 |


Contoh cap pos yang pernah digunakan perkhidmatan pos sepanjang
di bawah pemerintahan Kerajaan Siam.
|
Kedah Sebelum Pemerintahan Thai
Negeri Kedah sepertimana negeri-negeri lain di Tanah Melayu telah
mengalami pentadbiran Inggeris yang paling lama. Selain dari Inggeris,
Jepun juga telah menjalankan pentadbiran tentera di Tanah Melayu
dan Singapura. Pemerintahan Jepun berjalan selama lebih kurang tiga
tahun lapan bulan. Tetapi di Kedah pemerintahan Jepun menjadi makin
kurang apabila Jepun menyerahkan Negeri Kedah bersama-sama tiga
buah negeri lain iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam.
Setelah menguasai negeri-negeri itu selama 21 bulan.
Pentadbiran corak tentera oleh pihak Jepun meliputi ke semua negeri
di Tanah Melayu. Jawatan-jawatan penting di peringkat atas telah
di ambil oleh pegawai-pegawai tentera Jepun dan sejumlah kecil anak-anak
tempatan. Dalam penyusunan jawatan di Kedah terdapat beberapa keanehan
dimana orang-orang tak berkelayakan telah diberi jawatan penting.
Terutama mereka yang berbuat baik dengan Jepun akan mendapat kedudukan
istimewa di dalam pentadbiran. Namun begitu, tidaklah meluas berlaku
di seluruh Kedah. Tidak banyak jawatan-jawatan baru yang di adakan.
Kebanyakan pegawai meneruskan kerja lama mereka. Terdapat juga
pegawai-pegawai yang kehilangan jawatan mereka diwaktu itu.
Dalam masa pentadbiran Jepun, semua kegiatan yang bercorak hiburan
telah dihentikan. Kawalan keselamatan yang rapi dijalankan di merata
tempat. Aturan kerja tidak dipentingkan sangat. Pembangunan tidak
dijalankan. Pemerintah lebih menumpukan usaha ke arah pertahanan
dan keselamatan.
Oleh kerana negeri berada dalam keadaan darurat, banyaklah berlaku
kejadian di luar undang-undang. Boleh dikatakan rakyat sentiasa
berada dalam ketakutan, ini disebabkan tentera Jepun kerapkali bertindak
mengikut undang-undang sendiri. Kejadian mencuri agak kurang di
zaman Jepun, ini mungkin disebabkan orang ramai sentiasa mengawal
harta sendiri. Selain dari penjagaan yang rapi hukuman yang berat
kepada pencuri-pencuri telah dapat menyekat kecurian berleluasa.
Keadaan tidak tenteram sentiasa menyelubungi hati tiap-tiap rakyat
di zaman pentadbiran Jepun.
Seseorang itu mungkin ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun
tanpa sebab. Ada orang yang mengambil kesempatan membalas dendam
dengan membuat fitnah kepada Jepun mengatakan sesorang itu menjadi
ahli dalam pergerakan anti-Jepun. Dalam keadaan itu kita tidak dapat
mengetahui siapakah kawan dan siapakah lawan.
Bidang ekonomi menerima nasib yang paling buruk sekali dalam masa
pentadbiran Jepun, keadaannya menjadi sungguh teruk. Getah tidak
lagi dipotong kerana tidak ada orang yang akan membelinya. Tanaman
padi tidak menjadi disebabkan kemarau yang kuat menyerang Negeri
Kedah. Tambahan pula rakyat berada dalam ketakutan, daya usaha untuk
bertani seperti biasa menjadi kurang. Beras menjadi salah satu catuan.
Simpanan beras dihadkan. Pemerintah akan mengambil tindakan kepada
mereka yang menyimpan dari yang dihadkan.
Inflasi menyerang dengan cara yang meluas di Kedah. Barang-barang
keperluan seperti makanan dan pakaian sangat berkurangan di masa
ini. Kalau ada pun harganya terlalu tinggi. Sepasang kain sutera
dapat ditukarkan dengan dua ekor kerbau. Ramai orang berebut-rebut
untuk mendapatkan makanan dan pakaian. Di waktu inilah ramai orang-orang
Melayu menjadi peniaga. Orang yang mencebur diri dalam perniagaan
tidak begitu susah hidupnya seperti orang yang makan gaji. Perbandingan
antara hidup di bandar dan di luar bandar adalah lebih baik dari
segi bahan makanan, tempat tinggal dan keselamatan diri.
Akibat kekurangan barang telah menyebabkan harga melambung begitu
tinggi. Pihak Jepun telah mengambil langkah untuk menghadapi masalah
ini dengan melancarkan gerakan menanam bahan makanan sendiri. Di
kawasan perkampungan ubi kayu di tanam dengan banyak. Bahan ini
menjadi pengganti kepada beras.
Pentadbiran Jepun mengadakan pertandingan bercucuk tanam juga
mengadakan pertunjukan bahan pertanian serta memberi nasihat teknik
kepada mereka yang menjalankan rancangan bercucuk tanam.
Perubahan Kuasa
Pihak pentadbiran tentera Jepun telah menyerah Negeri Kedah kepada
Siam atau Thai pada bulan Ogos 1943. Negeri-negeri lain yang terlibat
dalam penyerahan ini termasuklah Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Penyerahan Negeri Kedah serta tiga negeri yang lain ini dilakukan
memandangkan pada pertolongan yang diberi oleh Thai sewaktu tentera
Jepun datang ke Tanah Melayu. Pemerintah Thai membenarkan tentera
Jepun menggunakan negeri mereka untuk datang ke sini. Cara begini
dibuat oleh pemimpin Thai sebagai menghindar dari ancaman Jepun.
Penduduk Kedah menyambut baik perubahan kuasa ini. Sudah tentu
mereka merasa senang kerana pentadbiran telah kembali pada pihak
awam. Perubahan kuasa ini telah memberi kebebasan begerak yang lebih
kepada rakyat dimana mereka tidak lagi diancam oleh pihak tentera.
Pegawai-pegawai Thai yang datang ke Kedah telah memberi perintah
supaya menjalankan pentadbiran masing-masing seperti sebelum Jepun.
"Carry on as before". Maksud mereka supaya mengikut
cara Inggeris.
Penyerahan kuasa oleh Jepun kepada Thai ini dilakukan di antara
ketua-ketua mereka. Satu acara rasmi untuk memberitahu orang ramai
tentang penyerahan ini diadakan oleh Jepun.
Walaupun pihak telah menyerah kuasa pentadbiran kepada Thai tetapi
polis tentera Jepun (Kampetai) masih lagi berada di Kedah. Tugas
mereka seperti biasa mengawal negeri. Kali ini mereka bersama-sama
tentera Kerajaan Thai mengawal ketenteraman di Kedah. Segala gerak
geri orang ramai terutama mereka yang datang dari luar. Perhubungan
polis tentera Jepun (Kempetai) dan askar Thai ini tidak begitu mesra.
Tetapi tidak berlaku pergaduhan diantara keduanya. Kalau ada pun
hanya perselisihan-perselisihan kecil sahaja.
Tugas polis tentera Jepun yang benar ialah mengawal kegiatan komunis
dan gerakan anti-Jepun. Orang-orang Cina masih dijaga rapi oleh
Kempetai kerana ramai orang-orang Cina yang terlibat dalam kegiatan
anti-Jepun.
Penyerahan kuasa kepada pihak Thai ini memberi makna yang besar
pada penduduk Kedah. Mereka benar-benar telah terlepas dari suatu
bala yang sentiasa mencengkam hidup. Mereka telah terlepas dari
keadaan yang serba mengecam dengan seribu tandatanya. Datangnya
kuasa Thai menandakan bermula kembali pentadbiran awam yang memberi
kelegaan pada rakyat.
Pentadbiran Thai Di Kedah
(Syburi)
Selepas mengambil alih kuasa dari kerajaan tentera Jepun, Kerajaan
Thai membentuk satu administrasi awam di Kedah. Pegawai-pegawai
yang bertugas dengan Jepun terus berkhidmat dengan Thai pula selepas
perubahan kuasa ini. Negeri Kedah diubah nama menjadi Syburi.
Gabenor general Thai yang bertanggunjawab bagi keempat-empat buah
Negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ialah KhunRongchat
(Khun ertinya Encik dalam bahasa Thai). Gabenor Kedah ialah Khun
Pramot Chongcharem, Penolong Gabenor ialah KhunChat. Gabenor General
menetap di Alor Star, dan bandar ini dijadikan sebagai pusat empat
buah negeri di Utara Tanah Melayu.
Pihak Thai menghidupkan semula pentadbiran Majlis Negeri yang
dipanggil Muntri Spa. Ianya diketuai oleh seorang presiden yang
dilantik oleh Sultan. Bagaimana pun pihak Thai tidak begitu mengambil
berat tentang perjalanan Muntri Spa ini. Semua resolusi yang diambil
oleh Muntri Spa mestilah diluluskan oleh High Commissioner Thai.
Didalam Muntri Spa ini terdapat anggota-anggota yang dipilih terdiri
dari wakil-wakil Melayu, India dan Cina. Ada seorang penasihat undang-undang
Muntri Spa waktu itu. Beliau ialah Encik Ismail Marican. Muntri
Spa akan bersidang bersama-sama dengan Gabenor atau wakil Gabenor
General ketika membincangkan perkara-perkara besar terutamanya berkenaan
politik pemerintah.
Di bidang pentadbiran awam setiausaha kerajaan adalah jawatan
yang paling tinggi sekali selepas Gabenor. Jawatan ini dipegang
oleh Tuan Haji Muhamad Shariff. Ketua-ketua jabatan banyak yang
dipegang oleh orang-orang Thai. Setiausaha menjadi pegawai yang
penting bagi mengendalikan pentadbiran. Terdapat juga pegawai-pegawai
tempatan memegang jawatan di peringkat atas.
Ketua-ketua jabatan berkuasa penuh menjalankan pentadbiran mereka.
Pihak Thai tidak selalu membuat arahan baru dalam pentadbiran. Semuanya
berjalan mengikut cara yang sedia ada. Pegawai-pegawai memegang
amanat pihak Thai supaya meneruskan pentadbiran cara British.
Jika ada apa-apa arahan yang hendak diberitahu kepada pegawai,
Gabenor Thai akan mengadakan suatu perjumpaan ramai. Di dalam perjumpaan
inilah mereka akan bertukar-tukar pendapat. Pegawai-pegawai diminta
supaya memberi pendapat mereka tentang sesuatu tindakan yang hendak
dilakukan di Kedah. Mereka yang hadir adalah terdiri dari pegawai-pegawai
yang bekerja di sekitar Alor Star saja. Pegawai-pegawai dari daerah
lain jarang menghadiri perjumpaan ini disebabkan kesusahan pengangkutan.
Jika ada apa-apa arahan baru pegawai-pegawai di daerah luar ini
akan menerima dari Setiausaha Kerajaan. Pegawai Daerah akan menyampai
kepada Penghulu seterusnya kepada rakyat jelata.
Setiausaha kerajaan paling berkuasa di waktu itu, kebanyakan usul
yang dikemukakan oleh beliau diterima oleh Gabenor General Thai.
Kebolehan Tuan Haji Mohd. Shariff sebagai Setiausaha Kerajaan mendapat
pujian dari pihak Thai. Gabenor Thai bertugas sebagai penasihat
kepada Setiausaha. Di zaman pemerintahan Thai ini tidak terdapat
pengubahan undang-undang secara besar-besaran. Perjalanan undang-undang
tidak begitu tegas, banyak kesalahan-kesalahan kecil dimaafkan.
Tentang perjalanan undang-undang Islam keadaannya seperti biasa.
Bidang ini diserahkan kepada orang-orang Melayu sendiri. Sultan
merangkap sebagai Ketua Agama. Begitu juga tentang adat istiadat
Melayu, pihak Thai tidak pernah mengganggu. Kedudukan hak-hak istimewa
orang Melayu seperti 'Tanah Simpanan Melayu' dihormati oleh Thai.
Sultan masih di anggap Ketua Negeri.
Walaupun pentadbiran diserahkan kepada Thai tetapi bidang keselamatan
masih dibawah Jepun. Polis tentera Jepun (Kempetai) masih mengawal
Negeri Kedah. Tentera Thai juga ada di Kedah. Kedudukan mereka sebagai
penjaga keamanan di samping polis tentera Jepun. Dengan adanya tentera
Thai di Kedah, Kampetai Jepun tidak lagi bertindak sewenang-wenang
hati mereka terhadap orang awam.
Kawalan keselamatan di Alor Star berada di bawah pihak Thai dan
Jepun, di daerah-daerah luar terdapat pengawal-pengawal kampung
bekerja bergilir-gilir dari petang hingga ke pagi. Keselamatan boleh
dikatakan terkawal apabila tiap-tiap daerah berusaha mengawal keselamatan
sendiri.
Sewaktu pentadbiran Thai tidak ramai pegawai-pegawai baru yang
dilantik. Pegawai-pegawai tadbir lama dibiar terus berkhidmat. Kecuali
jika ada kematian barulah perlantikan baru dibuat. Pegawai-pegawai
baru ini dilantik dari pegawai-pegawai peringkat rendah yang telah
lama berkhidmat.
Layanan pemerintah terhadap rakyatnya dari segi bangsa tidak ada
perbezaan. Cuma rakyat Kedah yang berketurunan Siam merasa lebih
beruntung. Kalau dalam pentadbiran awam pegawai-pegawai Siam tempatan
mendapat layanan yang lain dari pegawai-pegawai Thai.
Keadaan disiplin tidak begitu kukuh di kalangan pentadbir-pentadbir
Thai. Dari Gabenor hinggalah ke peringkat bawah pegawai-pegawai
itu bebas menjalankan perniagaan sendiri sebagai menambahkan pendapatan
mereka.
Di daerah-daerah luar pegawai-pegawainya terdiri dari anak tempatan.
Bagi kawasan yang berpendudukan lebih dari 15 ribu orang, Pegawai
Daerah akan ditempatkan disitu. Hubungan pegawai-pegawai Thai dengan
pentadbir di Bangkok dipercayai ada tetapi ini tidak terdapat bukti
yang lengkap. Kalau ada pun hubungan ini lebih kepada soal-soal
besar yang bersangkutan dengan pemerintahan. Banyak hal-hal pentadbiran
diselesaikan oleh pegawai-pegawai Thai di Alor Star.
Rancangan-rancangan pembangunan baru tidak dijalankan di Kedah.
Mereka cuma meneruskan susunan yang telah sedia ada. Pentadbiran
menjadi semakin malap. Kadang-kadang tidak ada kerja yang hendak
di buat oleh pegawai-pegawai itu.
Tidak ada orang yang akan menyiasat kerja mereka. Perlaksanaan
begini terus-menerus seolah-olah mereka menerima gaji percuma. Jabatan
Kewangan adalah satu-satunya pejabat yang paling sibuk di waktu
itu. Setiausaha Kewangan Negeri dipegang oleh Encik Lee Ewe Boon
seorang anak tempatan.
Jabatan Kewangan bertanggungjawab mengutip cukai dan membayar
gaji pegawai. Hasil pendapatan Negeri Kedah keseluruhannya dibelanja
di dalam negeri. Tentang pegawai-pegawai Thai, mereka menerima gaji
dari pemerintah Thai di Bangkok. Pemerintah Thai tidak membawa modal
dari Bangkok. Dalam memajukan Negeri Kedah, pentadbiran di Kedah
boleh dikatakan terasing dari Bangkok.
Kedudukan penduduk luar bandar tidak banyak berubah. Tidak ada
projek besar memajukan bidang pertanian di luar bandar. Barang-barang
makanan dan sedikit pakaian dibawa dari Thailand. Dipercayai Negeri
Kedah mendapat bekalan makanan yang agak mencukupi sewaktu pentadbiran
Thai. Di negeri-negeri lain kekurangan makanan menjadi satu ancaman
yang serius. Selain dari bahan makanan yang diimport dari Thailand,
Negeri Kedah sendiri merupakan pengeluar beras yang utama di Tanah
Melayu.
|