|
Salasilah Sultan-sultan yang memerintah Negeri Kedah Darul Aman
pertama kali disusun secara lengkap dalam tahun 1928 dalam tulisan
jawi dengan terbitnya buku "AI-Tarikh Salasilah Negeri Kedah"
(ASNK) satu-satunya buku yang memuatkan persejarahan Kedah yang
dapat dipertanggungjawabkan karya anak watan Kedah, Muhammad Hassan
bin Dato' Kerani Muhammad Arshad.
Sebelum itu, R.Q. Winstedt pernah menyenaraikan salasilah yang
sama dalam dua rencananya iaitu "History of Kedah" (JSBRAS,
1920 : 32 dan 34) dan "Notes on the History of Kedah"
( JMBRAS, 1936: 186 - 187). Dalam kedua-dua rencananya, beliau cuba
membuat perbandingan salasilah tersebut berdasarkan buku "Hikayat
Merong Mahawangsa" dan ASNK di samping memetik senarai yang
disusun oleh Wan Yahaya Haji untuk Mr. E.A.G. Stuart, Penguasa Pelajaran
Negeri Kedah sebelum Perang Dunia Kedua (1920 - 1924). Dibandingkan
dengan ASNK terdapat beberapa perbezaan sebutan nama yang berpunca
kerana kesalahan mentransliterasikannya dari jawi ke rumi.
Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) tidak dapat dibina sebuah salasilah
Kesultanan Kedah yang ,lengkap kerana beberapa sebab. Yang pentingnya
kerana HMM tergolong dalam karya 'historiografi' (sastera sejarah)
yang sifatnya sama seperti karya-karya yang sejenis dengannya seperti
"Hikayat Raja-raja Pasai", "Sulalatus-Salatin"
atau "Sejarah Melayu" dan sebagainya kerana tidak mementingkan
pentarikhan atau tahun berlakunya sesuatu peristiwa. Penceritaannya
pulaterhenti sehingga zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II
(Sultan Kedah ke-22, 1804 - 1845) dan itupun dalam bentuk senarai
di samping beberapa orang_ sultan sebelumnya.
Setakat ini ASNK ternyata dapat dipegang kesahihan faktanya terutama
dalam mencatatkan kedatangan Islam di Kedah iaitu pada 531 Hijrah
bersamaan 1136 masihi. Terdapat catatan yang lengkap mengenai pemerintahan
setiap sultan dan tarikhnya di lapan buah pusat pemerintahan sehingga
ke zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah ke-27, 1882
- 1943). Bagaimanapun sehingga zamanTunku Anom menjadi Raja Negeri
Kubang Pasu, pengarang ASNK hanya menggunakan tarikh hijrah sahaja,
dan apabila mangkat Tunku Anom bermulalah penggunaan tahun masihi
di samping tahun hijrah iaitu dicatatkan pada 20 Syaaban 1269 bersamaan
31 Mei, 1853 (ASNK, Teks jawi : 296).
Sesudah Perang Dunia Kedua, dua orang dari kalangan Kerabat DiRaja
Kedah iaitu Tunku Nong Jiwa dan Tunku Fariduddin Haji telah mengusahakan
penyusunan semula "Salasilah Kesultanan Kedah" yang juga
dirujuk kepada ASNK. Usaha mereka berdua menjadi ikutan kepada penulis
sejarah berikutnya ketika menulis rencana atau buku yang berkaitan
dengan persejarahan Kedah. Bagaimanapun jika dianalisa dan dibandingkan
dengan setiap karya yang ada hari ini, di samping mempunyai beberapa
persamaan terdapat pula beberapa perbezaan yang ketara dalam beberapa
aspek berikut:
- Sebutan nama sultan dan gelarannya.
- Tahun atau tarikh pemerintahan setiap sultan.
- Bilangan atau jumlah sultan yang memerintah sehingga kini.
Misalnya nama-nama tokoh yang berbeza-beza antara naskah atau karya-karya
silam yang diselidiki dan kesalahan yang agak ketara ialah seperti
"Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mluazzam Shah" ditulis
"Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mluazzam Shah" dan
"Sultan Muzzil Shah" ditulis "Sultan Mansor Shah".
Berdasarkan kajian dan perbandingan dengan karya-karya lain termasuk
tulisan-tulisan yang tertera pada matawang lama yang ditemui, maka
satu senarai yang agak lengkap telah disusun semula oleh Wan Shamsudin
Mohd Yusof dalam sebuah kertas kerja yang dibentang dalam Seminar
Kemantapan Identiti Budaya Negeri Kedah Darul Aman pada 28 hingga
29 Ogos 1999 anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Kedah dengan kerjasama
Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Kedah Darul Aman. Senarai Kesultanan Kedah yang terkandung
dalam kertas kerja tersebut berjudul "Salasilah Kesultanan
Kedah Darul Aman - Satu Analisa dan Perbandingan" akhirnya
telah diterima dan dipersetujui untuk diterima pakai mulai tarikh
Seminar tersebut.
Berikut dilampirkan Salasilah Kesultanan Kedah terkini (1136 hingga
sekarang) yang diterima pakai mengandungi 28 orang Sultan, tidak
lagi 27 orang yang dicatatkan sebelumnya.
|