
Dato' Syeikh Abdul Halim telah dipilih
sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1983.
|
 |
Dato' Syeikh Abdul Halim dilahirkan pada 31 Oktober 1910 di Tanjung
Pauh, Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah
Jitra dan kemudiannya mendapat ilmu keagamaan bermula secara pondok
di Madrasah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, Limbong Kapal, Alor
Star, Kedah.
Pada tahun 1927, beliau menyambung pengajiannya di Universiti
Al-Azhar sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda. Beliau pulang
ke tanahair pada tahun 1937 atas titah Pemangku Raja Kedah iaitu
YTM Tengku Mahmud sebagai memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan
iaitu menjadi peneraju Maktab Mahmud sebagai Pengetua pertamanya
pada 7 September 1937 hingga 30 Jun 1954. Kemudian, beliau menjawat
jawatan Pendaftar Sekolah-sekolah Ugama Negeri Kedah pada 1 Julai
1954 hingga 12 Disember 1966. Pada 14 Disember 1966, beliau dilantik
sebagai Yang Di Pertua Jabatan Ugama/ Majlis Hal Ehwal Negeri Kedah
hingga 31 November 1969 dan bersara pada 1 Disember 1969. Namun
begitu, beliau menyambung semula tugas tersebut dari 2 Disember
1969 hingga 1 Disember 1970 dan terus mengambil tugas itu dari 2
Februari 1970 hingga 2 Mac 1971. Akhirnya, beliau terus bersara
dari perkhidmatan Kerajaan setelah berkhidmat lebih kurang selama
33 tahun.
Semasa beliau menjadi Yang DiPertua, beberapa rancangan telah
diperkenalkan iaitu mengadakan kelas tadika di tiap-tiap buah masjid
dan menggalakkan penuntut-penuntut sekolah menengah terlibat dalam
syarahan agama serta menyentuh ekonomi Islam seperti Ibadat Wakaf.
Dato' Syeikh Abdul Halim pernah terlibat dalam kegiatan menentang
Malayan Union. Beliau merupakan antara Penaja Kesatuan Melayu Kedah
yang diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Hussein Cik Dol dari Guar
Cempedak dan turut menyumbangkan tenaga dan fikiran menubuhkan Persatuan
Ulama Kedah.
Sebagai memperingati dan menghargai segala jasa dan sumbangan
yang dicurahkan, beliau dianugerahi Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K.)
dan Dato' Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.). Selain itu, beliau juga
dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1983. Beliau
pulang ke Rahmatullah pada 7 Jun 1997 kerana serangan penyakit jantung.
|