|
Haji Ahmad bin Haji Awang atau lebih dikenali sebagai Haji Ahmad
Rabat telah dilahirkan pada tahun 1885 di Kampung Gajah Mati, Pendang,
Kedah. Beliau mendapat didikan awal iaitu ilmu al-Quran daripada
bapanya sendiri yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Pada tahun
1902, beliau berangkat ke Mekah bersama-sama kedua ibubapanya untuk
menunaikan haji serta mendalami pengajian agama di sana selama 8
tahun. Antara ilmu-ilmu yang dipelajarinya ialah ilmu Usuluddin,
Fiqah, Tafsir, Hadis, Tasawuf dan Bahasa Arab. Disebabkan kebijaksanaan
dan kepintarannya, beliau telah dihantar ke suatu tempat yang bernama
Rabat untuk melanjutkan pelajaran. Dari sinilah beliau mendapat
gelaran Haji Ahmad Rabat.
Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1909 dan berniat untuk menyebarkan
ilmu yang dipelajarinya dengan membuka sebuah pondok. Beliau bersama-sama
beberapa orang ulama yang sealiran telah mendirikan sebuah pondok
iaitu Pondok Chegar di mana penghuni yang pertama sekali mendiami
pondoknya adalah seramai hampir 225 orang. Beliau juga telah mewajibkan
penduduk di Mukim Padang Pusing untuk menghantar anak-anak lelaki
mereka yang telah akil baligh untuk belajar agama di pondoknya.
Tidak lama kemudian, Tunku Abdul Rahman telah menghadiahkan sebidang
tanah untuk beliau mendirikan sekolah di mana segala pembiayaan
dan peralatan diberikan secara percuma. Sekolah baru itu didaftarkan
pada tahun 1940 dan diberi nama Sekolah Arab Ahmadiah Alwathaniah,
Kampung Chegar.
Antara guru-guru yang dipilih bagi membantunya mengajar di sekolah
tersebut ialah Haji Manan, Lebai Harun dan Haji Ahmad. Ketiga-tiga
guru ini merupakan bekas anak murid beliau. Semasa penubuhan sekolah
tersebut, beliau tidak lagi menjadi tenaga pengajar sebaliknya beliau
hanya menjadi penasihat dan cuma mengambil alih tugas mengajar sekiranya
terdapat masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh guru-guru tersebut.
Beliau juga bertindak sebagai nazir yang akan keluar melawat surau
atau madrasah di kampung-kampung dalam Mukim Padang Pusing. Pada
tahun 1949, beliau telah merangka satu undang-undang yang mengandungi
20 fasal bertujuan untuk memelihara keselamatan dan perpaduan masyarakat
mengikut lunas-lunas Islam.
Haji Ahmad Rabat juga berkebolehan dalam bidang ilmu falakiah dan
boleh menamakan kejadian yang berkaitan dengan bulan, bintang dan
sebagainya. Beliau juga turut membantu dalam menentukan permulaan
tarikh puasa serta Hari Raya. Beliau juga telah membuat cadangan
untuk membina sebatang jalan bagi menghubungkan Kampung Titi Akar
hingga ke Pendang memandangkan belum terdapat jalan perhubungan
yang sesuai pada ketika itu. Hasil kerjasama semua pihak, terbinalah
sebatang jalan raya yang dikenali sebagai Jalan Sungai Tiang di
mana pembinaan semula jalan ini telah diambil alih oleh kerajaan
pada tahun 1954. Pembinaan jalan Sungai Tiang ini telah membawa
kemajuan yang pesat di sepanjang jalan tersebut. Antaranya, muncul
beberapa buah sekolah dan masjid seperti Sekolah Kebangsaan Padang
Pusing, Sekolah Kebangsaan Kampung Chegar, Sekolah Kebangsaan Pendang,
Masjid Sawa dan Masjid Chegar.
Haji Ahmad Rabat meninggal dunia pada tahun 1962 ketika berumur
74 tahun. Pentadbiran pondok Chegar telah diambil alih oleh anaknya
Haji Sulaiman. Sepeninggalannya, sekolah pondok beliau tidak lagi
menjadi perhatian dan tumpuan masyarakat memandangkan pencapaian
akademik sekolah-sekolah moden lebih diutamakan.
|