|
Tuan Haji Muhammad Arif dilahirkan di Kampung Sungai Nonang, Mukim
Tebengau, daerah Kota Star pada tahun 1871. Tuan Haji Muhammad
Arif mendapat pendidikan agama peringkat awal daripada bapanya Haji
Ishak. Ketika berusia tujuh tahun, beliau belajar agama dengan Haji
Muhammad Alim di Kampung Sungai Nonang. Tuan Haji Muhammad Arif
menunjukkan kebolehan menguasai dengan tepat setiap pelajaran yang
diajar.
Pada tahun 1890, beliau ke Mekah untuk mendalami ilmu agama dengan
dibiayai segala perbelanjaan oleh Haji Muhammad Alim. Semasa di
Mekah, beliau berguru dengan Sheikh Abdul Qadir di Masjidil Haram
mengikuti pelajaran Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf, Hadis, Tafsir
dan sebagainya.
Selepas sepuluh tahun menuntut ilmu di Mekah, beliau pulang ke
tanahair pada tahun 1900 iaitu ketika beliau berusia 30 tahun. Beliau
dikatakan mempunyai beberapa kelebihan yang luarbiasa seperti tidak
basah dalam hujan, boleh berjalan atas air dan pakar dalam bidang
falak. Pada tahun 1901, beliau telah mengambil alih pusat pendidikan
pondok yang diasaskan oleh Haji Muhammad Alim di Sungai Nonang.
Manakala Haji Muhammad Alim pula lebih menumpukan perhatian terhadap
pusat pendidikan pondok yang dibukanya di Tasek Junjung, Pulau Pinang.
Pusat pendidikan di Sungai Nonang itu berkembang dengan pesat dan
menjadi masyhur di seluruh Kedah sewaktu ditadbir oleh Haji Muhammad
Arif.
Kegiatan mengajar di Sungai Nonang merupakan peranan awal beliau
mengembang ajaran Islam selepas pulang dari Mekah. Memandangkan
pertambahan jumlah pelajar menggalakkan Tuan Haji Muhammad Arif
membina lebih banyak pondok kediaman pelajar, sebuah madrasah dan
sebuah masjid di Kampung Sungai Nonang.
Sebagai seorang yang pakar dalam ilmu falak, Tuan Haji Muhammad
Arif pakar tentang kaji cuaca. Beliau sentiasa membuat kajian cuaca
sebelum ke laut untuk menentukan keadaan tenang dan bebas daripada
ancaman ribut taufan. Beliau juga banyak mengajar ilmu mempertahankan
diri kepada nelayan-nelayan bagi menghadapi serangan lanun, mengelak
kehilangan arah di laut serta mengajar cara-cara untuk memperolehi
hasil tangkapan yang banyak. Beliau juga pernah berdebat dengan
seorang ahli falak British di Tanah Melayu mengenai tarikh kejadian
gerhana bulan dan beliau dapat meneka dengan tepat. Ini menyebabkan
beliau amat dipercayai oleh Sultan Abdul Hamid dan dipertanggungjawabkan
menentukan tarikh awal Ramadhan dan awal Syawal.
Pada tahun 1914, Tuan Haji Muhammad Arif membawa anak-anak muridnya
daripada daerah Kota Star, Yan, Gurun, Sik, Seberang Perai dan
Pulau Pinang berhijrah ke Ayer Puteh dekat Pendang. Beliau bertanggungjawab
meneroka kampung tersebut dan memberi nama kampung Ayer Puteh. Pusat
pendidikan pondok Kampung Ayer Puteh menjadi pusat ilmuan Islam
yang penting antara tahun 1914 hingga tahun 1929. Ramai cendekiawan
Islam lahir daripada pondok itu seperti Ahli Parlimen Sik, Dr. Abdul
Hamid Othman; Haji Ahmad Badawi (bapa kepada Dato' Abdullah Ahmad
Badawi); Hj. Fauzi Hj. Mustaffa, guru Pondok Yan Kechil; Hj Azizan
Hj Mustaffa, pengasas Sekolah Agama Al Fallah di Kampung Perlis,
mukim Kangkong; dan lain-lain lagi. Sultan Abdul Hamid yang memerintah
Kedah antara tahun 1881 hingga tahun 1943 juga merupakan salah seorang
murid Tuan Haji Muhammad Arif.
Tuan Haji Muhammad Arif adalah seorang yang pemurah dan beliau
telah membina sebuah gudang besar di rumahnya untuk menyimpan barang-barang
makanan. Sifat itu membuatkan beliau amat dikasihi oleh orang ramai.
Walaupun beliau telah lama meninggal dunia, namun jasa dan sumbangannya
tetap dikenang. Di atas jasa-jasa beliau, sebuah sekolah telah diberi
nama Sekolah Kebangsaan Haji Muhammad Arif di Kampung Ayer Puteh
Dalam. Selain itu, masjid yang terdapat di kampung tersebut juga
diasaskan oleh beliau.
|