| |
Sejak dari awal lagi, melalui 8 buah pusat pentadbiran yang
sentiasa berubah-ubah sepanjang 867 tahun di bawah pemerintahan
28 orang sultan, syiar islam terus berkembang dengan meluasnya di
Kedah melalui para ulama yang bukan sahaja sebagai pendakwah malah
ada diantara mereka bertugas selaku penasihat kepada pemerintah.
Sebagaimana negeri-negeri Melayu lain di nusantara ini, pada peringkat
awal kemunculan golongan ulama di Kedah adalah berasal dari luar
terutamanya Yaman dan Hejaz di Arab Selatan. Pada abad kesembilan
belas ramai diantara mereka yang berasal dari negeri-negeri Melayu
lain berhijrah dan tinggal menetap di Kedah. Dari Patani misalnya
terdapat ulama Tuan Sheikh Jarum (Tuan Haji Wan Idris bin Wan Jamal)
Derga, Tuan Haji Mat Noor Abu Bakar, Langgar, Haji Ismail Che Dol
dan Pak Chu Him, Gajah Mati Pendang dan Haji Yaakob Abdul Rahman,
Kampung Kemelong, Sik. Ada yang berasal dari Kalimantan dari keturunan
ulama besar, Syeikh Muhammad Arshad Al-Banjari seperti Tuan Muhammad
Taib Al-Mas'udi Al-Banjari, Titi Gajah dan cucunya Tuan Hussain
Kedah, sementara Teuku Badi'ul-Hafiz dan Teuku Arsyad atau Teuku
Di Balai (Bale) ulama dari Acheh pula menetap di Yan.
Golongan ulama tempatan rata-ratanya mendapat pendidikan awal di
negeri sendiri atau di Kelantan, Terengganu dan Patani sama ada
sebelum atau sesudah menuntut di Mekah atau Madinah atau di pusat-pusat
pengajian tinggi di India, Pakistan, Iraq dan Mesir. Kemunculan
ulama silam sering dikaitkan dengan institusi pengajian dan perkampungan
pondok yang diasaskan atau diterokai mereka yang sejarah pertumbuhannya
bermula semenjak pertengahan abad ke sembilan belas lagi dan iannya
berterusan sehinggalah menjelangnya kemerdekaan negara. Prof. Ishak
Mohd. Rejab memberikan sebab-sebab ramainya kelahiran ulama di Kedah
yang antara lain menurutnya disebabkan keadaaan penduduknya terdiri
daripada para pesawah yang menyumbangkan kepada pendidikan agama
di negeri ini dan seterusnya melahirkan cerdik pandai agama daripada
anak tempatan. Jadi kesinambungan usia pondok yang diwujudkan oleh
para ulama selama beberapa tahun itu terus berkembang subur disebabkan
tuan-tuan guru dan murid-muridnya bergantung hidup pada sawah sebagai
pesawah atau hidup kerana zakat dan sumbangan dari hasil sawah.
(Prof. Ishak M.Rejab, "Peranan Ulama Dalam Masyarakat Di Kedah",1981:hal.
18).
Satu lagi yang tidak kurang pentingnya ialah faktor keamanan dan
keselamatan yang lebih terjamin di bawah pemerintahan Sultan Ahmad
Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) dan sultan Abdul Halim Shah (1882-1943).
Kedua-dua tokoh pemerintah ini adalah perntis kearah pembangunan
dan pemodenan Kedah yang merestui pembukaan perkampungan pondok-pondok
agama di seluruh negeri. Keamanan dan kestabilan politik setelah
kedah bebas dari kekejaman pemerintahan tentera Ligor/Siam (1821-1841)
juga mendorong kepada penghijrahan ulama-ulama Patani ke Kedah yang
tidak sanggup menderita di bawah pentadbiran Siam seperti yang berlaku
kepada keluarga ulama Tuan Haji Ishak Muhammad Hashim, Pulau Pisang
(1771-1871) dan Tok Syeikh Jarum, Derga (1849-1911).
Terdapat juga penghijrahan ulama-ulama Kedah ke negeri lain seperti
Tuan Haji Shafie Mohd Amin dari Merbok yang muncul sebagai salah
seorang ulama besar Terengganu dengan perkampungan pondoknya di
Losong (1862-1945). Sementara itu, Haji Shafie atau 'Tok Shafie'
dari Telok Bagan pula akhirnya muncul sebagai ahli Sufi Mekah yang
terkenal (Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu, Suatu Sorotan, 1991:
hal.33-34).
Mengenai para pelajar yang menuntut di perkampungan pondok di seluruh
Kedah pada zaman kegemilangannya di samping mereka yang bermastautin
di Kedah, ramai pula yang berasal dari negeri-negeri lain di Malaysia,
Indonesia, Selatan Siam dan Kemboja. Berdasarkan buku pendaftaran
pelajar yang memasuki pondok Tuan Guru Haji Hussain Haji Salleh
(Dato) berhampiran Makam Diraja Langgar, tercatat seramai 182 orang
yang menuntut di situ antara tahun 1936-1940.dari jumlah itu terdapat
59 orang anak tempatan Kedah, 24 orang dari Negeri Sembilan, Perak
11, Selangor 7, Pahang 7 Johor 7 dan Melaka 1. Pelajar dari Indonesia
pula berjumlah 66 orang.paling ramai dari daerah Jambi iaitu 37
orang, diikuti Kampar 14, Batang Hari 3, Aceh 3, Kota Chanai 3,
Alas 2, Rawa 1, Selat Panjang 1, Perigi Raja 1, Sumbawa 1.
Sejarah membuktikan betapa akrabnya hubungan antara pemerintah
dan para ulama sejak awal lagi. sultan yang disifatkan sebagai "Zillallahufil-'alam'"
atau bayangan Tuhan di dunia ini sering kali memerlukan nasihat
dari para ulamanya dalam menangani sesuatu masalah dan urusan-urusan
berkaitan dengan pentadbiran negeri. Misalnya pada zaman Sultan
Sulaiman Shah (1602-1619) di Kota Siputih, baginda bersetuju dengan
nasihat muftinya, Syarif Aznan yang berasal dari Hejaz mengenai
cara menghindar serangan dari Aceh. Di zaman Sultan Ahmad Tajuddin
Mukarram Shah (1854-1879) amalan bermesyuarah itu berterusan.
Muhammad Hassan dalam bukunya menegaskan : "Apakala ada suatu
pekerjaan yang besar-besar hendaklah dilaksanakan maka duli baginda
bermaufakat dengan Wan Ibrahim dan Wan Ismail dan Syed Abdullah
Al-Jafri dan Tuan Haji Muhammad Taib,Mufti dan Tuan Haji Muhammad
Salleh,Ulama (Wan Shamsuddin "Sultan dan Ulama Berhubung Akrab",
Warta Darul Aman, Januari 1993:hal.9), dan Muhammad Hasan, hal.332).
Ulama silam turut membantu menghasilkan karya-karya yang bersifat
keagamaan dan perundangan. Misalnya kitab perundangan terawal, "Hukum
Kanun atau Undang-undang Kedah" telah dihasilkan pada zaman
Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1652) di Kota Naga dan pada
zaman Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1662-1688) sewaktu bersemayam
di Kota Palas, pada tahun dal, bulan Rabiulawal 1078 Hijrah (1667
Masihi)sebuah lagi kitab perundangan berjudul "Tembera Dato'
Seri Paduka Tuan" telah disusun oleh Syeikh Alauddin. Salah
sebuah karya Ilmu Tauhid terawal telah dihasilkan di Kota Siputih
pada bulan Rabiulawal 1032 Hijrah (Januari 1622) oleh Ahmad Aminuddin
Al-Qadhi. Zaman itu juga Kerajaan Aceh telah menghadiahkan kepada
Kerajaan Kedah dua buah kitab berjudul "Sirutul-Mustaqim"
dan "babun Nikah" karya pujangga dan ulama besar Aceh
iatu Syeikh Nuruddin Ali Al-Raniri (hikyat Merung Mahawangsa, Pulau
Pinang, 1899:hal 19).
Di bidang penulisan yang mencakupi segala akspek mengenai agama
Islam, berkembang subus hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang
begitu profilik dalam menghasilkan karya termasuklah Tuan Haji Muhammad
Al-mas'uid Al-banjari, Titi Gajah (1850-1900),Haji Wan Sulaiman
Wan Sidik, Limbong Kapal (1874-1935),Tuan Haji Muhammad Said Muhammad
Taib, Yan (1877-1862), Tuan Haji Muhammad Al-Minangkabauwi, Seberang
Perak (1874-1961), Tuan Haji Abdullah Muhammad Saad, Setul (1890-1986),
Tuan Haji Muhammad Salleh,Pulau Pisang (1894-1945), dan Tuan Haji
Muhammad Abas Nisution, Tanjung Pauh (1912-1987).
Ulama silam juga turut berjuang untuk membebaskan Kedah dari belenggu
penjajahan tentera Lingur /Siam (1821-1841) dalam mempertahankan
kesucian agama Islam. Kemuncak perjuangan itu berlaku dalam tahun
1838-1839 di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad Tunku daud bersama
10 ribu pejuang yang akhirnya Kedah dapat dibebaskan untuk sementara
waktu. Turut terlibat dalam peperangan itu ialah Syeikh Abdul Qadir,
Mufti Kedah dan saudaranya Syeikh Abdul Samad Al-Falembani (Palembang).
Syeikh Abdul Samad gugur syahid di Hadyai, selatan Thailand.
Gerakan rakyat Kedah untuk membebaskan diri dan negara dari penjajahan
Inggerish selepas tamatnya Perang Dunia Kedua bermula dengan peristiwa
penentengan terhadap Malay Union. Ketika itulah lahirnya Persatuan
Ulama Kedah dan Kesatuan Melayu Kedah pimpinan Tuan Haji Hussain
Che Dol di samping ulama lain seperti Tuan Syeikh Abdul Halim Usman
(Dato'), Tuan Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Merbok (Dato' Murshid
DiRaja), Syeikh Salleh Shamsudin, Tuan haji Ismail Haji Said dan
lain-lain.
Satu-satunya sudut kehidupan para ulama silam yang sering diperkatakan
ialah ada di antara meraka memiliki sifat-sifatluar biasa yang dikaitkan
pula dangan unsur kekeramatan. Di Kedah Misalnya, tokoh-tokoh seperti
Tuan Haji Hussain Che Dol,Tuan haji Yahya Taha, Kupang dan Tuan
Haji Wan Abdul Saman Wan Nik, Pokok Sena dikatakan amat digeruni
musuh-musuh Islam terutamanya di waktu kebangkitan dan kemaharajalelaan
ahli-ahli Bintang Tiga di Zaman Darurat dahulu (1948-1960).
Sebilangan para ulama silam juga adalah pelopor perancangan luar
bandar. Serentak dengan penerokaan perkampungan pondok,mereka juga
mengadakan berbagai projek kemudahan masyarakat setempat. Misalnya
pembinaan titi atau jambatan oleh ulama Tuan Haji Idris di Kampung
Titi Haji Idris dan pembinaan jalan raya terawal dari Pendang ke
Sungai Tiang dalam Daerah Pendang oleh ulama Tuan Haji Ahmad Rabat
(Rubat), Chegar, Pendang, Kedah (Wan Shamsudin, "Biografi Ulama
Kedah Darul Aman, 1996: hal. 11-12)
|
|