| |

Haji Hussain merupakan seorang ulama
yang mahir dalam ilmu Fiqh serta mahir bercakap Bahasa Inggeris.
|
 |
Haji Hussain Che' Dol dilahirkan di Kampung Gajah
Mati, Pendang, Kedah pada tahun 1904. Beliau datang dari keluarga
pondok di mana bapanya, Ismail Che' Dol merupakan tokoh ulama terkenal
di Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya selaku
gurunya. Selepas itu, beliau mendalami pengajian di selatan Siam dan
telah berguru dengan Haji Abdullah Chauk, Patani. Selepas empat tahun
mendalami ilmu di Siam, beliau pergi ke Mekah. Semasa di Mekah, beliau
telah jatuh sakit dan disebabkan keuzuran itu, beliau kembali ke tanahair
lalu menyambung pengajian di Pondok Chauk, Patani.
Haji Hussain Che' Dol pernah membuka pondok sendiri di Guar Cempedak,
Kedah dan memimpin pelajar yang datang dari pelbagai tempat di seluruh
Tanah Melayu. Beliau meneruskan kerjayanya sebagai guru di pondok
bapanya iaitu di Gajah Mati. Selepas itu, beliau berhijrah ke Kampung
Paklat, Bangkok sambil berdakwah kepada masyarakat Islam di sekitar
Bangkok selama tiga tahun. Kemudiannya, beliau kembali ke Gajah
Mati untuk mengembangkan syiar Islam.
Pada tahun 1930-an, beliau dikenali sebagai qari terkemuka di Kedah.
Beliau juga merupakan seorang pemidato yang baik, terutamanya dalam
menyampaikan ceramah agama. Beliau telah membuka pondok sendiri
yang diberi nama Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah di Guar Cempedak.
Haji Hussain merupakan seorang ulama yang mahir dalam ilmu Fiqh
serta mahir bercakap Bahasa Inggeris. Beliau mempelajari Bahasa
Inggeris daripada seorang guru iaitu Che Maidin yang berasal dari
Perak. Beliau merupakan seorang ulama dan pemimpin ulung yang bukan
sahaja berjuang menegakkan keagungan dan kesucian Islam malahan
turut membangunkan kesedaran umat dalam bidang politik, ekonomi
dan sosial.
Pada 12 Mei 1967, Warta Negara melaporkan mengenai pemergian Haji
Hussain Che' Dol ke rahmatullah di rumah kediamannya di Guar Cempedak
kerana penyakit darah tinggi.
|
|