Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Perang Dunia Kedua dan Serangan Jepun Ke Atas Kedah
 
 

Pada pukul 2.00 petang, 14 Disember, pasukan peronda Jepun tiba di Gurun. Brigider Jeneral Heath yang melawat Gurun segera memutuskan pengunduran memandangkan tentera Jepun sedang mara dari Alor Star, Kroh dan Grik. British berhasrat berundur ke selatan Sungai Perak dan membuat pertahanan yang kukuh di situ. Sementara itu, tentera British di Gurun terus diserang, dan pertahanan Briged ke - 6 dimusnahkan. Ramai askar Punjab melarikan diri ke Yan dan terus ke kawasan pantai dengan harapan dapat melarikan diri ke selatan melalui laut. Pada 15 Disember, Murray - Lyon mengarahkan tentera British berundur ke Bedong. Keesokan harinya tentera British berundur ke selatan Sungai Muda , dan dengan itu pertahanan British di Kedah jatuh ke tangan Jepun.

Pertahanan tentera British di Kedah ternyata tidak mampu menghadapi kemaraan tentera Jepun. Strategi British gagal menghadapi serangan tentera Jepun. Misalnya, operasi Matador yang dirancang British, tidak dilaksanakan lebih awal. Demikian juga dengan beberapa langkah lain yang bersifat ketenteraan dan politik. Manakala pihak Jepun mempunyai perancangan yang lebih kemas terutama dalam mengucar-kacirkan pertahanan British. Ini termasuklah operasi pengintipan yang dikenali sebagai F. Kikan pimpinan Fujiwara Iwachi. Dari segi kekuatan dan strategi tentera udara juga didapati Jepun lebih baik. Pasukan tentera udara Jepun yang berpangkalan di Singgora, Patani telah berjaya menyerang dan memusnahkan lapangan terbang yang terletak di udara Tanah Melayu. Ini termasuklah lapangan terbang Kepala Batas dan Sungai Petani,di Kedah

Setelah seluruh Kedah ditawan, Sultan Abdul Hamid yng berlindung di Kulim telah dibawa pulang Ke Alor Star. Dengan ini bermulalah pentadbiran Jepun, di Kedah secara rasminya.

Pentadbiran Jepun Di Kedah, 1942-1943

Dari segi pentadbiran, pihak Jepun menjalankan dasar bekerjasama dengan elit berhaluan kanan. Di Alor Star, beberapa pegawai tinggi Kedah yang tidak melarikan diri telah berunding dengan pihak Jepun. Hasilnya pentadbiran tentera Jepun telah mempelawa mereka untuk bertugas di jabatan-jabatan asal mereka. Langkah kerjasama ini dimulakan oleh Tunku Muhammad Jiwa ibni Sultan Abdul Hamid (Pesuruhjaya Monopoli dan Kastam) dan Encik Ismail Harun (Setiausaha Rendah 2). Sehingga kepulangan Sultan Abdul Hamid dan Raja Muda Tunku Badlishah ke Alor Star, Tunku Muhammad Jiwa, dilantik sebagai Pemangku Raja.

Sebelum Jepun membuat peraturan baharu tentang Majlis Mesyuarat Negeri, peraturan lama diteruskan. Majlis Mesyuarat Negeri pada masa itu dianggotai oleh Tunku Muhammad Jiwa, Tunku Kassim, Tunku Abdullah, Tunku Aizuddin ibn Tunku Zainal Rashid, Syed Omar Sahabuddin dan Syed Ali. Tunku Abdul Rahman yang pada masa itu menjadi Pegawai Daerah Kulim juga memberikan kerjasama kepada Jepun. Beliau sanggup berucap di Radio Pulau Pinang selepas ayahandanya selamat pulang ke Alor Star. Dalam ucapan itu, beliau menyeru rakyat Tanah Melayu dan Sumatera supaya menerima pemerintahan Jepun. Tindakan Tunku Abdul Rahman dianggap bertujuan untuk mengelakkan pertumpahan darah dan demi keselamatan rakyat.

Pada tahun pertama pendudukan Jepun, kedudukan pentadbir Kedah kurang terjamin, dan ramai di antara mereka yang menganggur. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1943 kebanyakkan daripada mereka sudah diambil bekerja semula. Jika ditinjau dari segi kedudukan Pegawai Jepun ternyata mereka memegang jawatan tinggi yang penting. Penyandang jawatan tersebut terdiri daripada orang Jepun yang sudah lama bermastautin di Tanah Melayu atau pegawai yang dilatih khas untuk tujuan mengambil alih pentadbiran British.

