Anda di sini:
 
Sebelum

Implikasi Pemerintahan Jepun

oleh:
Mohd. Yusof Hasan

 
 

S.K. Shiiba - seorang peniaga Jepun sebelum perang, kemudian menjadi pegawai ketika pentadbiran Jepun.


Setem Jepun bernilai empat sen diterbitkan pada 29 April 1943 menggambarkan aktiviti melombong bijih.

Orang-orang Jepun juga mendakwa mereka mempunyai peribadi yang lemah lembut, bersopan santun dan ramah dalam tutur kata serta tidak mementingkan diri sendiri. Kata Prof. Hidezo Tanakadate dalam ucapan memperkenalkan kebudayaan Jepun pada masa pemerintahannya di Malaya:

"We Nippon-zin are not egoistic or should I say not ego-centric or self-sacrificing … We sacrifice our pride for the honour of the other …. So our humble way of expression is better and safer …. The Nippon-zin is purposely humble for he is not the centre of his life".

Tetapi apa yang dilakukan oleh orang-orang Jepun dalam pemerintahannya adalah sebaliknya agresif, kejam, egoistic dan tidak berperikemanusiaan. Apakah perbuatan-perbuatan sergah menyergah orang, memaksa orang naik kelapa dengan benet terhunus di buntutnya, upah tambang "pergi dan baliknya" dan memaksa orang minum air bertimba-timba dan lain-lain seksaan itu merupakan perbuatan-perbuatan yang dianggap "very delicate and finer ones" oleh seorang Professor mereka tadi?

Sikap jahil dalam ilmu jiwa rakyat atau "mass-psycology" dalam pemerintahan Jepun itu telah mempercepatkan proses keruntuhan zaman Jepun yang boleh dianggap sebagai zaman malapetaka dan kekejaman atau "reign or terror" yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat. Jepun telah mengambil tindakan yang terburu-buru dan ingin memerintah dunia sekelip mata, akibatnya matahari yang terbit pada 8 hb. Disember 1941 itu amat pahit dan getir sekali.

Kata Prof. Tanakadate lagi, orang-orang Jepun adalah pencinta alam dan kebanyakan dari mereka adalah petani, sebab itulah bila datang ke Malaya mereka malancarkan rancangan bumi hijaunya. Rakyat terpaksa tanam pokok pisang, kelapa dan sebagainya. Lagi sekali rakyat telah menjadi kelam kabut. Dulunya rakyat bersenang lenang dengan kecukupan makanan dan sekarang dipaksa-paksa pula. Lagi pula bahan-bahan makanan ini bukan untuk rakyat yang menanamnya, tetapi dibekalkan kepada askar-askar Jepun di medan perang. Rakyat sedar tentang tipu helah Jepun yang mahu mengisi tembolok mereka semata-mata.

Lagi sekali Jepun silap langkahnya. Jepun bernafsu besar untuk mengadakan rancangan bumijayanya. Jepun tidak mengkaji bagaimana keadaan iklim di Malaya yang berbeza dengan Negeri Jepun yang ada musim bunga, panas, luruh dan sejuk. Kerana itu, rancangan penanaman kapas anjuran kerajaan Jepun telah gagal sama sekali di Malaya ketika itu.

Dengan perusahaan penanaman padi yang penuh rintangan itu, Jepun merasakan ada dua sifat tertanam di jiwa petani: pertama, hubungan erat antara tanah sawah dengan petani melahirkan perasaan patriotik; dan kedua, sifat pengorbanan diri dalam sebarang perjuangan. Katanya dengan semangat ini rakyat petani di Asia Tenggara khasnya dan di Asia amnya dapat meghalang penjajahan dan "pencerobohan" orang-orang Barat. Ini benar dan dapat dipersetujui oleh rakyat. Tetapi yang diamalkan oleh tentera Jepun itu bertentangan dengan apa yang diteorikan oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Di sini timbul konflik dan pertentangan di antara tiga golongan: golongan yang memimpin (pemerintahan Jepun), golongan yang dipimpin (tentera Jepun) dan golongan yang baru dipimpin (rakyat Asia). Persefahaman tidak ada langsung di antara golongan tersebut. Dan akibatnya pemerintahan itu hanya menunggu masa keruntuhannya!

