Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Sejarah Ringkas Perkembangan Kerajaan Dan Pentadbiran Negeri Kedah Darul Aman

oleh: Dato' Hj. Wan Shamsudin Mohd. Yusof

 

Dalam susunan pentadbiran negeri Kedah sejak sebelum Perang Dunia Kedua, di puncak struktur kuasa ialah Sultan. Setiausaha Kerajaan merupakan Pegawai Tadbir Melayu yang paling tinggi. Sebelum tahun 1921, perkhidmatan "Kedah Civil Service" (KCS) belum diwujudkan dan pegawai tadbir dikenali sebagai Pegawai Tadbir Melayu (Malay Civil Service). Ketua Pentadbir dikenali sebagai "Kepala Pekerjaan" atau "Ketuha (Ketua Pekerjaan)". Merujuk kepada Laporan Tahunan 1937, terdapat seramai enam puluh satu orang menyandang jawatan "Kedah Civil Service" dan dua puluh orang kadet.

Pejabat Setiausaha Kerajaan yang pertama dikatakan bermula di Balai Besar seperti juga dengan Pejabat Majlis Negeri. Kemudian dalam tahun 1911 ianya dipindahkan ke bangunan setingkat yang dibina daripada kayu terletak di kawasan Kompleks Istana Kota Tengah yang bersebelahan dengan Wisma Negeri sekarang. Di samping "Secretariat", nama lain bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan lazim dikenali umum dengan panggilan "Ofis Dalam". Penggunaan nama tersebut bukanlah kerana pejabat ini terletak dalam kawasan kota atau istana tetapi dirujukkan kepada peranan dan fungsinya yang mengendalikan urusan-urusan dalam negeri.

Dalam tahun 1348 hijrah (1929), barulah pejabat ini berpindah ke bangunan rumah batu dua tingkat yang masih ada lagi sekarang. Bangunan ini terletak berhampiran dengan kayu yang asal yang dirobohkan sesudah itu. Ketika Jepun menduduki Kedah (Disember 1941) sistem pentadbiran tentera diperkenalkan diketuai oleh Mejer Jeneral Sukigawa Seiji selaku Gabenor dan K.Shiba sebagai penasihatnya. Mereka menjadikan bangunan Setiausaha Kerajaan sebagai ibu pejabat mereka.

Pada 18 Oktober 1943, majlis penyerahan kuasa secara rasmi ke atas negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dari Jepun kepada Thai telah berlangsung di Alor Star. Gabenor Jeneral Thai yang bertanggungjawab bagi keempat buah negeri itu ialah Khun Rongchart sementara Gabenor Kedah ialah Khun Pramot Chongcharem. Kedua-dua mereka menggunakan Bangunan Setiausaha Kerajaan sebagai ibu pejabat mereka sehinggalah pentadbiran Thai di Kedah berakhir pada bulan September 1945. Haji Mohd Sheriff Osman dikekalkan menjadi Setiausaha Kerajaan sementara Gabenor Thai itu bertindak sebagai penasihat kepadanya.

Kewujudan Dewan Undangan Negeri

Sejarah penubuhan Dewan Undangan Negeri Kedah Darulaman bermula tahun yang lalu apabila Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mengasaskan "Majlis Negeri (State Council)" pada 1 Jamadilakhir 1323 (3 Ogos 1905) bertempat di Balai Besar Alor Star.

Baginda sultan Abdul Halim Shah juga telah berkenan melantik adindanya Y.T.M. Tunku Abdul Aziz (Raja Muda) selaku Presiden Majlis Negeri yang pertama. Ahli-ahli lainnya Che Mohd. Ariffin Mohd. Arshad (Setiausaha Sultan), Syed Abdullah Al-Mahdali (Pegawai Perbendaharaan), Haji Muhammad (Hakim Besar) dan W.J.F. Williamson (Penasihat Kewangan) Y.T.M. Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai Setiausaha Presiden.

Pada tahun 1907, Baginda melantik adindanya Y.T.M. Tunku Mahmud sebagai Presiden Majlis Negeri untuk menggantikan Y.T.M. Tunku Abdul Aziz yang mangkat pada tahun itu. Setelah berlakunya peralihan naungan dari Kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris (1909), kedudukan ahli-ahli Majlis Negeri semakin bertambah bilangannya dengan bertambahnya jabatan-jabatan penting. Ahli Majlis Negeri dalam tahun 1912 ialah Y.T.M. Tunku Ibrahim ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Syed Hassan Shahabuddin (Hakim Besar), W.G. Mazwell (Penasihat British) Mohd Sheriff B. Osman (Setiausaha Majlis Negeri) dan G. Gorman (Jurutera Negeri).

Selepas Perang Dunia Kedua dan dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu (1948), jawatan Penasihat British telah dimansuhkan, digantikan dengan jawatan Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama ialah Haji Mohd Sheriff B. Osman (1948-1957). Beliau juga bertindak selaku Presiden Majlis Negeri. Ahli-ahli yang dilantik disamping ahli-ahli rasmi, mengandungi juga ahli-ahli tidak rasmi yang mewakili kepentingan pelbagai kaum di negeri ini. Diantara golongan kedua yang berkhidmat diperingkat awal termasuklah Ayob bin Abdullah, Haji Abdurahman bin Haji Abdullah (Haji Abdul Rahman Merbuk), Soon Cheng Sun, dan C. Moosa bin Haji Abdullah.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957), pilihanraya umum pertama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri diadakan pada 15 April 1959. Sebelum itu, Majlis Negeri yang diasaskan sejak tahun 1905 telah dibubarkan pada 31 Mac 1959 digantikan dengan Dewan Undangan Negeri. Dalam bulan September 1973, Pejabat Setiausaha Kerajaan berpindah pula ke bangunan Wisma Negeriyang terletak berhampiran dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang lama. Dewan Undangan Negeri yang bertempat di Balai Besar sejak tahun 1905 juga berpindah ke Wisma Negeri pada 9 September 1973. Perasmian bangunan Wisma Negeri ini disempurnakan pada 11 Syawal 1393 bersamaan 8 September 1973 oleh D.Y.T.M. Tuanku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, D.K., S.P.M.K., P.S.B. Pemangku Sultan Kedah Darulaman pada waktu itu.

Salasilah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman

  1. Sultan Mudzaffar Shah 1 1136-1179
  2. Sultan Mu'adzam Shah 1179-1201
  3. Sultan Muhammad Shah 1201-1236
  4. Sultan Muzzil Shah 1236-1280
  5. Sultan Mahmud Shah 1 1280-1321
  6. Sultan Ibrahim Shah 1321-1373
  7. Sultan Sulaiman Shah 1 1373-1422
  8. Sultan Ataullah Muhammad Shah 1 1422-1472
  9. Sultan Muhd Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah 1 1472-1506
  10. Sultan Mahmud Shah II 1506-1546
  11. Sultan Mudzaffar Shah II 1546-1602
  12. Sultan Sulaiman Shah II 1602-1626
  13. Sultan Rijaluddin Muhammad Shah 1626-1651
  14. Sultan Muhyiddin Mansor Syah 1651-1661
  15. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 1661-1687
  16. Sultan Ataullah Muhammad Shah II 1687-1698
  17. Sultan Abdullah Mu'adzam Shah 1698-1706
  18. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 1 1706-1709
  19. Sultan Muhd Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II 1710-1778
  20. Sultan Abdullah Mukarram Shah 1778-1797
  21. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (Pemangku Sultan) 1797-1804
  22. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II 1804-1845
  23. Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah 1 1845-1853
  24. Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah II 1853-1879
  25. Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah 1879-1881
  26. Sultan Abdul Hamid Halim Shah 1882-1943
  27. Sultan Badlishah 1943-1958
  28. Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah 1958

Senarai Menteri Besar Kedah Darul Aman Sejak 1948

  1. Y.A.B. Haji Mohamad Sheriff bin Osman, CBE., CMG., KOM (1948-1954)
  2. Y.A.B Y.T.M. Tunku Ismail bin Tunku Yahya, CBE (1954-1959)
  3. Y.A.B. Dato' Syed Omar bin Syed Abdullah Shahabuddin, PMN., JP (28.5.1959 hingga 7.12.1967)
  4. Y.A.B. Dato' Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahbuddin, SMN., SSM., PSM., DUNM., SPMS., SPMT., SPMK., SSDK., JP (14.12.1967 hingga 11.6.1978)
  5. Y.A.B. Dato' Syed Nahar bin Tun Syed Sheh Shahbuddin, KMN., DPMK., SSDK., SPMK., SPMT (8.7.1978 hingga 27.11985)
  6. Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Haji Osman bin Haji Aroff, PSM., SSDK., DHMS., JMN., JP (28.1.1985)
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah