| |
|

Beliau adalah seorang tokoh pendidik
yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi
tegas dalam soal-soal berkaitan
dengan agama.
|
 |
Dato' Paduka Sheikh Abd. Majid bin Mohd. Noor dilahirkan pada 12
Februari 1924 di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Star, Kedah.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor
Star, Kedah pada tahun 1930 selama 3 tahun. Selepas itu, beliau
meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Suka Menanti pada tahun
1935 dan seterusnya di Maktab Mahmud selama 8 tahun. Beliau kemudiannya
berangkat ke Mesir untuk memasuki Universiti Al-Azhar dan mendapat
Ijazah B.A. di sana. Pada tahun 1955, beliau melanjutkan pengajiannya
di Institusi Ain Al-Syam dan di situ pelbagai kaedah pengajaran
serta pengetahuan perguruan telah dipelajarinya.
Setelah pengajiannya tamat, beliau bertugas sebagai guru Bahasa
Arab di sekolah lamanya di Maktab Mahmud iaitu pada tahun 1945 selama
20 tahun. Kemudian, beliau dilantik sebagai Pemangku Guru Besar
di sekolah yang sama pada tahun 1961. Pada tahun 1965, beliau dinaikkan
pangkat menjadi Guru Besar di sekolah tersebut. Kemudian pada tahun
1969, beliau dilantik pula sebagai Pendaftar Sekolah-sekolah Agama
di Majlis Hal Ehwal Agama Islam. Pada tahun 1980-an, beliau telah
dilantik sebagai Penasihat Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Di samping
itu, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat
Ibadat Haji, Tabung Haji. Beliau telah dipilih menjadi Pengerusi
Lembaga Maktab Mahmud dan juga diberi tugas sebagai Ahli Lembaga
Amanah Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM) selama tiga tahun.
Selain itu, Dato' Paduka Syeikh Abd Majid pernah menjadi hakim pertandingan
Tilawatul Al-Quran peringkat negeri dan peringkat kebangsaan.
 |

Beliau pernah dinobatkan sebagai
Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun
1998.
|
Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Atas
sikap dedikasi dan ketokohan beliau, KDYMM Tuanku Sultan berkenan
melantik beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam
Kedah dan dua tahun kemudian beliau bersara wajib pada 12 Februari
1979. Selepas beberapa bulan bersara, beliau telah dipilih menjadi
Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah dari tahun 1980 hingga tahun
1984. Serentak dengan tugas tersebut, beliau turut dilantik sebagai
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
peringkat negeri Kedah selama 5 tahun. Dari tahun 1979 hingga tahun
1986, beliau dilantik menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Negeri Kedah. Setelah bersara, beliau masih memegang jawatan sebagai
Ahli Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah
dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kedah.
Antara hasil karya beliau ialah, Risalah Sembahyang Terawih dan
Sembahyang Musafir, Jamak dan Qasar. Beliau juga menyusun kurikulum
Sekolah-Sekolah Rendah di Kedah. Dato' Paduka Syeikh Abdul Majid
bukan sahaja dikenali sebagai tokoh dalam bidang agama tetapi juga
tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah
lembut tetapi tegas dalam soal-soal berkaitan dengan agama.
Bagi mengenang sumbangan dan jasa bakti dalam bidang yang beliau
ceburi, pelbagai pingat dan darjah kebesaran telah dianugerahkan
oleh kerajaan. Di antaranya ialah D.H.M.S. yang membawa gelaran
Dato' Paduka, D.P.M.K., S.M.K., P.C.K., Dato' Setia Jaya dan Dato'
Mursyid Diraja (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas). Beliau juga
pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, Tokoh Guru
Kebangsaan bersempena sambutan Hari Guru pada tahun 1987 dan Tokoh
Maal Hijrah pada tahun 1998
|
|