| |

Haji Abdul Ghani ada mengarang tiga
buah risalah, tetapi penulis hanya dapat mengesan sebuah sahaja
iaitu "Qurratul 'Ain" berkaitan dengan "Sifat
Dua Puluh" dan "Sifat Nabi Yang Empat".
|
 |
Haji Abdul Ghani lahir pada tahun 1888 di Kubang Siam, Kedah. Namun,
keluarganya berasal dari Telok Manak, Patani. Haji Abdul Ghani mengaji
al-Quran dengan ayah saudaranya Haji Adam di Kubang Siam sehingga
khatam beberapa kali kemudian meneruskan pengajiannya untuk melenditkan
bacaannya kepada seorang hafiz di Patani bernama Haji Ahmad Jaka.
Kemudian, beliau balik ke Kedah dan belajar agama dari bapanya,
Haji Awang. Dalam pada itu, beliau berulang-alik ke pondok Tuan
Guru Haji Muhammad Saad di Kubang Bongor lebih kurang dua batu dari
Kubang Siam.
Setelah dewasa, beliau dihantar pula ke Patani untuk melanjutkan
pelajaran agamanya dengan Tok Ayah Bermin, seorang ulama yang mempunyai
pondok yang besar di Bermin, Patani. Selepas itu, Haji Abdul Ghani
menyambung pula pelajaran pondoknya di Terengganu dengan Tok Sayid.
Setelah berada setahun di Terengganu, beliau balik ke Kedah sebelum
berangkat ke Mekah.
Di Mekah, beliau tinggal dengan bapa saudaranya bernama Haji Abdul
Mutalib. Di samping itu, beliau belajar memasak roti Arab dari Hajah
Rahmah yang menjaga makan minum mereka di Mekah. Setiap pagi sebelum
subuh, Haji Abdul Ghani akan mengisar sambau membuat tepung dan
membakar roti. Setelah masak, roti itu dijunjung atas kepalanya
dan dijual di lorong-lorong bandar Mekah.
Selepas subuh Haji Abdul Ghani mempelajari agama dengan beberapa
orang guru seperti Syeikh Daud bin Mustaffa al-Fatani. Haji Abdullah
Senggora al-Hafiz (bidang pengajian al-Quran), Haji Yahya Reman
(pakar ilmu Fiqah), Tuan Omar Sembawa dan Tuan Ahmad Khatib Syarbani.
Haji Abdul Ghani pulang ke tanahair pada tahun 1915 dan tinggal
di Kubang Siam dengan keluarganya. Tidak berapa lama di Kubang Siam,
Haji Abdul Ghani berangkat ke Pondok Tuan Hussain Kedah di Bagan
Ulu, Kuala Merbok. Tuan Hussain meminta Haji Abdul Ghani membantu
beliau mengajar lebih 400 orang murid di pondoknya. Beliau kemudiannya
dikahwinkan dengan anak gadis tunggal Tuan Hussain bernama Cik Meriam.
Selama lapan tahun Tuan Hussain membuka pondoknya, ramai orang
alim yang menjadi rakan karib Haji Abdul Ghani. Di antaranya ialah
Tuan Haji Yaakob Legor, Dato' Haji Abdul Rahman Merbok, Haji Ismail
bin Sulaiman Kelantan, Haji Khalid Kuala Kangsar, Haji Zabidi Changkat
Nering, Perak, Haji Nawawi Telok Intan, Haji Muhamad Saman Kati,
Kuala Kangsar, Haji Ghazali Arshad, Bagan Dato', Perak dan Haji
Muhammad Yusuf, Bekas Mufti Selangor. Selepas lapan tahun di Bagan
Ulu, beliau berpindah pula mengikut Tuan Hussain ke pondok baru
di Kampung Selengkoh, sejauh 30 batu ke utara Bagan Ulu.
Sekitar tahun 1922, Haji Abdul Ghani berangkat pergi ke Mekah menunaikan
fardu haji sekali lagi dan menemui guru-gurunya di sana. Beliau
sampai ke Mekah ketika hampir-hampir tercetusnya peperangan antara
Malik Saud dengan pemerintah Mekah Syarif Hussain. Manakala Tuan
Hussain, ayah mertuanya sampai di Mekah ketika peperangan sudah
pun tercetus. Bagaimanapun Tuan Hussain yang mengetuai rombongan
seramai tujuh orang sekeluarga ini selamat pulang ke tanahair. Tuan
Hussain membawa tiga orang anak Haji Abdul Ghani iaitu Haji Muhammad
Said, Haji Masud dan Haji Abdullah. Dibawanya juga isteri Haji Abdul
Ghani iaitu Hajah Meriam di samping mereka suami isteri.
