
Pak Cu Him juga telah mengarang
kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada
30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair
Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu
dalam Bahasa Melayu.
|
 |
Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani.
Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang
termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi
gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut
cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar
agama di Bermin, Patani.
Pada tahun 1912, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Di Mekah, beliau belajar dengan Pak Chik Wan Daud, bapa saudaranya.
Beliau begitu fasih berbahasa Arab disebabkan sejak kecil lagi tinggal
di Mekah. Kebolehannya yang istimewa ialah mengarang syair Arab
di mana beliau berjaya mengarang sebuah buku Qawaid al-Fiqhiah dalam
bentuk syair dengan tulisan tangan. Kebolehan Pak Cu Him telah mendapat
pengiktirafan dan diberi tauliah untuk mengajar agama di Masjidil
Haram selama beberapa tahun. Pak Cu Him tinggal di Mekah selama
12 tahun dan menemui guru-guru termasyhur di sana yang di antaranya
ialah Sahibul Fadzilah Sheikh Yahaya Patani, Sahibul Fadzilah Tok
Ramli, Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad 'Ali Maliki dan Sahibul
Fadzilah Sheikh Muhammad Mukhtar al-Jawi.
Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok
mertuanya, Haji Ismail Che' Dol di Gajah Mati setelah berkahwin
dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.
Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan
Sulaiman bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk
mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati
di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut
dari Jambi, Mendiling, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor,
Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman puncaknya, pondoknya
pernah mencapai angka 500 orang penuntut.
Di dalam pengajarannya, Pak Cu Him meneruskan cara-cara yang ditetapkan
oleh Tok Ayah Che' Dol di Pondok Gajah Mati iaitu mengajar bahasa
Arab dengan mengutamakan nahu, saraf, loghat, syair dan mantiq.
Ilmu-ilmu agama seperti fiqah, tauhid dan sebagainya turut diajar
di samping mata pelajaran Quran dan Hadis. Beliau gemar mengajar
syair Arab seperti Syair Ibnu 'Uqail dan beliau sendiri sentiasa
menukil syair-syair Arab apabila bersembang dan mengajar. Beliau
yang amat tertarik dengan ilmu Tauhid dan Usuluddin turut menjadikan
pengajarannya amat menarik bila disulam dengan syair-syair yang
berkaitan. Kitab-kitab nahu yang beliau gunakan dengan baik sekali
ialah karangan Sheikh Jamaluddin Ibni Hisham seperti Syarah Al-Qutur
dan Syarah Al-Syuzur. Manakala kitab-kitab Fiqah yang Pak Cu Him
gunakan ialah Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Sheikh Zakaria Al-Ansari.
Dalam soal kemasyarakatan, Pak Cu Him mementingkan perpaduan. Beliau
telah melihat bagaimana masyarakat Arab di Timur Tengah dilanda
kucar-kacir kerana mereka tidak bersatu-padu dan enggan hidup bermuafakat.
Beliau juga risau melihat keadaan bangsa Melayu di Negara Patani
yang telah dikucar-kacirkan oleh pemerintah Thailand. Menyedari
hal inilah, Penghulu Mukim Padang Pusing dengan imam dan ketua-ketua
kampung seluruh mukim tempat Pondok Gajah Mati terletak telah berkumpul
mengadakan mesyuarat bersama Tuan Guru Haji Ismail Che' Dol, Haji
Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad
Rabat serta Pak Cu Him sekali kerana menggubal peraturan-peraturan
untuk bersatu-padu dalam sebuah mukim. Perjanjian "Jam'iaitul
Ittihadiyah" yang diterjemahkan sebagai "Perhimpunan Yang
Bersuatu" telah ditandatangani pada 17 Ogos 1926.
Anak-anak buah masing-masing dan penuntut-penuntut dalam pondok
akan diberi penjelasan bahawa sesiapa yang engkar bekerjasama dengan
penghulu, imam, Tuan Guru dan Ketua-ketua kampung akan dikenakan
hukuman. Antara hukumannya ialah :
- Tiada menziarahinya apabila ia sakit.
- Memulaukan kendurinya.
- Tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan
mengebumikan mayatnya.
- Tidak akan mendapat layanan dari mudim dan bidan.
- Asingkan kuburnya.
Selain itu, orang ramai akan berpakat menangkap orang yang melanggar
hukum-hukum adat dan syarak dan menyerahkan mereka kepada pemerintah
supaya dihukum sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri. Sebagai
menguatkan amalan-amalan agama, pihak yang menurunkan tandatangan
telah melarang anak buah di dalam Mukim Padang Pusing dari membuat
kenduri pada hari Jumaat kecuali kenduri Maulid Nabi. Begitu juga
jika diizinkan dan dianggap sebagai kesalahan jika membuat kenduri
pada mana-mana hari tiga hari selepas Hari Raya Haji dan pada hari-hari
Puasa Enam 2 hingga 7 Syawal.
Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa
Ghalil" yang siap pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau
menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada
tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara
lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu.
Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di
dalam bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga
khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Terdapat syair-syair
Arab dan penjelasan-penjelasan mengenai Nahu Arab disusun dengan
tertib dalam simpanannya.
Sahibul Fadzilah Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan
nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari
1968 ketika berumur 75 tahun. Jenazahnya diabadikan di perkuburan
masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail
Che' Dol.
|