| |

Haji Muhammad berupaya mengarang
banyak kitab yang terkenal hingga ke Timur Tengah. |
 |
Haji Muhammad Salleh dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim
Tunjang, Jitra pada tahun 1864. Pendidikan awal yang diterima beliau
ialah menerusi pondok Kampung Pulau Pisang yang ditadbir oleh datuknya.
Haji Muhammad Salleh adalah cucu kepada Haji Ishak bin Muhammad
Hashim, pengasas pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang dan
Kadi Besar di negeri Kubang Pasu Darulqiyam yang diperintah oleh
Tunku Anom dari tahun 1841 sehingga tahun 1853. Beliau telah dihantar
ke Mekah untuk memperluaskan lagi pengetahuan keagamaan pada tahun
1879 dan berada di sana selama 15 tahun. Haji Muhammad Salleh berjaya
menguasai Ilmu Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf, Tafsir, Hadis
dan ilmu bantu seperti Nahu dan Saraf dengan cekap. Beliau pulang
ke Kedah ketika berusia 30 tahun.
Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang terus mendapat perhatian
setelah kematian Haji Ishak kerana Haji Muhammad Salleh telah meningkatkan
kegemilangan pondok tersebut di mana terdapat pertambahan jumlah
murid iaitu di antara 800 hingga 1000 orang. Terdapat beberapa faktor
yang menyumbang ke arah perkembangan dan kemajuan pusat pendidikan
pondok di Kampung Pulau Pisang semasa pentadbirannya. Pertamanya,
dari segi sejarah, Pulau Pisang telah mencapai taraf bandar dan
menjadi ibu negeri Kubang Pasu sewaktu pemerintahan Tunku Anom.
Keduanya, Haji Ishak yang telah menjadi Kadi Besar berjaya meletakkan
asas ajaran Islam yang kukuh. Ketiganya, kewibawaan Haji Muhammad
Salleh sendiri sebagai ulama yang gigih meninggikan syiar Islam
dan keempatnya, kesedaran masyarakat untuk mendapat ilmu akhirat
di samping menjauhi kejahilan.
Antara kitab yang digunakan dalam pengajian Fiqah ialah Minhaj
Al Abidin, Fath Al Mu'in Al Baijuri dan Matan Al Minhaj. Manakala
kitab Tauhid yang digunakan terdiri daripada Dusuqi, Kifayah Al
Awam, Hidayah Al Salikin, Bidayah dan Dur Al Thamin. Kitab Tasawuf
ialah Ihya Ulumuddin, Dur Al Nafis dan Risalah Al Muawanah. Kitab
Hadis ialah Jauhar Al Tauhid dan Jawahir Al Bukhari. Tafsir yang
digunakan ialah Jalalayn dan Tafsir Al Baidawi.
Haji Muhammad berupaya mengarang banyak kitab yang terkenal hingga
ke Timur Tengah. Antara kitab karangan beliau ialah Sirajul-huda,
Tanbihul-Awam Listiqadzil-Mana dan Nasihatuddin Azzakiyah. Namun
begitu, semua kitab karangan beliau tidak bertahan lama kerana telah
musnah dalam peristiwa kebakaran di pondok tersebut.
Beliau tidak hanya melibatkan diri dalam bidang keagamaan sahaja,
di mana beliau bertanggungjawab menyediakan kemudahan sosial seperti
membina jalan besar iaitu sebatang jalan besar yang menghubungi
Kampung Pulau Pisang dengan Pekan Tunjang. Selain itu, beliau telah
mengemaskini Masjid Ishaqiah dan mengasaskan more dan kenduri berbuka
puasa sepanjang bulan Ramadan. Setelah berbakti selama 50 tahun
mengembangkan ajaran Islam di pondok Pulau Pisang, beliau meninggal
dunia pada tahun 1944.
|
|