| |

Tuan Haji Muhammad Said merupakan
orang yang bertanggungjawab menerbitkan Akhbar Melayu yang pertama
di Negeri Kedah Darul Aman.
|
 |
Tuan Haji Muhammad Said Yan atau nama penuh beliau Tuan Haji Muhammad
Said bin Penghulu Muhammad Taib dilahirkan di Anak Bukit, Alor Star,
Kedah pada tahun 1877. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok
Haji Mat Tamim, Anak Bukit. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran
agamanya di Sekolah Agama Hamidiah, Limbong Kapal, Alor Star. Seterusnya,
beliau telah berusaha mendalami pelajaran agamanya di Mekah selama
beberapa tahun. Setelah pulang ke tanahair, beliau berkahwin dengan
Che Dun, iaitu anak saudara Pak Wan Sulaiman bin Wan Sidek, yang
ketika itu menjadi Syeikhul Islam Negeri Kedah.
Beliau berpindah ke Titi Bakong, Yan dan mengajar agama dengan
membuka kelas agama di rumahnya sendiri. Beliau mengajar berbagai-bagai
pelajaran agama kepada orang-orang dewasa, termasuklah ilmu Tauhid,
Fikah, Tasawuf, Hadis dan al-Quran. Pelajar-pelajar beliau datang
dari merata-rata tempat di sekitar tempat tinggalnya.
Tuan Haji Muhammad Said dilantik menjadi Kadi di beberapa daerah
di Negeri Kedah termasuklah sebagai Kadi Daerah Kuala Nerang, Kuala
Muda dan Yan. Tetapi akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai
Kadi . Setelah berkahwin buat kali ketiga, Tuan Haji Muhammad Said
kembali menetap di Titi Bakong dan menyambung pelajaran kelas agamanya.
Ketika itulah beliau mula berminat mempelajarai ilmu perubatan tradisional.
Beliau mula mencatat segala ilmu perubatan dan mula mengubat beberapa
jenis penyakit. Jadi, di samping mengajar agama, beliau mula menjadi
bomoh.
Selain terkenal sebagai guru agama, beliau juga terkenal sebagai
seorang tabib. Beliau boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit.
Beliau pernah membuat makjun, membuat minyak untuk penyakit kebas,
lenguh, penat dan sebagainya, serta ubat-ubatan daripada akar-akar
kayu. Tuan Hj. Muhammad Said juga telah menulis sebuah buku dengan
tulisan tangan. Di dalamnya dicatatkan segala petua dan peraturan
bagi mengubati segala jenis penyakit. Beribu-ribu jenis ubat dicatatkan
di dalam buku itu. Tuan Hj. Muhammad Said juga dikenali sebagai
"Tabib Haji Muhammad Said" kerana beliau banyak mengeluarkan
berbagai-bagai jenis ubat untuk berbagai-bagai jenis penyakit, dan
pada botol-botol ubatnya bercetak : 'Diperbuat oleh Tabib Haji Muhammad
Said Yan'.
Tuan Haji Muhammad Said merupakan orang yang bertanggungjawab menerbitkan
Akhbar Melayu yang pertama di Negeri Kedah Darul Aman. Akhbar tersebut
diberi nama 'NUN' yang dikeluarkan pada 23 Februari, 1926 bersamaan
11 Syaaban, 1344. Tuan Haji Muhammad Said sendiri bertindak sebagai
penerbit dan pengarang bagi akhbar yang bertulisan jawi itu. Akhbar
tersebut yang hanya mengandungi 10 halaman, diterbitkan dua kali
sebulan iaitu di awal dan pertengahan setiap bulan Hijrah. Di samping
berita-berita tempatan, akhbar tersebut juga memuatkan rencana bersiri
yang merangkumi persoalan agama, pengetahuan am, sejarah, ilmu pengetahuan
dan sastera tradisional, khususnya cerita-cerita lisan dan syair.
Bagaimanapun, akhbar NUN itu terhenti penerbitannya pada bulan November
1932.
Selain daripada meneruskan pengajaran di kelas agamanya serta menjadi
tabib atau bomoh, Haji Muhammad Said juga menulis serta mengeluarkan
berbagai-bagai risalah kecil berbentuk dakwah. Risalah-risalah tersebut
berbentuk buku kecil dan dicetak dalam tulisan jawi yang mengandungi
di antara 18 hingga 32 muka surat. Antara risalah yang dikeluarkan
bertajuk 'Risalah Banyak-Banyak Syukur', 'Risalah Bicara Tertib
Puasa Ramadan' dan 'Risalah Jika Tiada Hendak Sembahyang, Apakah
Hendak Jadi?"
Isi risalah-risalah tersebut berbentuk nasihat dan dakwah agar
seluruh kaum muslimin dan muslimat taatkan perintah Allah dengan
mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Risalah-risalah tersebut dicetak mulai tahun 1951 hingga tahun 1958.
Di bahagian belakang risalah-risalah tersebut terdapat nama-nama
risalah lain yang ditulis oleh Tuan Haji Muhammad Said seperti "Perbendaharaan
Mastika Bicara Asmaul-Husna", "Syirah Bardah", "Selusuh
Memudahkan Perempuan Beranak", "Wirid-wirid Am",
"Kucing Bertuah", "Talqin Bahasa Jawi", "Pati
Rahsia", "Risalah Bunga Raya" dan "Mengapa Engkau
Tidak Sembahyang?". Semua risalah tersebut dijual ke seluruh
negeri-negeri di Malaysia Barat, (ketika itu Semenanjung Tanah Melayu).
Pada muka surat pertama atau kedua risalah-risalah tersebut terdapat
'pengesahan' yang dibuat oleh Tuan Haji Abdullah Pak Him - Mufti
Pulau Pinang ketika itu yang juga selaku mudir di Sekolah Agama
Dairatul Ma'arif Al-Wathoniah, Kepala Batas, Seberang Perai mengesahkan
bahawa risalah tersebut tidak salah atau tidak menyeleweng dan perlu
dibaca oleh orang ramai. Ini bererti Tuan Haji Muhammad Said telah
mengirimkan semua risalah tulisannya kepada Tuan Haji Abdullah Pak
Him terlebih dahulu sebelum dicetak untuk mendapatkan pengesahan
tentang tulisannya itu.
Tuan Haji Muhammad Said meninggal dunia di Titi Bakong, Yan pada
tahun 1962 dalam usia 85 tahun dan selamat dikebumikan di tanah
perkuburan Yan, Kedah.
|
|