|
Haji Ishak lahir pada tahun 1771 di Kampung Padang Panjang, Kota
Sena, Malau, Jitra. Beliau mendapat pendidikan agama peringkat awal
dari keluarganya sendiri. Beliau belajar membaca al-Quran di Kampung
Malau. Bagaimanapun, asas pendidikan yang diperolehinya itu tidak
mencukupi untuk membolehkan beliau menjadi seorang ulama sebagaimana
yang dicita-citakan oleh bapanya, Muhammad Hashim.
Atas kecenderungan sendiri di samping galakan keluarga, Haji Ishak
pergi ke Mekah pada tahun 1786 untuk meluaskan pengetahuan agama.
Selama 20 tahun di Mekah, Haji Ishak berguru dengan beberapa orang
ulama tetapi salah seorang yang terdekat dan sering disebut-sebut
bernama Sheikh Abdul Qadir. Haji Ishak berjaya menguasai ilmu Fiqah,
Tauhid, Usuluddin dan Tasawuf di samping ilmu Tafsir, Hadis dan
ilmu-ilmu bantu seperti Nahu, Saraf dan lain-lain.
Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1806 ketika berusia 35 tahun
dan mula mengajar agama di Kampung Malau atas permintaan penduduk
tempatan. Langkah itu merupakan kegiatan awal dan adalah sejajar
dengan hasrat beliau untuk menjadi seorang pendakwah kepada masyarakat.
Haji Ishak merupakan seorang ulama yang mempunyai kaitan rapat dengan
Tunku Anom. Ini kerana beliau hidup di zaman kritikal perhubungan
antara Kedah dengan Siam.
Setelah mengembalikan Kesultanan Negeri Kedah, Tunku Anom telah
diberi kawasan Kubang Pasu untuk dijadikan negeri kerana jasanya
yang tidak terbilang dalam mendapatkan semula Kedah dan meletakkan
semula Sultan ke atas takhta. Pada tahun 1841, Tunku Anom menjemput
Haji Ishak menjadi salah seorang pembesar baginda merangkap Kadi
Besar yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal berkaitan dengan
adat istiadat Melayu, keagamaan dan pentadbiran. Perlantikan itu
dibuat setelah melihat kewibawaan Haji Ishak sebagai ulama yang
berpengetahuan luas.
Semasa berkhidmat sebagai Kadi, Haji Ishak menjalankan tugas dengan
cemerlang. Antara tugas yang dijalankan ialah menyusun tempat perletakan
istana, tempat tinggal keluarga raja, tempat pemakaman raja dan
menjadi guru raja di samping terus aktif mengajar ilmu-ilmu agama
Fiqah dan Tauhid kepada orang ramai.Pada bulan Ogos 1845 semasa
Tunku Anom bersama 17 orang pengiring termasuk Sultan Zainal Rasyid,
Syed Hussain dan Tunku Muhammad Akib bertolak ke Siam menghantar
bunga emas, Haji Ishak memangku jawatan pemerintah selama enam bulan
di negeri Kubang Pasu. Ini membuktikan bahawa Haji Ishak adalah
orang paling hampir dan dipercayai oleh Tunku Anom dan sering dipertanggungjawabkan
mengendali urusan negeri.
Dengan sokongan Tunku Anom, Haji Ishak telah mendirikan sebuah
pusat pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang.
Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang telah terkenal di seluruh
negara dan memandangkan kemajuan pesat Pulau Pisang sebagai pusat
Islam, Tunku Anom bersetuju menjadikannya sebagai pusat pemerintahan.
Dengan nasihat Haji Ishak, Tunku Anom kemudiannya mendirikan sebuah
istana di Kampung Pulau Pisang.
Semasa mentadbir pondok Pulau Pisang, Haji Ishak mendirikan sebuah
masjid sebagai kemudahan tempat beribadat. Masjid itu masih kekal
hingga sekarang yang dikenali sebagai 'Masjid Ishaqiah'. Asas-asas
pembinaannya masih lagi terdiri daripada perkakas-perkakas lama
walaupun beberapa kali telah diubahsuai. Mimbar masjid tersebut
yang diperbuat daripada kayu teras remia masih digunakan hingga
sekarang. Pembinaan masjid itu dilakukan oleh orang-orang Jawa tetapi
rekabentuknya adalah ilham Haji Ishak sendiri. Ini menunjukkan Haji
Ishak bukan sahaja seorang ahli agama semata-mata tetapi juga arkitek
yang berkemampuan.
Masjid Kampung Pulau Pisang yang dibina di kawasan pondok merupakan
salah sebuah masjid yang terindah di negeri Kedah pada waktu itu.
Haji Ishak menggunakan masjid itu bukan sahaja sebagai tempat beribadat
tetapi juga sebagai tempat menyampaikan ceramah agama. Keindahan
masjid tersebut menjadi salah satu daya tarikan kepada orang-orang
luar yang datang menuntut ilmu di Pulau Pisang. Jumlah murid yang
datang, sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Tunku Anom sendiri
turut berguru dengan Haji Ishak. Baginda telah memerintahkan Haji
Ishak mengarang banyak kitab keagamaan dan risalah-risalah perubatan
untuk diwarisi oleh rakyat sebagai bahan rujukan. Tetapi malang
sekali kerana semua kitab itu musnah dalam peristiwa kebakaran sebanyak
dua kali di Pondok Kampung Pulau Pisang. Kali terakhir pondok itu
terbakar ialah pada tahun 1962.
Selepas kemangkatan Tunku Anom pada tahun 1853, Sultan Kedah melantik
Tunku Ishak menjadi Raja negeri Kubang Pasu dan Tunku Muhammad Saman
menjadi Raja Muda. Semasa Tunku Ishak memerintah dari tahun 1853
hingga 1863, Haji Ishak merupakan orang penting sebagai penasihat
raja dalam hal ehwal keagamaan, adat-istiadat Melayu dan pentadbiran.
Namun demikian, keutuhan pusat pendidikan pondok Kampung Pulau
Pisang terus bersinar. Ramai pedagang jauh dan dekat yang bertumpu
di bandar Pulau Pisang semasa menjadi ibu negeri Kubang Pasu. Sebahagian
daripada mereka berguru dengan Haji Ishak. Beliau berusaha secara
serius menyebarkan Islam dan berjaya melahirkan ramai tokoh cendekiawan
Islam yang berasaskan pengajian pondok. Salah seorang tokoh ulama
yang boleh disifatkan sebagai intelektual Islam yang berjaya dilahirkan
ialah cucu Haji Ishak sendiri iaitu Haji Muhammad Salleh bin Haji
Hashim. Selain itu ialah Tan Sri Dato' Seri Haji Osman bin Aroff,
Menteri Besar Kedah yang ke empat yang merupakan salah seorang cicit
Haji Ishak, Sheikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh iaitu bekas Pengerusi
Jawatankuasa Majmak Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Ramli bin Haji
Muhammad Salleh bekas Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Kedah, Dr.
Burhanuddin al-Hilmy yakni bekas Pengerusi PAS dan lain-lain lagi.
Haji Ishak bin Muhammad Hashim meninggal dunia pada tahun 1871
kerana sakit tua dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung
Pulau Pisang. Beliau meninggalkan empat orang isteri bersama sepuluh
orang anak.
|