Apakah sebab-sebab Jepun bernafsu rakus benar untuk menakluk Asia? Kata Prof. Kotaro Zimbou, seorang pensyarah dan penyair terkenal di Nippon University, Tokyo:

Nippon rose up on Dec. 8 last to carry out her most faithful mission of revolutionizing world history. Nippon did not stand up on any designed profit-making business. It is a real fact that Nippon stood up as a result of the Unification of the minds of the whole people which led them to a final explosion. I believe that this is the start of our firm determination and activities answering to the voice of God.

Negeri Jepun sendiri mengalami arus-arus pengaruh Kebudayaan Buddha, Kebudayaan Cina dan Kebudayaan Barat, tetapi tidak pernah dijajah secara langsung. Dengan ini, Jepun ingin membebaskan diri dari belenggu kebudayaan tersebut lantas mencari jalan untuk memusnahkan Kebudayaan Barat, dengan peperangan bagi menegakkan kembali ajaran Sintoism yang mereka anuti.

Untuk memusnahkan Barat, Jepun mencari dan meminta sokongan dengan paksaan dari negara-negara Asia.

Tetapi Jepun tidak sedar bahawa rakyat Malaya juga tidak berdiam diri dalam usaha membebaskan diri dari penjajahan Inggeris terutama sekali selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918). Dalam tahun-tahun dua puluhan gerakan golongan Ugama yang membawa faham modesnisma dalam Islam yang dipelopori oleh Syeikh Muhamad Abduh di Mesir dan dibawa pulang oleh Syed Sheikh Al-Hadi telah memberi pengaruh kuat kepada pergolakan bukan sahaja terhadap penjajah tetapi juga terhadap ajaran fanatik dan konservatif dalam Islam. Dalam tahun-tahun tiga puluhan pula golongan guru dan wartawan memperhebatkan lagi usaha menimbulkan gejala protes secara tidak langsung terhadap penjajah Inggeris.

Golongan guru dalam karya-karya mereka memperlihatkan nada tidak senang dibawah penjajah. Taraf sosio-ekonomi yang rendah bagi orang-orang Melayu akibat dari penindasan sistem pemerintahan Inggeris yang amat terasa sekali. Manakala golongan wartawan pula menimbulkan gejala protes itu secara simbolik seperti terdapat dalam novel Puteri Gunung Tahan karangan Ishak Haji Mohamad.

Selain dari apa yang diperlihatkan dalam tema hasil-hasil karya dari tiga golongan yang tersebut di atas tadi terdapat penubuhan parti-parti politik Melayu yang cuba membangkitkan nasionalisme Melayu. Perasaan perkauman dan persukuan dalam masyarakat majmuk ketika itu menambahkan keruncingan situasi yang sedia bergolak.

Suasana di negara-negara jiran juga memperlihatkan keadaan yang sama agresif. Pergolakan-pergolakan anti-penjajahan seperti negara Burma yang menentang Inggeris, Filipina menentang Amerika Syarikat dan Indonesia menentang Belanda telah merangsangkan serta menyemarakkan api kebangkitan di Malaya.

Keadaan ini sudah cukup untuk menggertakkan kedudukan Inggeris di daerah Asia Tenggara. Serangan Jepun ke atas Malaya mengalahkan Inggeris hanya memburukkan suasana dan mengakibatkan tumpah darah yang sia-sia cuma. Kebangkitan Jepun dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) sudah cukup memperlihatkan kuasanya sebagai kuasa Timur yang bisa mencabar kuasa-kuasa Barat yang gagah. Tetapi kemunculannya pada kali kedua dalam Perang Dunia Kedua ini tidak memberi apa-apa makna kerana itu hanya memperlihatkan nasib Jepun yang sentiasa malang-sudah jatuh ditimpa tangga.

Kemunculan Jepun di Malaya dalam tahun-tahun empat puluhan itu menyebabkan api permusuhan rakyat Cina di Malaya terhadap musuh lama datuk neneknya. Dengan itu lahirlah gerakan Malayan Peoples Anti-Japanese Army yang dipimpin dan dianggotai oleh kebanyakan ahli-ahli Parti Komunis Malaya.

Selepas Jepun menyerah kalah pada 3hb September 1945, Malaya berada dalam keadaan kucar kacir lagi. Mula-mula Malaya diperintah oleh British Army Administration. Selepas dari gelombang itu, tiba pula gagasan Malayan Union yang terpaksa ditentang hebat oleh rakyat dibawah pimpinan Dato' Onn Jaafar selepas selesainya kekecohan-kekecohan tersebut, Malaya diancam oleh keadaan zaman Darurat dalam tahun 1948.

Pemerintahan Inggeris yang membawa prinsip "divide and rule" itu amat ketara benar. Permusuhan antara kaum menjadi-jadi. Masalah perkauman begitu hebat.

Selepas menghadapi beberapa cabaran dan ancaman, negara kita berjaya juga mencapai kemerdekaannya pada 31hb Ogos 1957.

Jadi tujuan asal Jepun yang kononnya "to oust Anglo-American exploitation from this part of the world and wants to liberate and emancipate the whole of East Asia" itu semata-mata membawa penderitaan dan kesan yang cukup buruk. Implikasinya, kedatangan Jepun tidak memberi sesuatu yang bermanafaat.

Dalam pemerintahannya, Jepun mengadakan sistem untuk menyatupadukan rakyat dengan menggunakan bahasa kebangsaannya sambil menanamkan semangat cinta kepada bahasa tersebut, kerana orang-orang Jepun percaya bahawa:

When you have learnt to use one Nippon-go word, you have made one step further in your efforts to know more and understand Nippon. When you learnt 100 Nippon-go words, you will feel more friendly towards Nippon-go words, you will never wish to forget Nippon or the Nippon-zin.

Bagi menyebarkan kesusasteraannya pula, Jepun telah memperkenalkan bentuk-bentuk puisi Tanka dan Haiku. Sajak ini banyak memperkatakan tentang keindahan alam dan kesucian hidup manusia. Jenis puisi Jepun yang dipanggil Uta adalah terhad kepada tiap-tiap rangkap 32 sukukata dalam lima baris iaitu: 5-7-5-7-7. Perkataan yang digunakan bagi lima baris dan 32 sukukata itu tidak melebihi 12 patah.

Tetapi walau bagaimana Jepun berusaha bersungguh-sungguh menanamkan rasa cinta terhadap bahasa dan kesusasteraan itu di kalangan rakyat, rakyat tidak tertarik dengan aspek-aspek penting dalam kebudayaan Jepun itu. Bahasa Melayu tidak sedikit pun terpengaruh dengan Bahasa Jepun dan orang-orang Melayu masih tetap menggunakan bentuk puisi iaitu pantun dan syair. Ini disebabkan oleh cara Jepun memperkenalkannya dengan paksa. Paksaan itu telah mengakibatkan kebencian yang meluap-luap di kalangan rakyat secara implisit.

Bagi menyebarkan propagandanya, Jepun mengadakan alat sebaran am seperti radio, majalah-majalah Fajar Asia dan Semangat Asia dan akhbar harian Berita Malai. Melalui media persuratkhabaran, ramai penyair-penyair kita telah turut menyuarakan propaganda itu melalui sajak-sajak mereka sebagai usaha menyokong Jepun. Sebanyak 58 buah sajak telah dihasilkan dalam jangkawaktu 3 tahun 8 bulan itu. Lebih daripada separuh sajak-sajak tersebut membawa tema patriotisme, yakni membawa seruan mempertahankan negara dibawah lindungan Jepun yang dianggap sebagai "penyelamat" Asia Tenggara dari cengkaman penjajah.

Tetapi apakah yang dihasilkan oleh penyajak-penyajak itu benar-benar tercetus dari perasaan yang jujur atau semata-mata untuk mengaburi mata Jepun yang memberi perlindungan kepada mereka. Dalam keadaan serba susah, serba kejam dan serba paksaan demikian manusia boleh bersikap "bunglon" seperti berlaku di Indonesia. Jadi hasil-hasil sastera yang berbentuk cerpen dan sajak dalam zaman Jepun bukanlah hasil karya yang benar-benar bebas.

Nada yang pahit dan sinis terasa sekali didalam karya-karya tersebut.

Mengikut dakwaan pemimpin-pemimpinnya, Jepun datang ke Asia Tenggara dengan kekuatan ekonomi, kerana mereka telah bersiap sedia sebelum berlakunya peperangan. Sungguhpun negeri itu tidak mempunyai sumber-sumber alam, tetapi rakyatnya rajin bekerja dan terus bekerja. Dalam hal kerajinan ini, Jepun boleh mengatasi Barat. Kata Mr. Sinzyo Takahasi:

Unlike America and Britain, as Nippon did not believe in blowing her own trumpet, the real mettle of Nippon came out in deeds not in words, when the day for real fighting arrived.

Dengan kepercayaan ini, Jepun ingin membina Malaya sebagai sebuah negara yang makmur dan kaya raya di Asia sambil menyeru:

I, therefore, urge all the people of Malaya, especially, to realize the significance of this control economy and co-operate with it with grim resolve for a better day. You have to share with the people of Nippon the bitters as well as the sweets of life as need arises.

Sambil mengecam penjajahan Inggeris yang membawa kemerosotan ekonomi di Malaya semasa pemerintahannya.

Dengan itu, setibanya di Malaya Jepun melancarkan gerakan tanaman secara besar-besaran sambil menanam semangat rajin bekerja dikalangan rakyat. Inilah satu cara yang baik. Tetapi Jepun tidak begitu faham tentang keadaan masyarakat di Malaya yang sebelumnya telah hidup dalam keadaan ekonomi yang secukup hidup. Untuk mengubah sikap rakyat, ia memerlukan masa yang panjang. Tetapi Jepun mahu rakyat mengikut cara hidup mereka yang serba kelam kabut. Ini juga ada hubungan dengan latarbelakang sejarah negara mereka yang sentiasa diganggu gugat oleh kuasa-kuasa lain. Mereka rasa hidup mereka sentiasa terancam dan hidup penuh kegelisahan.

Pemimpin-pemimpin Jepun sentiasa melindungi kegelisahan itu dan mendakwa kedatangan mereka ke Malaya ini adalah ibarat menyinsing fajar yang membawa harapan baru di Asia. Kata mereka:

We Nippon-zin came here with this responsibility and self-recognition. Since then we have this self-confidence.

Sungguhpun kedatangan mereka itu dengan tanggungjawab dan kesedaran diri, tetapi mereka merasa "over-confident" dan biasanya orang demikian cepat menempuh kegagalan. Tindakan terburu-buru, tamak dan kejam itu telah menumbangkan kuasa mereka sendiri.

Kerajaan sendiri sedar bahawa masa dua tiga tahun pertama itu merupakan zaman peralihan dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk keteguhan ekonomi, tetapi oleh sebab banyak perkara yang hendak ditumpukan oleh Jepun: masalah dalam dan luar negeri, masalah sosial, masalah ugama, masalah ekonomi dan masalah politik, maka Jepun benar-benar tidak tahan daulat.

Jepun muncul ibarat seorang kaya baru yang mempunyai alat-alat dan wang ringgit serta kuasa yang kuat, tetapi serempak orangnya. Akhirnya menjadi seekor kera sumbang dalam pergolakan politik dunia pada pertengahan tahun-tahun empat puluhan.

Bom-bom di Nagasaki dan Hiroshima itu sudah cukup dapat mengajar Jepun bahawa hidup bukan sekadar mempunyai kekayaan material sahaja tetapi kekayaan perikemanusiaan yang menebal dan kental.
Demikiannya nasib sekuntum bunga sakura yang segar gugur di Malaya dan akhirnya layu begitu sahaja.

Sejarah bukan berhenti setakat itu sahaja, hari ini, Jepun telah membuat "a come-back"nya semula. Jepun banyak membantu rancangan-rancangan sains dan teknologi di negara kita seperti pembinaan Rancangan Perairan Muda di Kedah dan Rancangan Temenggor di Perak. Berbagai-bagai alat-alat jentera digunakan dalam persawahan dan pertanian di negara kita. Alat-alat kenderaan seperti motosikal, kereta dan jentera digunakan dengan hebatnya di negara kita. Dan ini kebanyakannya di import dari Jepun.

Apakah kebudayaan "Honda-Toyota-Kubota" dari Jepun ini di negara kita kini merupakan satu gantirugi zaman pemerintahannya dulu?.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah