|
Pada akhir abad ke-19, sewaktu masih berada di bawah naungan Kerajaan
Siam lagi, Kedah sudahpun memperkenal dan memperkembangkan sistem
pentadbiran yang tersendiri lagi moden. Bermula dengan pemerintahan
Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1853 - 1879), Kedah
memasuki era pembangunan dan pemodenan.
Keadaan ini berterusan sehinggalah berlakunya peralihan kuasa
naungan terhadap Kedah dari Siam kepada British pada 15 Julai 1909.
Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 - 1943) di awal pemerintahannya
telah mengadakan lawatan kebeberapa buah negeri seperti di Thailand,
India, Burma dan Eropah bertujuan untuk meluaskan lagi pengalaman
dan pengetahuan baginda dalam membangunkan negeri. Usaha-usaha yang
dirintis oleh ayahanda baginda sebelumnya dipesatkan lagi sehingga
kejayaannya di bidang pentadbiran menyebabkan baginda pernah digelar
"Bapa Kedah Moden".
Dalam menjayakan pembangunan negeri, baginda dibantu oleh para
pemimpin yang berkebolehan termasuk (Raja Muda) Tunku Mahmud, Tunku
Ibrahim dan Wan Muhammad Saman. Sejak tahun 1870 lagi Sultan Abdul
Hamid Halim Shah, Wan Muhammad Saman dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sejarawan Dato' Prof. Khoo Kay Kim pernah menegaskan "Kedah
dapat mengembangkan sistem politik yang lebih tersusun daripada
negeri-negeri Melayu Barat (Perak, Selangor dan Negeri Sembilan)
sebelum campurtangan Inggeris kerana Kedah sudahpun mempunyai pegawai-pegawai
berpengalaman dan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam sistem
pentadbiran. Kerana itu juga Kedah tidak perlu bergantung kepada
begitu ramai pegawai Inggeris sebagaimana Perak dan Selangor".
Pengasasan Dan Perkembangan
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Tarikh sebenar bilakah istilah "Setiausaha Kerajaan"
mula digunakan di Kedah tidaklah dapat dipastikan dengan tepat.
Bagaimanapun tokoh pentadbir Che Mohd. Ariffin bin Mohd Arshad sudah
menggunakan gelaran atau jawatan itu sejak 3 Syawal 1323 (3 Oktober
1905). Begitu juga dalam surat menyurat rasmi seperti surat yang
bertarikh 17 Zulhijjah 1323 (12 Februari 1906) terdapat tajuk bertulis
begini : "Surat Che Mohd. Ariffin Secretary pada Che Awang
Osman di Pulau Pinang Fasal Beli Marble Yang Hendak Dipakai Di Rumah
Duli Yang Maha Mulia"
|