| |
Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris
bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849
Masihi. Beliau dilahirkan di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam
Wilayah Yala, Patani.
Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan
berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang
ulama di istananya untuk berbincang masalah 'hukum rejam' dalam
Islam. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan
pendapat, ulama yang paling muda itu dapat menjawab dengan pintar
dan tepat. Ketajaman fikiran yang difikirkan oleh raja seperti 'Jarum'
itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'.
Berdasarkan sumber kedua, iaitu catatan yang diperolehi dari cucunya,
Haji Wan Muhammad ldris adalah berasal dari keturunan 'Al-Jarmi'
di Hadhramaut, Tanah Arab. Di dalam catatan tersebut tertulis :"Sheikh
ldris atau Sheikh Jarum bin Jamal masyhur dengan panggilan Wan ldris
bin Wan Abdul Jamal bin Abdul Latif bin Sheikh Muhammad Shamsuddin
bin Muhammad Fakeh bin Muhammad Yassin bin lbrahim Al-Hadharamaut
bin lbar Hadharamaut Al-Jarmi". Salah seorang anak Tok Sheikh
Jarum yang terkenal yang memakai gelaran ini ialah Haji Abdul Rahman
Al-Jarum.
Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya
yang juga sebagai ayah angkatnya bernama Haji Minai atau lebih dikenali
dengan panggilan Tuan Minai atau Tok Sheikh Minai iaitu pengarang
kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal. Beliau
telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila
beliau kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana
beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab,
Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.
Sekembalinya dari Mekah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun
di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau
berangkat ke Mekah ialah pada tahun 1895 dengan ketiga-tiga orang
isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji
Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau
tidak tinggal lama di Mekah kerana cita-citanya ingin pulang ke
tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri.
Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya
meninggalkan Mekah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah,
beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang
Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya
telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim
Shah melalui Sheikh Ahmad Daim, Kadi Besar Kedah waktu itu. Baginda
dikatakan meminta supaya Tok Sheikh tinggal menetap di Kedah untuk
mengembangkan syiar Islam di samping diberi tugas menjadi Guru Agama
di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum
kerana bersesuaian dengan cita-citanya.
Tok Sheikh Jarum diberi tempat tinggal percuma di bandar Alor Star.
Tetapi disebabkan suasana kesibukan dan kebisingan di bandar tidak
sesuai baginya tinggal terus di situ, maka beliau memohon suatu
tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah
pondoknya. Permohonannya dibenarkan dan setelah diberi, Tok Sheikh
Jarum memohon suatu tempat yang terletak di Derga. Di situlah beliau
meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang
dari Kanchut, Alor Star.
Dalam beberapa tahun sahaja, purata jumlah pelajarnya bertambah
setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah.
Oleh kerana pertambahan tersebut, Tok Sheikh Jarum membahagikan
kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu 'pondok luar' dan 'pondok
dalam'. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana
untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke
istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan
menghantarnya pulang.
Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah
Usuluddin, Tafsir, Fiqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh
Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi
imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing.
Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih
menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir,
Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan
Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah
tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa.
Selain dari bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta
mengubati orang-orang sakit dan beliau juga arif dalam melihat tuah
ayam dan burung. Kebetulan pada waktu Tok Sheikh Jarum mendirikan
pondoknya, Derga merupakan pusat atau gelanggang menyabung ayam
yang terkenal di Alor Star.
Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak
tegas dan tetap pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan
sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak
bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek
sebatang taliair di kampungnya.
Kira-kira sepuluh tahun ia diasaskan, pada tahun 1909 pondok itu
ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran
itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh
dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan
terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana
ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat
disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan
itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya.
Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di
kawasan itu untuk para penghuni dan juga tempat belajar agar pengajian
dapat diteruskan. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok
Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya
dikebumikan di tanah perkuburan Derga. Pondok yang diasaskannya
beransur-ansur menemui zaman kejatuhannya.
Sehingga kini, walaupun Tok Sheikh Jarum tiada lagi, boleh dikatakan
ramai anak cucunya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang dihajati
oleh beliau, antaranya termasuklah :
- Tuan Haji Abdul Rahman AI-Jarumi, anaknya yang menjadi Guru
Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Beliau meninggal
pada tahun 1954.
- Tuan Haji ldris bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang mengasaskan
Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.
- Tuan Haji Hussin bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang pernah
menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.
- Dato' Sheikh Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (Dato' Mursyid Diraja).
Cucunva yang kini dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa di Jabatan
Agama Islam Kedah dan juga selaku Pengetua Sekolah Menengah Nahdhatul
Hasanah, Melele, Jitra.
- Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Mohd. Noor. Cucunya yang juga
seorang 'Hafiz'. Meninggal di Mekah pada tahun 1987.
- Tuan Haji Nawawi bin Haji Ahmad. Cucunya yang pernah bertugas
sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Kedah. Terkenal sebagai seorang
'Qari' dan Penggubah Nasyid, juga seorang pendakwah yang berpengaruh.
Banyak mengasaskan sekolah-sekolah agama termasuk Tarbiatul Banat
di Seberang Perak, Alor Star bersama Ustaz Haji Saad bin Said,
pada tahun 1948 yang kemudiannya dipindahkan ke Jalan Pegawai,
Alor Star pada tahun 1958 dengan memakai nama Attarbiatul-lslamiah.
Tuan Haji Nawawi meninggal pada 10 April 1985.
- Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Cucunya iaitu seorang
guru bersara dari Maktab Mahmud, Alor Star. Kini menjadi imam
Masjid Al-lrfan, Derga.
- Tuan Sheikh Abdul Razak bin Haji Yusof, cucunya yang berkelulusan
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kini bertugas sebagai Pegawai
Pendidikan Sekolah-sekolah Agama di Jabatan Agama Islam Kedah.
- Tuan Sheikh Fadzil bin Mohd. Noor. Cicitnya yang berkelulusan
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pernah bertugas sebagai pensyarah
di universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Kini selaku Yang
Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia.
- Ustaz Muhamad Amin Al-Jarumi, cicitnya yang kini menjadi Pensyarah
di Institut Teknologi Mara, Kuala Lumpur.
Selain dari nama-nama tersebut, masih terdapat cicitnya yang bernama
Haji Abdullah bin Haji ldris atau lebih dikenali dengan nama Haji
Abdullah Sarah yang membuka sebuah perkampungan pondok terbesar
di Kampung Sarah, Patani. Sistem pengajaran dan pembelajaran di
pondoknya masih mengekalkan ciri-ciri sistem tradisional.
|
|