|
Berpandukan beberapa sumber bertulis dan penemuan hasil cari pihak
arkeologi di Kedah pada akhir-akhir ini, telah mendedahkan kepada
umum bahawa dakyah islam telah pun tiba di negeri ini sejak abad
kesepuluh Masihi lagi. Dan sekaligus menolak dakwaan pendapat-pendapat
dan teori terdahulu bahawa islam bertapak di kedah pada separuh
akhir kedua abad ke lima belas atau tahun 1474 (R.O.Winstedt, JMBRAS,
1920:hal.30-31).
Antara artifak yang ditemui yang mengarahkan kita kepada tarikh
terawal adanya pengaruh islam di Kedah ialah catatan aksara arab
pada sekeping batu, ditemui di persekitaran Gunung Jerai sebelum
perang dahulu. Inskripsi ini mencatatkan nama tokoh dan tarikh iaitu
"Ibni Sirdhan 214 Hijrah"(829/830 Masihi) yang menurut
pengarah arkeologi, Encik Kamaruddin Zakaria, artifak ini menunjukkan
adanya tokoh-tokoh islam dari Timur Tengah-Arab/Parsi seperti Ibnu
Sirdhan yang mengembara untuk tujuan mengembangkan syiar islam di
negeri ini.
Berdasarkan sepasang nisan purba yang ditemui di sebuah perkuburan
Islam di Kampung Tanjung Inggeris, Langgar kira-kira 8 kilometer
dari Alor Star, jelas terpahat disitu nama "Sheikh Abdul Qadir
Ibni Hussain Syah Alirah" dan tarikh meninggalnya "3 Rabiulawal
291 Hijrah". Dengan ini membuktikan dakwah islam sudah diperkenalkan
kepada masyarakat di pendalaman kedah beberapa tahun sebelum meninggalnya
tokoh Sheikh Abdul Qadir yang dipercayai pendakwah terawal dari
Timur Tengah yang tiba di situ. Merujuk kepada tarikh 3 Rabiulawal
291 Hijrah yang bersamaan dengan hari Selasa, 24 Januari 904, menunjukkan
agama islam telah bertapak di Kedah 65 tahun selepas kemunculannya
di Acheh. Hakikat ini berdasarkan sebuah naskah tua tulisan tangan
berjudul "Idhharul-Haq" karya Ishak Makarani Al-Pasi yang
menyebut, "pada hari Selasa, 1 Muharram 225 Hijrah, Perlak
(Acheh Tua) telah menerima islam (Prof. A. Hasyimi, "50 Tahun
Acheh Membangun", 1995: hal.3).
Hal ini tidaklah aneh jika dipandang dari sudut geografi tentang
persamaan kedudukan Acheh di utara Sumatera dan Kedah di utara Semenanjung,
kedua-duanya berada di pintu laluan masuk ke selat Melaka yang sering
disinggahi oleh kapal-kapal dagang atau pelaut dari India dan Timur
Tengah semenjak abad Kesembilan Masihi lagi. Bagaimanapun seluruh
kedah secara rasmi menerima islam bermula pada 531 Hijrah (1136
Masihi) apabila rajanya "Seri Paduka Maharaja Derbar Raja"
di islamkan oleh Syeikh Abdullah dari Yaman, di Kota Bukit Meriam
dengan memakai gelaran islam sebagai "Sultan Mudzaffar Shah"
(Muhammad Hasan Arshad, "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah",
1928: hal.29-30).
|