerajaan negeri dapat bertindak dengan seberapa segera untuk memantapkan institusi undang-undang di negeri Kedah terutamanya pada:

    • Mahkamah

      Apa yang dapat diperhatikan institusi Mahkamah Syariah - satu simbol yang amat penting kepada sistem undang-undang Islam sering mendapat tohmahan dan tanggapan yang negatif dari masyarakat Islam sendiri. Perkara ini terjadi bukanlah disebabkan oleh kerana kebencian kepada institusi itu sendiri. Tetapi kerana institusi tersebutlah memainkan peranan sebagai tempat menjalankan dan melaksanakan undang-undang Islam. Justeru itu, apabila timbul sesuatu kes yang melibatkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan ataupun kelewatan yang disebabkan oleh perkara-perkara teknikal, maka institusi tersebutlah yang menjadi tempat untuk dipersalahkan.

      Apa yang mendukacitakan juga ialah berkenaan dengan status mahkamah syariah. Dengan setakat kuasa yang diberikan pada hari ini, ia tidak lebih daripada mahkamah majistret walaupun namanya adalah mahkamah tinggi syariah. Ini adalah kerana bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya amatlah kecil jika dibandingkan dengan mahkamah-mahkamah sivil.

    • Hakim

      Masalah yang paling ketara di dalam pentadbiran Mahkamah Syariah negeri Kedah ialah kekurangan hakim yang bertauliah. Hingga ke hari ini, 9 jawatan Qadhi masih lagi belum diisi. Untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut, hakim-hakim yang ada terpaksa berulang-alik ke daerah-daerah yang tiada jawatan tersebut. Justeru tidak hairanlah jika didapati banyak kes yang terpaksa ditangguh pengendaliannya.

    • Peguam Syarie

      Tidak ramai lagi peguam syarie yang mantap penguasaan mereka terhadap kaedah hukum Islam semasa berhujah di Mahkamah Syariah. Ini mengakibatkan lembabnya perkembangan hukum Islam. Oleh itu, lebih ramai peguam syarie yang memahami kaedah hukum Islam diperlukan untuk memastikan perkembangan sistem hukum dan mahkamah Syariah lebih memberangsangkan lagi.

  2. Halangan-halangan

    • Perlembagaan Persekutuan

      Dan apa yang peruntukan di dalam Senarai 2 jadual 9, kelebihan yang diberikan kepada negeri ataupun sebenarnya kepada mahkamah syariah adalah terhad dan terkongkong di dalam kepompong undang-undang keluarga untuk orang Islam sahaja. Badan perundangan negeri juga mempunyai kuasa untuk menggubal apa-apa undang-undang yang bersangkutan dengan Islam tetapi bidang kuasanya tertakluk kepada Undang-Undang Persekutuan.

  3. Perkembangan Terakhir

    Seperti negeri-negeri lain yang telah melakukan perubahan di dalam bentuk pentadbiran undang-undang Islam, Kedah juga mengambil tempat di dalam perubahan yang membangun itu. Sehubungan dengan itu, terdapat sepuluh enakmen yang telah diluluskan dan dikuatkuasakan bagi pembicaraan di Mahkamah Syariah Negeri Kedah. Enakmen-enakmen tersebut ialah:

    • Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah no. 9 Tahun 1962 (Berkuat kuasa pada 4 Oktober 1965)
    • Enakmen Keluarga Islam 1979 Negeri Kedah Bil. 1 1984 (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1985)
    • Atur-cara Mal Islam 1979 Negeri Kedah. Bil. 2 tahun 1984. (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1985)
    • Enakmen Mahkamah Syariah 1993 Negeri Kedah. Bil. 4. Tahun 1994 (Berkuat kuasa pada 1 Januari 1996)
    • Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988 (Enakmen no. 8 tahun 1988)
    • Enakmen Acara Jenayah Syariah, 1988 (Enakmen no. 3 tahun 1989)
    • Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988(Enakmen no. 9 tahun 1988)
    • Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 (Enakmen no.11 tahun 1988)
    • Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1989 (Enakmen no. 8 tahun 1990)
    • Undang-Undang Zakat tahun 1955 (1374)
    • Undang-Undang No 4 tahun 1955 (1374)
    • Peraturan menurut seksyen 9
    • Peraturan-peraturan Zakat tahun 1982 (Berkuatkuasa pada 25 Oktober 1982)

Walaupun kelulusan dan penguatkuasaan undang-undang Islam di Negeri Kedah telah menunjukkan undang-undang Islam telah menjalani proses perkembangan yang menggalakkan, tetapi ia masih lagi memerlukan banyak lagi perubahan seperti latihan intensif kepada pegawai dan hakim syarie tentang hal-hal berkenaan prosedur dan pentadbiran, skim gaji yang menggalakkan. Dalam hal yang sama, sistem rekod perlulah dikemaskini supaya memudahkan pihak mahkamah dan orang ramai, penerbitan makalah ataupun laporan undang-undang contohnya Laporan Undang-Undang Islam Negeri Kedah, dan lain-lain lagi yang perlu diselidiki dari semasa ke semasa. Walaupun begitu, keputusan Kedah tidak menyertai negeri-negeri lain di dalam Penyelarasan Mahkamah Rayuan di peringkat persekutuan masih lagi menjadi tanda tanya dan memerlukan jawapan yang meyakinkan.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah