|
Walaupun banyak teori dan pendapat yang berbeza telah diutarakan,
namun sehingga kini belum ada kata pemutus bila tarikh sebenarnya
agama Islam mula bertapak di Negeri Kedah. Teori mengenai sejarah
bermulanya di Kedah seringkali dikaitkan dengan kenyataan sejarawan
R.O Winstedt dalam tulisannya sebelum perang Dunia Kedua apabila
ia membicarakan sejarah Kedah secara keseluruhannya.
Beliau sebenarnya terpengaruh dengan pendapat yang pernah disarankan
oleh seorang penulis Acheh yang mendakwa Kedah menerima Islam pada
tahun 1474. Kerana akur dengan tarikh itulah maka Winstedt memetik
sebuah episod dari buku 'Sejarah Melayu' karya Tun Seri Lanang yang
melaporkan betapa seorang Raja Kedah (tanpa menyebutkan nama Raja
itu) melakukan kunjungan hormat ke Istana Melaka pada zaman Sultan
Mahmud Shah (1488-1511).
Pada bahagian akhir iaitu ketika Raja Kedah bermohon untuk kembali
ke Kedah, Tun Seri Lanang selanjutnya menulis, " Maka oleh
Sultan Mahmud Shah, Raja Kedah dianugerahi persalinan dan dinobatkan
sekali". Jika diusul kembali sejarah Kesultanan Kedah, nama
Raja Kedah yang dimaksudkan oleh penulis 'Sejarah Melayu' itu ialah
Sultan Mahmud Shah II (1506-1546), Sultan Kedah yang kesepuluh yang
berkerajaan di Kota Siputeh.
Pada hemat Winstedt, Raja Kedah itu baru saja memeluk agama Islam.
Kerana itulah pendapatnya masih dipertikai dan agak berat untuk
diterima tentang kesahihannya. Malangnya pendapatnya masih lagi
dirujuk bukan saja oleh para sarjana Barat yang lain tetapi juga
oleh penulis-penulis tempatan.
Sejak abad kesembilan Masihi lagi dikatakan sudah ramai para pedagang
Islam dari Timur Tengah (Arab dan Parsi) menjalankan perniagaan
mereka di pelabuhan Kedah. Ramai pula para pengembara, pelayar,
ahli geografi dan pendakwah Islam berkunjung ke rantau ini dan mencatatkan
ekonomi Kedah. Dikalangan mereka nama Kedah dikenali sebagai 'Kilah'
atau 'Kalah'. Antara tokoh Islam itu termasuklah Sulaiman (851 Masihi),
Ibni Khurdadhbeh (844-848 Masihi), Ya'aqubi (857-880), Abu Zaid
(916 Masihi), Abu Dhulaf (940 Masihi) dan Mas'udi (943 Masihi).
Ibni Khurdadhbeh di dalam kitabnya 'Al-Masalik' Wal-Mamalik' telah
mencatatkan tentang negeri 'Kalah', begitu juga Abu Zaid Al-Sirafi,
penyunting 'Kitab Akhbar Al-Sin Wal-Hind' menyebut 'Kalah' (Kedah)
pada suatu ketika itu berada di bawah pemerintahan Raja Zabej (Sriwijaya).
Dalam catatan pengembara-pengembara Islam dari Timur Tengah itu ada
menyebut bahawa Kedah waktu itu kaya dengan sumber-sumber hasil bumi
terutamanya bijih timah. Malah menurut S.Q. Fatimi, Kedah termasyhur
dengan eksport senjata pedangnya yang dikenali di kalangan orang-orang
Arab sebagai 'Al-Sayf Al-Hindi'.
|