Anda di sini:
 


Haji Yaakob Bin Haji Ahmad

 
 

Beliau adalah seorang yang arif dalam perundangan Islam, dan telah berusaha menerapkan nilai-nilai Islam bagi menyelamatkan akidah para penduduk tempat.

Haji Yaakob dilahirkan di Kampung Surau Mukim Pedu, Kuala Nerang. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya, Haji Ahmad Lebai Salleh yang merupakan seorang imam di kampung tersebut.

Pada tahun 1870, Haji Yaakob mula mempelajari agama dengan lebih mendalam di Masjidil Haram di Mekah untuk pengajian Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf, Hadis dan Tafsir. Sepanjang 30 tahun berada di Mekah, beliau telah menuntut dengan beberapa orang guru, antaranya ialah Syeikh Abdul Qadir, Syeikh Ali Maliki dan Syeikh Abdullah Zawawi. Beliau sangat cekap menguasai bahasa Arab di samping mendalami pengajian ilmu Tafsir, Tauhid, Hadis, Usuluddin dan Fiqah.

Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1900 ketika berusia 37 tahun dan menjadi seorang yang arif dalam perundangan Islam, dihormati dan dikagumi oleh masyarakat. Beliau telah berusaha menerapkan nilai-nilai Islam bagi menyelamatkan akidah dengan lebih berkesan dan beliau turut mengajar agama kepada para penduduk tempatan sekitar daerah Padang Terap. Pada tahun 1901, beliau berhijrah ke Pendang dan telah membuka pusat pendidikan pondok di Kampung Batu Menunggul, Mukim Air Puteh. Sewaktu mentadbir di Batu Menunggul, terdapat kira-kira 300 orang pelajar dari beberapa buah negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan sebahagian dari Indonesia berguru dengan beliau.

Pada tahun 1911 hingga tahun 1921, beliau dilantik sebagai Kadi Daerah Baling. Manakala pada tahun 1921 hingga tahun 1922 beliau ditukarkan ke Daerah Kulim, Daerah Kubang Pasu selama empat bulan dan daerah Kota Star pada tahun 1922 hingga tahun 1939. Beliau juga dikenali sebagai "Haji Yaakob Puteh" pada waktu itu. Sebagai Kadi, beliau juga bertindak sebagai Hakim Mahkamah Syariah di mana berfungsi untuk menegakkan keadilan berlandaskan hukum-hukum Islam. Beliau bersara sebagai Kadi pada tahun 1940 iaitu ketika berusia 77 tahun.

Pada tahun 1940 hingga tahun 1942, beliau telah membuka sebuah lagi Pusat Pendidikan Pondok di Kampung Bendang, Kuala Nerang. Pondok itu berpindah ke Kampung Bukit Gedung, Mukim Belimbing Kanan, Daerah Padang Terap pada tahun 1942 hingga tahun 1943.

Antara kitab-kitab yang digunakan sebagai panduan semasa mengajar ialah Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf dan Tafsir. Kitab Tauhid yang digunakan ialah Hidayah al Hidayah, Dur al Thamin, Aqidah al Najin, Zahrah al Murid dan Kifayah al Awam. Manakala kitab Tasawuf ialah Minhaj al Abidin, Risalah al Muawanah, Dur al Nafis dan Ihya Ulumuddin. Kitab Hadis terdiri daripada Samma al Muhammadiyah, Jam'ul Fawaid dan Juhar al Tauhid.

Haji Yaakob meninggal dunia dalam usia 80 tahun, kerana sakit tua dan dikebumikan di tanah perkuburan Kuala Nerang.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah