| |

Sebagai seorang yang berkebolehan
dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya meramal akan berlakunya
kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 melalui sebuah risalahnya
berjudul "Risalah Nasihat Fasal Gerhana".
|
 |
Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah
desa pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau,
Daerah Kota Star.
Setelah bapanya meninggal dunia, ibunya, Wan Tam berusaha memberikan
pendidikan asas yang secukupnya kepada anaknya seperti membaca surat-surat
jawi dan Muqaddam. Ketika usianya 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar
Bahasa Melayu di sebuah sekolah kepunyaan Haji Din sehingga lulus
darjah tiga.
Apabila berusia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar
membaca al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam kepada Tuan Guru Haji
Ismail berasal dari Kelantan. Selepas itu, Haji Wan Sulaiman dihantar
belajar Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez (peranakan Ceylon) yang
membuka klinik perubatannya di Pekan Melayu. Tetapi disebabkan kenakalannya,
beliau sering dimarahi dan dipukul oleh gurunya. Hal itu menyebabkan
Haji Wan Sulaiman enggan meneruskan pengajiannya kerana menganggap
gurunya itu berbangsa kafir. Sejak itulah beliau berazam untuk melanjutkan
pelajaran ke Mekah.
Haji Wan Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan
saudara-saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah,
Haji Wan Sulaiman berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu agama Islam
termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian
al-Quran dan ilmu Falakiah. Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah
Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Sheikh Fakir Muhammad
Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang
ke-34. Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini
Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah
Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.
Pada tahun 1904, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah menubuhkan
Majmuk Ulama untuk membantu baginda mengatasi sebarang masalah yang
timbul berkaitan dengan agama Islam. Majmuk ini mengandungi 12 orang
ulama dengan dipengerusikan olen Haji Wan Sulaiman sementara Haji
Abdullah Fahim (Pak Him) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain
yang menganggotainya termasuklah Sheikh Muhammad Khayat, Sheikh
Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris
Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman (Keramat Serban Hijau), Haji lbrahim
Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir
Al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam
Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan
dengan agama Islam.
Pada awal tahun 1906, Kerajaan Kedah melantiknya bertugas sebagai
Kadi yang kemudiannya menjawat jawatan Kadi Besar dalam tahun 1910.
Bidang kerjayanya semakin bersinar apabila beliau dilantik selaku
Syeikhul Islam Kedah menggantikan Sheikh Muhammad Khayat pada tahun
1920.
Di samping tugas rasminya sebagai Ketua Pentadbir Undang-undang
dan agama Islam, beliau banyak mencurahkan segala ilmu pengetahuan
yang dipelajarinya di Mekah selama 20 tahun kepada orang ramai di
seluruh negeri. Selain daripada orang awam, para pelajarnya termasuklah
guru agama, imam dan Pegawai-pegawai Kerajaan. Beliau bukan sahaja
menyampaikan kuliah agama di Masjid Negeri, tetapi juga di madrasah
tempat kediamannya di Limbong Kapal, Alor Star secara bergilir-gilir
pada waktu malam. Beliau juga sering menyampaikan ceramah agama
di beberapa buah masjid di daerah lain seperti Bandar Baharu, Kulim
dan Yan. Beliau berulang-alik ke tempat tersebut pada mulanya dengan
kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar Austin bernombor K 51.
Haji Wan Sulaiman amat menentang keras segala ajaran sesat yang
menyeleweng dari segi iktikad dan ajaran agama Islam seperti amalan
khurafat dan bida'ah yang masih berkembang subur pada masa itu.
Amalan-amalan tersebut termasuklah memohon atau bernazar sesuatu
pada kuburan yang dianggap keramat, menjamu hantu jembalang dan
berubat secara menurun (melupakan diri). Satu-satunya amalan khurafat
yang pernah dihapuskan oleh Haji Wan Sulaiman di Bandar Alor Star
ialah amalan berkenduri nasi kunyit dan "mandi susu' di tangga
atau perkarangan Balai Nobat kerana menunaikan sesuatu niat atau
nazar. Beliau juga tidak bersetuju masyarakat Melayu mengadakan
kenduri bubur asyura sewaktu menyambut "Hari Asyura" pada
10 Muharram setiap tahun tanpa mengadakan pengkisahan sejarah atau
peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak "Adat Persandingan"
dalam upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang menurutnya mencemar
kesucian agama Islam kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam
sebenar.
Dalam bidang pendidikan, beliau berusaha memperbaiki kaedah pengajaran
al-Quran yang ketika itu, diasingkan daripada matapelajaran lain
di sekolah Melayu. Kaedah baru yang disusun oleh beliau telah diterima
oleh pihak kerajaan Kedah dan ini membolehkan kanak-kanak menamatkan
pengajian al-Quran dalam masa yang singkat. Beliau juga menubuhkan
sebuah sekolah agama moden pada tahun 1916 yang diberi nama "Madrasah
Al-Hamidiah" mengambil sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim
Shah. Sebagai sebuah sekolah agama Islam moden yang pertama di Kedah
dan terawal di Semenanjung, sudah pasti ianya mengikut sistem pendidikan
moden dari segala aspek seperti jadual waktu, buku teks, loceng,
sukatan pelajaran, peperiksaan untuk naik darjah, guru-guru yang
berpengkhususan dan pemberian sijil kepada pelajar yang lulus atau
berjaya menamatkan pengajian sehingga darjah lima.
Madrasah Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan
Sulaiman atau Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan
ramai pelajar yang berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi
pentadbir, kadi, guru dan pemimpin masyarakat. Antara tokoh-tokoh
terkenal termasuklah Dato' Sheikh Abdul Majid bin Mohd. Noor iaitu
bekas Pengetua Maktab Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal
Islam Kedah; Allahyarham Sheikh Saad bin Said, Pengasas Sekolah
Attarbiatul-lslamiah dan bekas Kadi Besar Kedah dan Allahyarham
Sheikh Salleh bin Shamsuddin, Guru Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman
bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya merancang untuk menubuhkan
sebuah sekolah menengah agama yang lebih tinggi pengajiannya. "Al-Ma'hadil
Mahmud" atau Maktab Mahmud yang terletak di Simpang Kuala,
Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu setelah setahun kematian
Haji Wan Sulaiman. Maktab ini mengambil sempena nama Tunku Mahmud.
Dalam bidang karang mengarang, Haji Wan Sulaiman sering digandingkan
dengan Tuan Hussain Kedah. Kedua mereka banyak menghasilkan karya-karya
agama dalam bentuk kitab dan risalah. Sebagai pengarang yang gigih
Haji Wan Sulaiman telah menghasilkan sebanyak 20 buah karya yang
mencakupi pelbagai bidang. Beliau juga menghasilkan karya-karya
bercorak pendidikan dalam bentuk puisi iaitu syair atau nazam. Hampir
semua judul karyanya yang lain itu terdapat dalam bahasa Arab. Haji
Wan Sulaiman banyak menyentuh tentang pentingnya mempelajari ilmu
Tarekat Naksyabandiyah yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu
dalam karyanya. Perkara ini banyak dibicarakan olehnya dalam beberapa
karyanya seperti Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud,
Nursataak, Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah
sebuah karyanya yang berbentuk syair atau nazam berjudul "Nazam
Qasidah Lagu lbyari" telah dihasilkan olehnya di atas keretapi
dalam tahun 1926 ketika turut mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok.
Isi puisi tersebut mengandungi huraian tentang "Aqaidul-Iman'
di mana amat sesuai diajar kepada kanak-kanak terutamanya di peringkat
asuhan atau pra sekolah melalui lagu atau nasyid.
Sebagai seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya
meramal akan berlakunya kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928
dan dapat menerangkan kejadian gerhana itu secara saintifik melalui
sebuah risalahnya berjudul "Risalah Nasihat Fasal Gerhana".
Sehubungan dengan ini, Haji Wan Sulaiman pemah mengeluarkan siaran
pekeliling untuk membantu para petani dalam hal mengerjakan sawah
di mana mengandungi jadual musim-musim piama bendang di negeri Kedah.
Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong
Kapal pada 28 Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia
61 tahun. Bagi mengenangkan sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat
bernilai itu, Kerajaan Kedah telah memberikan sanjungan dan penghormatan
yang tinggi kepadanya dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan
di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar
Alor Star telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan
Wan Sulaiman Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.
|
|