|
Haji Muhammad Salleh telah dilahirkan pada tahun 1870-an di Kampung
Bendang Badang, Patani, Thailand. Beliau juga dikenali dengan nama
'Tok Ayah Lubuk Kawah'. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok
Kampung Bendang Badang, Patani di bawah asuhan Wan Muhammad Idris
bin Wan Muhammad Jamal atau lebih dikenali dengan nama Tok Sheikh
Jarum. Tetapi pengajiannya terhenti seketika setelah Tok Sheikh
Jarum berhijrah ke Kedah. Tidak lama kemudian, beliau dan bapanya
turut berhijrah ke Kedah dan di Kedah, beliau mendesak bapanya mencari
Tok Sheikh Jarum untuk menyambung pengajiannya. Beliau merupakan
murid harapan Tok Sheikh Jarum dan justeru itulah beliau dilantik
menjadi kepala mutala'ah (Ketua Murid). Beliau meneruskan pengajiannya
di Tanah Suci Mekah dan menimba ilmu daripada beberapa orang guru,
antaranya seperti Sheikh Abdullah Singgora.
Sekembalinya dari Mekah, beliau mengembara dengan berjalan kaki
untuk mencari ilmu agama. Dari Kedah, beliau bertolak ke Patani,
ke Kelantan dan seterusnya ke Terengganu. Di Terengganu, beliau
menyebarkan semua ilmu yang dipelajarinya dengan mengajar di surau
Kampung Losong. Beliau kembali semula ke Kedah tidak lama kemudian
dan membuka sebuah pondok di Sungai Korok, Alor Changleh, Jitra,
Kedah. Semasa mentadbir institusi pondok tersebut, beliau diminta
memangku jawatan Tok Guru yang pergi menunaikan fardhu Haji di Mekah.
Haji Muhammad Salleh menyumbang tenaga dengan mengajar al-Quran
kepada penduduk kampung. Kemudian, barulah beliau memulakan pengajian
pondok di atas tanah seluas 5 ekar yang diwakafkan oleh penduduk
Lubuk Kawah. Pelajaran yang diajar adalah berbentuk keagamaan seperti
Fiqah, Tafsir, Hadis, al-Quran dan sebagainya.
Satu sifat beliau yang agak ganjil yang ada pada tokoh ini ialah
beliau memelihara anjing. Jarang orang alim memelihara anjing dan
sifat tersebutlah yang menjadikan beliau sebagai luar biasa. Namun,
baginya anjing yang dipelihara itu adalah untuk mengawal keselamatan
kampungnya daripada perompak atau binatang buas.
Beliau tidak ketinggalan dalam bidang perubatan secara tradisional
di mana beliau akan mengubati pesakitnya dengan menggunakan penawar
daripada akar pokok kayu. Rumah Haji Muhammad Salleh juga menjadi
tempat orang mencari perlindungan daripada sebarang ancaman terutamanya
penyamun. Pada masa pendudukan Jepun, pondoknya juga menjadi perlindungan
daripada keganasan askar-askar Jepun. Ini disebabkan sifat keberanian
yang ada padanya. Beliau dikatakan memakai 'penggerun harimau'.
Lantaran itulah harimau tidak berani mengganggunya walaupun beliau
berada di kawasan hutan yang banyak harimau.
Haji Muhammad Salleh menjalankan kegiatan dakwah secara aktif
namun beliau tidak terikat dengan sebarang ajaran tarikat. Dalam
bidang tarikat, beliau lebih suka bersikap berkecuali terutama di
dalam pertikaian ilmu tarikat. Haji Muhammad Salleh meninggal dunia
pada pertengahan tahun 1943.
|