Pentadbiran di peringkat pusat diketuai oleh Samubucho (Director General) dengan dibantu oleh Majlis Pusat dan kurang daripada lima belas biro pentadbiran diwujudkan. Di peringkat negeri pula, Jepun menubuhkan kerajaan daerah atau negeri (seicho). Tiap-tiap negeri mempunyai seorang Gabenor Jepun. Manakala Singapura ditadbir oleh Mayor. Mereka bertanggungjawab terus kepada ketua pentadbir tentera di Singapura. Kebanyakan Gabenor yang dilantik terdiri daripada birokrat yang berpengaruh di Kementerian Dalam Negeri atau Jeneral yang telah bersara. Dalam penyusunan pentadbiran, Jepun telah mencantumkan Kedah dan Perlis di bawah satu organisasi yang dinamakan Kedah Shusie - Choa Soshiki. Mengikut susunan pentadbiran itu, ketua kerajaan ialah Chokan Kakka atau Chiji (Gabenor).

Gabenor yang pertama ialah Ojama dan kemudian diganti oleh Mejar Jeneral Siji Sukegawa. Beliau memulakan tugasnya sebagai Gabenor Kedah pada bulan Mac 1942 hingga bulan Ogos 1943. Tugas Gabenor adalah sebagai ketua eksekutif yang menggantikan Sultan sebagai ketua negeri, dan mencantumkan tugas bekas Penasihat British dan Sultan. Pada tahun 1943, apabila Majlis Penasihat Negeri ditubuhkan, Gabenor bertindak sebagai pengerusi, manakala Pemangku Raja sebagai naib pengerusi. Dengan itu segala enakmen perintah dan peraturan di Kedah yang dahulunya dikeluarkan atas nama Presiden Majlis Mesyuarat Negeri, sekarang dibuat atas nama Chiji Kakka. Gabenor mempunyai kuasa untuk membuat polisi dan mengawal pegawai kerajaan. Walaupun beliau perlu merujuk kepada Majlis Mesyuarat tetapi tidak semestinya nasihat Majlis diikuti. Lagipun beliau menguasai perjalanan Majlis Mesyuarat, dan mempunyai kuasa membatalkan undang-undang. Gabenor juga mempunyai kuasa yang luas dalam pentadbiran kewangan. Walaupun beliau mempunyai kuasa yang luas tetapi hanya sedikit sahaja penyelarasan dibuat di antara Gabenor dengan satu lagi pihak yang cukup berkuasa iaitu Pejabat Garison Tentera Jepun. Ini kerana pihak tentera boleh bertindak bebas tanpa perlu merujuk kepada Gabenor. Persaingan untuk mendapat kuasa di antara sesama pasukan tentera dan orang awam Jepun telah menjadi masalah yang sukar diatasi.

Pentadbiran Jepun di Kedah dapat dipecahkan kepada biro-biro seperti jadual di bawah:

Biro-biro Pentadbiran pada Zaman Jepun
Biro
Pesuruhjaya / Ketua
1. Shumuin (Agama) Tunku Badlishah
Syed Alwi (Penolong)
Syed Shariff Osman (Setiausaha)

2. Somu-bu (PentadbiranAm)
    Jabatan-jabatan Somu-bu
    a. Kanbo (Sekretariat Pengadilan)
    b. Shomuka (Hal -Ehwal Awam)
    c. Kanri-ka (Pentadbiran)
    d. Bunkyo-ka (Pelajaran)
    e. Shiho-ka (Kehakiman)
    f. Konsei-ka (Kebajikan)

Nakagawa

Ketua Jabatan
- Yamakami - 7 pegawai Jepun
- En. Md. Sharif Osman
- Momose
- Ismail Marican
- Dr. Mustafa Osman
3. Sanyo-bu (Industri)
   Jabatan-jabatan Sangyo-bu
   a. Omu-ka (Pertanian)
   b. Shoko-Suisan-k (Perdagangan)

Yoshimatsu

Ketua Jabatan - Tunku Yaakob
                    - Tunku Ismail
4. Zamu-bu (Kewangan)
    Perbendaharan Jabatan-jabatan       Zaimu-bu
    a. Rizai-ka (kewangan)
    b. Tochi-ka (Tanah)
    c. Kaike-ka (Perbendaharan)
    d. Kazei-ka (Kastam)
    e. Dobu-ka (Audit)
akuta
Ketua Jabatan
- Haga
- En. Kassim
- Syed Omar
- Tunku Mohd. Jiwa
- Tunku kassim
5. Keimu-bu (polis)
    Jabatan-jabatan Keimu-bu
    a. Keimu-ka
    b. Hoan-ka
    c. Tokko-ka
Mochinaga
Ketua Jabatan
- Tiada
- Tunku Nong
- Munabe
6. Kotsu-bu
   Jabatan-jabatan Kotsubu
   a. Yusei -ka (Pos/ Telegraf)
   b. Ungu-ka (Trafik)
   c. Dobuku -ka(Kerja Raya)
Wakuta
Ketua Jabatan
- Tiada
- Kuboi
- Tunku Ahmad Tajuddin

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah