|
"Hikayat Merong Mahawangsa" walaupun tidak dapat dikesan
nama penulisnya, tetapi dapat di kesan zaman ianya dikarang iaitu
pada zaman pemerintahan Sultan Mu'azzam Shah, Sultan Kedah yang
kedua (1179-1201) seperti ditegaskan oleh penulisnya pada bahagian
mukadimah hikayat itu. Sementara buku 'Al- Tarikh Salasilah'
adalah karya Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad pada
tahun 1928. Beliau adalah pembesar Istana Kedah dan pernah bertugas
sebagai 'Kerani Rahsia' kepada Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim
Shah (1882-1943). Jika dirujuk kepada salasilah keluarganya, ternyata
beliau adalah berketurunan daripada Syeikh Abdullah Yamani (Arab
Selatan), ulamak yang mengislamkan Raja Kedah. Kerana itu, kebanyakan
fakta di dalam buku ini dapat diyakini dan dapat dipertanggungjawabkan
tentang kebenarannya.
Walaupun kedua teks ini berbeza dari segi nama Raja-raja Kedah
sebelum Islam, namun persamaannya tetap ada dari segi gelaran Islam
dan aspek-aspek sejarah lainnya. Kedua-dua teks tersebut mencatatkan
gelaran Islam kepada Raja Kedah yang pertama memeluk Islam ialah
" Sultan Mudzaffar Shah " dan ulama atau pendakwah dari
Tanah Arab yang bertanggungjawab mengislamkannya ialah " Syeikh
Abdullah Yamani ". 'Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah' mempunyai
kelebihan dan keistimewaan dari segi fakta kerana ia juga mencatatkan
kedatangan Islam ke Kedah dan seluruh rakyat Kedah memeluk Islam
berlaku dalam tahun 531 Hijrah bersamaan 1136 Masihi.
Satu hal yang perlu ditegaskan di sini ialah betapa akrabnya perhubungan
antara pemerintah dengan para ulamak sejak peringkat awal lagi.
Sultan yang disifatkan sebagai " Zillallahufil-'alam "
atau bayangan tuhan di dunia ini seringkali memerlukan nasihat dari
para ulamanya dalam menangani masalah dan urusan yang berkaitan
dengan pentadbiran negeri di samping meluaskan lagi syiar Islam
di negeri ini. Misalnya peranan Syeikh Abdullah, bukan sahaja bertindak
sebagai pendakwah, malah juga sebagai penasihat utama kepada Sultan
Mudzaffar Shah (1136-1179) terutama hal-hal yang berkaitan dengan
pembinaan masjid dan amalan membunyikan nobat pada setiap kali masuk
waktu solat.
Apabila berita Acheh hendak menyerang Kedah telah tiba ke pengetahuan
Sultan Sulaiman Shah pada tahun 1619, baginda telah mengerahkan
angkatan perangnya agar bersedia untuk menghadapi ancaman Acheh
itu. Bagaimanapun baginda akhirnya bersetuju dengan nasihat Muftinya,
Syarif Aznan (Dato' Seraja Imam) yang berasal dari Hejaz. Menurut
Syarif Aznan:
" Adapun syarat melawan musuh itu ada seratus
syarat. Yang seratus itu ialah melalui ikhtiar dan harta terlebih
dahulu agar tidak meletus peperangan. Tetapi jika tidak dapat dielakkan
barulah digunakan syarat yang satu lagi iaitu berperang hingga ke
titisan darah yang terakhir"
Para ulama juga bertanggungjawab menghasilkan karya-karya keagamaan
dan perundangan. Misalnya Syeikh Abdullah sesudah mengislamkan Kedah,
menurut Prof. Madya Dr. Mahayudin Haji Yahya dari Jabatan Sejarah
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ulama tersebut berpindah ke Acheh pada tahun 1177. Di sana
beliau dikenali sebagai "Abdullah Arif" yang menghasilkan
Kitab 'Bahrul-Lahut' dalam bahasa Arab yang bercorak tasawuf. Kitab
itu kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Naskah asalnya masih
ada tersimpan di Perpustakaan Tanah Abee (Tanah Abu), Acheh sementara
terjemahan Melayunya ditemui di Kampung Pernu, Melaka.
Zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1651), satu lagi sejarah
baru dalam bidang penulisan telah tercipta. Bagindalah pemerintah
Kedah pertama yang sedar betapa pentingnya menerbitkan kitab 'Undang-undang
atau Hukum Kanun Kedah'. Pada bahagian awal teks undang-undang ini
diperbuat dari zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah semayam di
Naga, muafakat dengan sekalian menteri, pegawai dan pendita membicarakan
dia supaya tetap adat ini janganlah berubah-ubah.
Selanjutnya pada zaman Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661-1687)
sewaktu bersemayam di Kota Palas, pada tahun dal, bulan Rabiulawal
1087 Hijrah (1667 Masihi) sebuah lagi kitab perundangan berjudul
'Tembera Dato' Seri Paduka Tuan' telah disusun atas perintah baginda,
diketuai oleh Syeikh Alauddin, salah sebuah karya Ilmu Tauhid terawal
yang membicarakan "Sifat Dua Puluh" telah dihasilkan di
Kota Siputih pada bulan Rabiulawal 1032 Hijrah (Januari 1622) oleh
Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah).
Kesimpulan ringkas yang dapat dikatakan di sini ialah bertapaknya
pengaruh Islam di Kedah seawal-awalnya berlaku pada abad ke sembilan
Masihi dan secara rasmi seluruh Kedah menerima Islam ialah pada
tahun 1136 Masihi. Seperti juga dengan kesan-kesan awal yang ditemui
di Pahang dan Terengganu, maka dapat dikatakan bahawa Kedah juga
mendahului Melaka dalam soal masuknya pengaruh Islam di Semenanjung
Tanah Melayu. Kita amat bersetuju dengan pendapat yang menyatakan
bahawa, "Melaka bukanlah negeri yang pertama menerima Islam,
tetapi ia merupakan pusat penyebaran dan pengembangan Islam yang
utama di Alam Melayu".
|