| |

Haji Abdullah Abbas Nasution juga
seorang ulama yang giat berdakwah menerusi bidang penulisan.
|
 |
Haji Abdullah Abbas Nasution lahir di Langgar, Alor Star, Kedah
pada 1 Mac 1912. Haji Abdullah mendapat pendidikan awal daripada
bapanya hingga meningkat usia 10 tahun. Selepas itu, barulah beliau
memasuki Sekolah Melayu Langgar pada tahun 1920. Pada tahun 1923,
beliau menyambung pelajarannya di sekolah pondok (Arab) di Pulau
Pinang dan di Jitra, Kedah.
Pada tahun 1928, beliau meneruskan pengajiannya di Pondok Tok Kenali
di Kota Bharu, Kelantan dan kemudian berpindah belajar di Maahad
Muhammadi, Kota Bharu hingga tahun 1936. Akhir sekali, beliau belajar
di pondok Ahmadiyah Bunut Payong, Kota Bharu pada tahun 1937 hingga
tahun 1940. Selepas itu, beliau kembali ke sekolah pondok di Pulau
Pisang, Jitra sebagai guru dan kemudiannya berpindah pula ke Pondok
Haji Muhsin, Titi Besi, Kepala Batas. Pada akhir tahun 1940, Haji
Abdullah Abbas Nasution membuka sebuah sekolah perguruan agama yang
dikenali sebagai Madrasah Maahad Ehya Al-Ulum Ad-Diniah di Tanjung
Pauh, Jitra. Madrasah ini menyediakan matapelajaran Pendidikan Agama
Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Pada tahun
1940 hingga tahun 1967, Madrasah Maahad Ehya AI-Ulum Ad-Diniah telah
melahirkan kira-kira 4000 orang murid yang masing-masing diasaskan
dengan pendidikan Islam.
Selain daripada mengajar, Haji Abdullah Abbas Nasution juga seorang
ulama yang giat berdakwah menerusi bidang penulisan. Kegiatannya
dalam bidang itu bermula sejak awal tahun 1930-an lagi. Pada tahun
1933, Haji Abdullah mula berlatih menjadi penulis sambilan di akhbar.
Waktu itu beliau masih belajar di Kota Bharu, Kelantan iaitu di
Pondok Tok Kenali. Dalam bidang penulisan, Haji Abdullah sering
menggunakan nama samaran A.A. Pilpisani, AAN dan lbnil Arabi. Tulisannya
yang sering mengimbau kepada persoalan agama itu kerap tersiar dalam
akhbar Saudara, Warta Malaya di Singapura dan Sahabat di Pulau Pinang.
Selain rencana agama, Haji Abdullah pernah menulis berita biasa
untuk akhbar-akhbar itu. Antara bahan berita yang pernah ditulisnya
termasuklah kejadian mencuri ayam, orang bergaduh dan cerita jenayah.
Haji Abdullah kemudiannya beralih kepada bidang menterjemah kitab
agama daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Antara usaha penterjemahannya
yang awal ialah menterjemah kitab Tarbiah Al-ljtimaiah (Hal Ehwal
Kemasyarakatan), Tarbiah Al-Wataniah (Sains Politik Mesir) dan beberapa
kitab lain. Di samping menterjemah, beliau juga telah mengarang
beberapa buah kitab seperti Sejarah Melayu Raya yang mencatatkan
sejarah orang Melayu dari zaman Sri Vijaya dan kedatangan Islam
ke Asia Tenggara. Pada tahun 1940, Haji Abdullah Abbas Nasution
memulakan kerja menterjemah al-Quran al-Karim yang dicetak pada
tahun 1959. Beliau juga telah menulis huraian tafsir al-Quran yang
dapat disiapkannya dalam tempoh lapan tahun. Secara keseluruhan,
sejak tahun 1933 hingga 1980, Haji Abdullah Abbas Nasution telah
menulis dan menterjemah kira-kira 100 buah kitab dan risalah yang
menyentuh pelbagai maudhuk. Kebanyakan daripada kitab-kitab itu
adalah mengenai Islam, termasuklah kebudayaan dan sejarahnya. Beliau
juga menulis tentang sejarah am Asia Tenggara. Dalam pada itu, beliau
juga pernah menulis salasilah keturunan keluarganya dan beberapa
buah buku ilmu pengetahuan seperti Geografi, Ekonomi, biografi hidup
dirinya, Sains Politik, Sains Kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain
lagi. Kebanyakan karya beliau ditulis dalam bentuk khat thuluth
dan ada yang ditaip.
Haji Abdullah Abbas Nasution juga bergiat aktif dalam Persatuan
Ulama Kedah (PUK). Pada peringkat awal penubuhan Persatuan Ulama
Kedah (PUK), beliau dianggap sebagai seorang daripada penaja dan
orang kuat persatuan itu. Ketika itu, beliau bertugas sebagai mudir
di pondok yang dikendalikannya sendiri iaitu Maahad Ehya Al-Ulum
Addiniah di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah. Sebagai tokoh penaja PUK,
Haji Abdullah didaftarkan sebagai ahli ke lapan dalam persatuan
itu. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Penaja dan seterusnya
sebagai Setiausaha Kehormat PUK.
Sebagai Setiausaha Penaja dan Setiausaha Kehormat PUK, beliau telah
dipertanggungjawabkan menggubal sebuah undang-undang PUK yang dibentuk
berpandukan undang-undang tubuh Persatuan Pinang Peranakan (sebuah
pertubuhan kebajikan India Muslim di Pulau Pinang) . Haji Abdullah
Abbas Nasution telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha PUK pada
bulan Januari 1946 hingga 1949. Selepas setahun PUK bergerak di
Alor Star (ibu pejabatnya di Maktab Mahmud), ia terpaksa dipindahkan
ke Guar Chempedak kerana pada ketika itu Maktab Mahmud ialah sebuah
sekolah agama kerajaan. Oleh kerana PUK merupakan sebuah persatuan
bukan kerajaan, beberapa syarat tertentu telah dikenakan. Secara
tidak langsung, keadaan itu sedikit sebanyak menjadi sekatan dan
menghalang pergerakan PUK sendiri. Sebaliknya, pergerakan PUK di
Madrasah At Taufikiah AI-Khairiah di Guar Cempedak lebih bebas kerana
madrasah itu adalah sebuah sekolah agama rakyat yang tidak terikat
dengan sebarang peraturan atau undang-undang pihak berkuasa. Mulai
tahun 1949 sehingga sekitar tahun 1950-an, Haji Abdullah Abbas Nasution
dilantik sebagai Ketua Hal Pelajaran menggantikan Syeikh Abdul Halim
Othman yang merupakan Ketua Hal Pelajaran PUK yang pertama.
Dalam bidang politik, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan
seperti Setiausaha Kesatuan Melayu Kedah dan Setiausaha UMNO Bahagian
Kubang Pasu, Setiausaha PAS Kubang Pasu dan Kuala Nerang, Ketua
Dewan Ulama PAS Kedah dan juga Jawatankuasa Pusat PAS Tanah Melayu.
Selain itu, beliau pernah menghadiri pertemuan penting Kongres Kesatuan
Melayu Malaya yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
pada 1 Mac 1946 sewaktu menentang Malayan Union. Kehadirannya dalam
pertemuan itu ialah sebagai wakil kepada PUK dan Kesatuan Melayu
Kedah. Di samping itu, beliau pernah menghadiri majlis mesyuarat
ulama seluruh Tanah Melayu yang berlangsung di Butterworth pada
tahun 1952. Haji Abdullah bukan saja membabitkan diri dalam bidang
keagamaan tetapi turut bergerak cergas dalam bidang sosial. Satu
contoh pembabitan beliau ialah sebagai ahli Persaudaraan Sahabat
Pena (PERSPAM). Selain itu, beliau juga merupakan tokoh pemidato
yang handal. Ini dapat dilihat sewaktu beliau menyampaikan ceramah
bertajuk "Riwayat dan Perjuangan Tuk Kenali" di Universiti
Kebangsaan Malaysia pada 21 Februari 1978. Beliau sering menghadirkan
diri ke seminar-seminar yang berkaitan dengan politik, ekonomi,
sejarah, pendidikan, bahasa,sastera dan kebudayaan.
Haji Abdullah Abbas Nasution telah kembali ke Rahmatullah pada
4 Januari 1987 dalam usia 78 tahun. Perjuangan Haji Abdullah dalam
PUK untuk menyatupadukan umat Islam khusus di negeri Kedah adalah
satu perjuangan yang meninggalkan kesan positif terhadap perkembangan
Islam di seluruh negara. Oleh yang demikian, ia wajar diketahui
dan dikenang oleh generasi Islam yang terkemudian.
|
|