Apabila Tuan Hussain pulang ke Malaysia, Haji Abdul Ghani tidak
ikut serta dan hanya pulang pada tahun 1924 ketika keluarga Saudi
menyerang dan menduduki Bandar Taif. Haji Abdul Ghani tidak sempat
melakukan ziarah ke Madinah kerana keadaan yang tidak aman. Beliau
menumpang sebuah kapal India meninggalkan Jeddah menuju ke Pulau
Pinang tetapi telah terkandas di Bombay selama tiga bulan. Haji
Abdul Ghani bersama penumpang-penumpang lain ditempatkan di sebuah
rumah tumpangan bernama "Musafir Khanah". Beliau menawarkan
diri menjadi seorang tukang masak di situ. Haji Kassim, pengurus
rumah wakaf tersebut membekalkan dua guni beras setiap hari untuk
menjamu fakir miskin dan orang-orang yang terkandas.
Apabila Haji Abdul Ghani sampai di Pulau Pinang, beliau terus pulang
ke kampungnya di Kubang Siam sebelum melihat anak isterinya di Selengkoh.
Haji Abdul Ghani telah memperolehi sekeping tanah seluas sembilan
relong di Tandop, mukim Pengkalan Kundur, di selatan Alor Star dan
membuka pondoknya dalam tahun 1925. Terdapat 30 buah pondok kelamin
dan lapan buah pondok bujang di Tandop, terletak di belakang masjid
kampung tersebut. Seperti pondok-pondok lain, pondok Haji Abdul
Ghani mengajar pelbagai mata pelajaran umum seperti Nahu, Saraf,
Fikah, Tauhid, Tafsir, Hadis dan Usuluddin. Pelajaran membaca al-Quran
diajar oleh adiknya Haji Muhammad Isa. Di samping itu, Haji Abdul
Ghani juga mengajar kitab-kitab jawi kepada orang-orang kampung.
Kepala tala'ah ialah Haji Hussain bin Haji lbrahim yang kemudiannya
menjadi imam di Masjid Tandop.
Haji Abdul Ghani yang dikenali oleh orang-orang Tandop sebagai
"Tok Syeikh" hanya mengendalikan pondoknya dalam waktu
yang singkat. Ini kerana pada tahun 1927, beliau menerima jawatan
Kadi dan bertugas di daerah Kulim. Tuan Hussain tidak merestui Haji
Abdul Ghani menjadi Kadi dan bertugas di bawah Haji Wan Sulaiman
bin Wan Sidek (Syeikh-ul Islam pada tahun 1920 hingga 1935) kerana
dia tidak yakin seorang kadi boleh menyemarakkan agama seperti yang
boleh dibuat oleh seorang tok guru pondok.
Tidak lama kemudian, Haji Abdul Ghani dilantik memegang jawatan
Penolong Kadi Besar Negeri sehingga tahun 1943 dalam zaman pemerintahan
Jepun. Bagaimanapun Haji Abdul Ghani diminta menyambungkan perkhidmatannya
semula sebagai Penolong Kadi Besar selepas bersara. Perlu dijelaskan
sejak 1936, Kedah tidak lagi menggunakan jawatan Syeikhul Islam
di dalam pentadbiran Islamnya tetapi diganti dengan Pengerusi Jawatankuasa
Hal Ehwal Agama Islam. Pengerusinya ialah Syeikh Ismail bin Haji
Salleh, abang ipar Haji Abdul Ghani. Pada 24 Januari 1951, Haji
Abdul Ghani telah terjatuh kerana pitam dan terus menghembuskan
nafasnya yang terakhir.
Sekurang-kurangnya ada tiga buah risalah karangan Haji Abdul Ghani
tetapi penulis hanya dapat mengesan sebuah sahaja yang bernama "Qurratul
'Ain" pada tahun 1928 iaitu setahun selepas membuka pondoknya
di Tandop. Risalah itu membicarakan Tauhid berkaitan dengan "Sifat
Dua Puluh" dan "Sifat Nabi Yang Empat". Sungguhpun
beliau dilahirkan di Kedah tetapi beliau berbangga dengan tempat
tumpah darah datuk neneknya apabila namanya ditulis sebagai "Abdul
Ghani Hamzah al-Saiburi". Saiburi ialah sebuah wilayah di Patani
di mana terletaknya Telok Manak. 
|
|