Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Pertapakan dan Penyebaran Islam di Negeri Kedah

 
 

Mengikut keterangan Al Mas'udi, pada tahun 877 ada kira-kira 120,000 hingga 200,000 orang pedagang Islam dari Arab dan Parsi yang menetap di Khanfu (Canton yang kini dinamakan Guangzhou) telah berhijrah ke Alam Melayu termasuk Kedah dan Palembang kerana masa itu Khanfu dalam keadaan kacau bilau dan tidak aman bagi pedagang-pedagang Islam disebabkan perebutan kuasa Dinasti China. Ini mengakibatkan berpindahnya pusat perdagangan mereka dari Canton ke Kedah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Penghijrahan beramai-ramai itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan di tempat-tempat yang dilalui oleh para pedagang dan pendakwah Islam. Sungguhpun belum banyak diketahui, tetapi sedikit sebanyak pengajaran Islam telah disebarkan ke tempat-tempat itu. Kedah juga turut menerima kesan pengaruh agama baru ini. Kerana itu tidak dapat dinafikan lagi, pengaruh Islam sebenarnya sudah tersebar di Kedah lebih awal lagi dari tarikh yang disebut oleh Winstedt seperti yang dihuraikan di awal rencana ini.

Beberapa artifak yang ditemui sebagai bahan bukti menunjukkan sudah bertapaknya pengaruh Islam di Kedah lebih awal dari tarikh yang dijangkakan. Antara lain ialah penemuan matawang perak dari Dinasti Abbasiyah zaman Khalifah Al- Mutawakkil (847-861) di samping inskripsi, seramik, tembikar dari jenis celadon berwarna hijau dan lain-lain artifak dari Timur Tengah. Kebanyakannya ditemui hasil daripada kerja-kerja carigali yang dilakukan oleh arkeologis sejak sebelum perang Dunia Kedua terutamanya di kawasan Lembah Bujang.

Salah satu inskripsi yang menarik ialah merupakan sekeping batu yang ditemui di persekitaran dataran Gunung Jerai. Setelah sekian lama tersimpan di Muzium Taiping, kini ia dipindahkan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Inskripsi ini mencatatkan nama seorang tokoh dan tarikh iaitu, "Ibni Sirdhan 21 Hijrah" (829 Masihi) dalam aksara jawi. Menurut Encik Kamaruddin Zakaria yang pernah menjadi Pengarah di Muzium tersebut, artifak ini menunjukkan adanya tokoh-tokoh Islam dari Timur Tengah atau Parsi seperti Ibni Sirdhan untuk mengembara atas tujuan mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Sepasang batu nisan lagi yang mencatatkan aksara Arab termasuk tarikhnya iaitu "Rabiulawal 291 Hijrah" (904 Masihi) yang ditemui di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran Pekan Langgar kira-kira sembilan kilometer dari Alor Star. Penemuan artifak ini menambahkan lagi bukti bahawa pengaruh Islam sudah bertapak lebih awal di kawasan tersebut.

Pada batu nisan tersebut juga terukir nama "Syeikh Abdul Qadir Ibni Husin Syah Alirah". Kemungkinan besar tokoh ini adalah seorang ulama dan pendakwah dari Timur Tengah yang bertanggungjawab mengembangkan syiar Islam dan sistem pendidikan "Langgar" yang berasal dari Parsi. Seterusnya sistem itu berkembang kepada sistem pengajian Pondok. Agak menarik juga diperkatakan di sini bahawa tempat yang bernama "Langgar" itu bukan sahaja terkenal kerana wujudnya Makam DiRaja yang masih digunakan hingga sekarang, tetapi juga terdapat di persekitaran pekan kecil itu kompleks pengajian agama yang berasaskan kepada sistem Pondok.

Perhubungan Kedah dan Pasai atau Acheh juga telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan kemasukan Islam di Kedah seperti juga halnya dengan pendapat yang menyatakan bahawa meluasnya Islam ke Tanah Melayu adalah melalui Pasai. Di dalam "Hikayat Raja-raja Pasai" menyebutkan adanya hubungan di antara keturunan Merah Silu (Sultan Malikus-Saleh) dengan seorang Ketua Daerah bernama Megat Kedah. Pengaruh dan hubungan erat kedua Kerajaan Islam ini tertera pada sepasang batu nisan yang ditemui di Minye Tujuh, Acheh bertarikh 781 Hijrah (1380 Masihi). Pada nisan itu terpahat dua bait syair, sebaris darinya berbunyi "Mpu hak Kedah Pasei Ma" bermaksud Raja Islam Acheh yang mangkat itu mempunyai hak kekuasaan ke atas Kedah dan juga Pasai.

Dalam "Hikayat Merong Mahawangsa", satu-satunya teks historiografi yang terkenal di Kedah juga tidak ketinggalan mencatatkan peristiwa yang menggambarkan betapa hubungan baik telah terjalin di antara kedua negeri itu. Dikisahkan bahawa setelah Kedah menerima Islam, Sultan Acheh mengirim dua buah kitab karya ulama Acheh, Syeikh Nuruddin Al-Raniri iaitu 'Siratul-Mustaqim' dan "Babun-Nikah' untuk dikaji dan dipelajari.

Telah diperkatakan tadi bahawa pengaruh Islam sudahpun bertapak di Kedah sejak awal abad kesembilan Masihi melalui pendakwah-pendakwah Islam (Arab-Parsi). Selanjutnya wujudlah beberapa perkampungan kecil Islam di kawasan-kawasan tertentu seperti yang dibuktikan melalui penemuan inskripsi Ibni Sirdhan (829 Masihi) dan inskripsi Syeikh Abdul Qadir Alirah (904 Masihi). Ini belum termasuk beberapa nisan purba yang masih menjadi misteri kerana belum ada kajian dan kesimpulan lengkap mengenainya.

Sepasang daripada nisan itu terletak di dalam kawasan letak kereta di Jeti Kuala Kedah, Alor Star. Walaupun tidak terdapat sebarang catatan padanya, tetapi masyarakat tempatan telah menyebutnya sebagai 'Kubur Tok Pasai' sejak ratusan tahun dahulu lagi. Sebuah pusara lagi terletak di Kampung Seberang Tok Soh, Pinang Tunggal di dalam Daerah Kuala Muda di Kedah Tengah yang rata-ratanya penduduk di situ menamakannya sebagai 'Kubur Raja Bersiung'. Batu nisannya mirip kepada 'Nisal Minye Tujuh' di Acheh.

Batu nisan tersebut tidak mencatatkan sebarang nama orang orang yang meninggal tetapi yang menariknya ialah terdapat ukiran ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Fath (kemenangan) dan beberapa ayat lainnya. Apakah pusara 'Tok Pasai' dan pusara ini merupakan pusara seorang tokoh pahlawan atau ulama dari kalangan pendakwah, ianya masih menjadi tanda yang memerlukan kajian selanjutnya.

Dari huraian di atas, persoalannya sekarang bilakah wujudnya penerimaan Islam secara beramai-ramai atau menyeluruh iaitu bermulanya Kesultanan Kedah Darul Aman. Sehingga kini, terdapat dua sumber bertulis yang dapat menjuruskan kepada persoalan ini iaitu 'Hikayat Merong Mahawangsa' dan 'Al- Tarikh Salasilah Negeri Kedah '.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah