
Sheikh Ismail sebagai ulama dan
nasionalis, beliau juga salah seorang yang terbabit mempengaruhi
Jepun mengembalikan kedudukan, kekuasaan dan kedaulatan Raja-raja
Melayu.
|
 |
Sheikh Ismail dilahirkan pada 17 Syaaban 1311H. Beliau merupakan
anak kepada Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim juga cicit kepada
Haji Ishak, pengasas pondok Pulau Pisang dan Kadi Besar Negeri Kubang
Pasu semasa pemerintahan Tunku Anom.
Beliau mendapat pendidikan awal dari bapanya di Pondok Pulau Pisang.
Pada tahun 1330H, beliau berangkat ke Mekah bersama ayahnya untuk
menyambung pelajaran di Masjidil Haram. Setelah tamat, beliau menyambung
lagi pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir selama lima tahun
mulai 1346H hingga 1351H dan berjaya mendapat ijazah Aliahtul Qarbak.
Gurunya ialah Sheikh Abdul Wasif dan Sheikh Ali Maliki. Semasa menuntut
di Timur Tengah, Sheikh Ismail mengambil peluang melawat Palestin
dan kemudian kembali ke Mekah lagi pada tahun 1352H.
Apabila pulang ke tanahair pada tahun 1353H, beliau diminta oleh
Haji Muhammad Salleh mengajar di Pondok Pulau Pisang dan sebagai
tenaga pengajar kanan bersama Dr. Burhanuddin Helmi. Pondok Pulau
Pisang ketika itu berada di puncak kemasyhuran hingga ke rantau
Indonesia dengan jumlah pelajar antara 800 ke 1000 orang. Namun,
tugas Sheikh Ismail di situ tidak lama apabila beliau dilantik sebagai
Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah oleh Duli Yang Teramat
Mulia Tunku Mahmud lbni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram
Shah. Sepanjang tugas itu, beliau berusaha memajukan sistem persekolahan
agama yang masih menjadi ikutan dan panduan pada masa kini.
Beliau banyak menghasilkan kitab berkaitan dengan sistem dan peraturan
persekolahan agama waktu itu. Malangnya, kebanyakan kitab yang berguna
itu hilang dan hanya dua buah sahaja yang ditemui iaitu Hidayat-An-Nufus
dan Tarbiyat-Ul-Auladiyah. Kitab Hidayah Nufus berkaitan doa-doa
dalam sembahyang, dihimpun dan dihurai secara terperinci dari segi
kaedah amalannya di samping menerangkan manfaat kepada umat Islam
menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sementara Kitab Tarbiyah Auladiyah
pula menerangkan kebaikan Islam sebagai satu cara hidup ke arah
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Menjelang tahun 1356 H, Sheikh Ismail dilantik sebagai Kadi Besar
Negeri Kedah selama dua tahun sahaja. Beliau berjaya memberi sumbangan
besar ke arah perkembangan Islam. Walaupun sibuk dengan jawatan
itu, beliau masih sempat melawat dan mengajar di pondok Pulau Pisang
yang sedang ditadbir oleh bapanya, Haji Muhammad Salleh. Beliau
turut memberi sumbangan fikiran, tenaga dan modal untuk meningkatkan
taraf pondok itu sebagai pusat pendidikan. Sheikh Ismail bertanggungjawab
memberi nama kepada pondok itu sebagai Madrasah lshakiah dan serentak
dengan itu kaedah pendidikan tradisional dikemaskinikan mengikut
sistem pengajaran moden ketika itu.
Pada tahun 1358H, Sheikh Ismail menjadi Pengerusi Majmak Syeikhul
Islam Negeri Kedah hingga 23 Syawal 1364H. Peranan utamanya sepanjang
memegang jawatan itu ialah berusaha menjayakan penubuhan Jabatan
Zakat Negeri bertujuan mengumpul dan membahagikan kutipan zakat
kepada golongan asnaf yang lapan. Jabatan Zakat Negeri ditubuhkan
atas kehendak dan titah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud lbni
Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Untuk maksud menjayakan
penubuhan jabatan itu, satu rang undang-undang berhubung dengan
penubuhannya, cara-cara kutipan dan agihan telah disusun oleh Sheikh
Ismail untuk melicinkan perjalanan sesuai dengan syiar Islam bersama
dua orang lagi ulama iaitu Haji Yaakob Haji Ahmad (Yaakob Puteh)
Kadi Daerah Kota Star dan Haji Abdul Ghani Haji Awang, Kadi Besar
Negeri Kedah.
Selama tiga tahun lapan bulan Jepun memerintah Tanah Melayu, Sheikh
Ismail sentiasa berusaha agar kedaulatan Islam tidak tercemar. Beliau
cuba mempengaruhi Jepun supaya melindungi kesucian agama Islam dengan
menyuarakannya dalam satu persidangan wakil-wakil pertubuhan Islam
Tanah Melayu pada 5 April 1943 di Singapura. Sebagai ulama dan nasionalis,
beliau juga salah seorang yang terbabit mempengaruhi Jepun mengembalikan
kedudukan, kekuasaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Pada 21 Januari
1943 Sheikh Ismail menjadi wakil raja di suatu mesyuarat antara
Jepun dengan wakil Raja-raja Melayu dan Sumatera di Singapura. Pada
kesempatan inilah beliau mencurahkan isi hati agar orang-orang Melayu
dilindungi dan kedaulatan Raja-rajanya dikembalikan sebagai simbol
perpaduan.
Sheikh Ismail meninggal dunia pada 23 Syawal 1364H dalam usia 53
tahun iaitu setahun selepas Haii Muhammad Salleh meninggal. Jenazahnya
dikebumikan di perkuburan Masjid Pulau Pisang berhampiran kubur
ayah dan nendanya. Setelah beliau pulang ke rahmatullah, nadi keunggulan
pondok itu sebagai pusat ilmiah Islam diteruskan oleh adiknya, Tuan
Haji Kassim. 
|