| |

Semasa hidupnya, beliau telah berjaya
mengarang sebanyak 18 buah kitab yang menyentuh mengenai ilmu
Fiqah, Tauhid, Tasawuf, Ibadat, Saraf dan lain-lain lagi.
|
 |
Tuan Hussain lahir pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadil Awal
1280 H di Titi Gajah, Alor Star, Kedah. Beliau yang lebih dikenali
sebagai Tuan Hussain Kedah telah mendapat didikan agama dan pelajaran
bahasa Arab dari datuknya, Tuan Haji Muhammad Taib bin Haji Mas'ud
sejak kecil lagi. Datuknya yang merupakan bekas Mufti Negeri Kedah
pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah, telah membuka surau
di Titi Gajah untuk mengajar agama kepada ratusan pelajar setiap
hari.
Pada tahun 1881 ketika beliau berusia 19 tahun, Tuan Hussain telah
dihantar untuk belajar di pondok Tuan Semela di Patani selama setahun.
Tuan Hussain telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura Johor
dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lapan tahun di perantauan,
beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya
mengajar.
Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu
Wan Khadijah binti Wan Yusof untuk mengerjakan haji dan menambahkan
pengetahuan agamanya. Beliau sempat berguru dengan Tuan Sheikh Hasbullah,
Tuan Sheikh Nawawi Bentan, Tuan Sheikh Ahmad Lingga, Tuan Sheikh
Umar Sumbawa, Tuan Sheikh Umar Bali dan Tuan Sheikh Muhammad Khafat.
Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun1896, beliau meneruskan
pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau
ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan
yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar
di sana selama tiga tahun.
Pada tahun 1900, beliau berpindah ke Bohor dan membuka pondoknya
di sana. Pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur
antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok
Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan
Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussain mengendalikan pondoknya
di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan
"Tuan Hussain Bohor".
Pada tahun 1912, Tuan Hussain berpindah pula ke Bagan Ulu dan
membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai
Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya
yang terkenal ialah Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau
lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Merbok. Tuan Hussain mentadbir
pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh,
Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak
mengurangkan penuntut Tuan Hussain. Beliau berkhidmat di sana selama
4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama
anak dan cucu-cucunya.
Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924 telah memberi ilham kepada
Tuan Hussain untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Selain
mengajar, beliau juga menerbitkan kitab-kitab baru hampir setiap
tahun. Semasa hidupnya, beliau telah berjaya mengarang sebanyak
18 buah kitab yang menyentuh mengenai ilmu Fiqah, Tauhid, Tasawuf,
Ibadat, Saraf dan lain-lain lagi. Pada tahun 1887, beliau telah
menghasilkan kitab yang pertama berjudul "Al-Nur-Mustafid fi
Aqa'id Ahl Al-Tauhid". Kitabnya yang terakhir bertajuk "Bunga
Geti" membicarakan persoalan sembahyang ganti ditulis pada
tahun 1935.
Tuan Haji Hussain bukan ulama sembarangan. Beliau tidak pernah mengharapkan
sedekah atau zakat fitrah dari orang ramai. Beliau mempunyai beratus
relung tanah sawah, kebun getah dan kebun kelapa. Hartanya juga
ada di Banjarmasin. Beliaulah yang mewakafkan tanah untuk tapak
masjid dan perkuburan di Titi Gajah, tanah tapak sekolah agama Padang
Lumat dan tanah tapak sekolah agama di Pokok Sena, Seberang Perai.
Pada 10 Februari 1936, dengan kehendak Allah Tuan Hussain pulang
ke rahmatullah setelah jatuh sakit di pondoknya di Pokok Sena, Seberang
Perai. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Titi Gajah.
|
|