| |

Beliau pernah dilantik menjadi Yang
Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ahli Majlis Fatwa Negeri
Kedah dan Ahli Majlis Mengangkat Raja. |
 |
Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai
Haji Abdul Rahman Merbok dilahirkan pada tahun 1899 di Tebengau,
Kampung Alor Ibus, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan
awal (ilmu Al-Quran) daripada bapa beliau sendiri iaitu Haji Abdullah
dan kemudian berguru dengan Haji Muhammad Arif di Sungai Nonang.
Kemudian, pada tahun 1916, beliau meneruskan pelajaran menengahnya
di Madrasah Al-Masyhur, Pulau Pinang. Selepas itu, beliau meneruskan
pengajiannya di Madrasah Tuan Hussin Nasir, Teluk Nipah, Pantai
Merdeka, Kedah selama tiga tahun.
Pada tahun 1918, Haji Abdul Rahman telah berangkat ke Mekah untuk
menuntut ilmu di sana. Di Mekah, beliau mendapat pendidikan secara
umum dari beberapa tokoh guru agama terkenal seperti Sheikh Othman
Sarawak, Abdul Kadir Mendahiling, Sheikh Umar Bajunid, Tuan Mufti
Hambali, Sheikh Ali Maliki dan Sheikh Salleh Bikri. Selain itu,
beliau juga pernah menuntut daripada Tuan Guru Pak Da Ei (Pak Muda
Ismail) dan Pak Wan Daud yang mana kedua-duanya berasal dari Patani.
Sebagai seorang yang mendapat pendidikan sekolah pondok, Dato'
Mursyid Diraja Haji Abdul Rahman banyak menyumbang dalam usaha membangunkan
sekolah di Negeri Kedah. Beliau pernah menjadi guru di sekolah pondok
serta madrasah. Selain itu, beliau juga telah mendirikan Madrasah
Kota Kuala Muda ketika berusia 27 tahun iaitu sekitar tahun 1926.
Pada tahun 1927, beliau membuka Madrasah Saadatul-Daroin, Merbok,
Kedah. Pada peringkat awal, bilangan penuntut madrasah ini hanyalah
seramai 25 orang tetapi ia semakin bertambah dari tahun ke setahun
dan ia menjadi terkenal bukan sahaja di Negeri Kedah tetapi ke beberapa
negeri lain di Semenanjung dan beberapa bahagian tertentu di Sumatera
dan Riau.
Selain itu, beliau juga kerap mengadakan ceramah-ceramah agama
bagi mengembang dan menyebarkan ilmu agama. Ini telah dilakukan
oleh beliau terutama pada masa sebelum perang dan telah dilanjutkan
hingga pada masa perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu melalui
ceramah-ceramah Maulud Nabi Muhammad s.a.w., majlis-majlis membaca
Al-Quran, majlis-majlis ihtifal, majlis perasmian, khutbah Jumaat
dan menerusi perbualan sehari-hari. Sebagai seorang ulama yang mempunyai
kebolehan dan pengetahuan serta pengalaman yang luas, beliau pernah
dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ahli Jawatankuasa
Tertinggi Ulama UMNO, Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Ahli Majlis
Mengangkat Raja.
Bagi mengenangkan jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan
Tokoh Guru Negeri Kedah bagi tahun 1982. Beliau juga dianugerahkan
pingat dan darjah kebesaran antaranya Ahli Mangku Negara (A.M.N.),
Jaksa Pendamai (J.P.), Gelaran Dato' Mursyid Di Raja dan kurniaan
Pingat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dari KDYMM Sultan
Kedah.
|
|